Arkib Tag: Jetour

Jetour T2 i-DM 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM162,800

Jetour Malaysia secara rasmi melancarkan Jetour T2 i-DM untuk pasaran tempatan.

T2 versi plug-in hybrid (PHEV) ini dijual pada harga dari RM162,800.

Pakej Early Bird bernilai RM3,000 ditawarkan kepada 2,000 pendaftaran terawal, merangkumi pilihan pengecas dinding 7 kW atau kredit pengecasan ChargeSini bernilai RM2,000.

Kedua-dua pilihan didatangkan dengan kabel penyesuai V2L secara percuma.

Spesifikasi unit pacuan

T2 i-DM dipacu oleh sistem PHEV yang terdiri daripada:

  • enjin 1.5L turbo TGDi
  • transmisi 3-kelajuan
  • motor elektrik berkembar

Secara keseluruhan, SUV ini mampu menjana kuasa 355 hp dan 610 Nm.

Pek bateri LFP 18.4 kWh menawarkan jarak pandu sifar emisi sehingga 100 km, serta jarak pandu gabungan sehingga 1,200 km.

Ia menyokong pengecasan AC 6.6 kW serta pengecasan pantas DC 57 kW, membolehkan bateri dicas 30-80% dalam masa 27 minit.

SUV ini turut menawarkan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW.

Kelengkapan

Dari segi penampilan, Jetour T2 i-DM mengekalkan rupa paras yang hampir sama dengan T2 2.0L turbo.

Ia menampilkan ciri seperti lampu hadapan LED automatik, skrip JETOUR bercahaya, rim aloi Trailblazer 20 inci, pintu belakang dengan fungsi Electric Suction, serta kehadiran tayar ganti.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay & Android Auto, sistem audio Sony dengan 12-pembesar suara, serta pengecas tanpa wayar 50W.

Selain itu, tempat duduk hadapan didatangkan dengan fungsi pengudaraan, fungsi memori dan fungsi aluan.

Tidak ketinggalan, ciri seperti tombol gear kristal bercahaya, cermin pandang belakang dengan fungsi kelam automatik dan pencahayaan ambien Cosmic Multicolour.

Keselamatan

Secara standard, T2 i-DM dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan panorama serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 pula merangkumi:

  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • bantuan lorong (LAI)
  • pengesanan titik buta (BSD)
  • kawalan jelajah bersepadu (ICA)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • bantuan suluhan tinggi pintar (IHB)

Program Insurans Jetour

Pemilik boleh mendapatkan perlindungan tambahan seperti:

  • perlindungan pengecas dinding sehingga RM5,000
  • perlindungan liabiliti peribadi pihak ketiga sehingga RM50,000 bagi kecederaan, kematian atau kerosakan berpunca daripada penggunaan pengecas EV

Jetour Malaysia turut menawarkan Perlindungan Risiko Khas kepada 2,000 pemilik pertama yang berdaftar atau sehingga 28 Februari 2027.

Jetour mulakan operasi CKD untuk kukuh kedudukan di ASEAN

Jetour Auto Malaysia secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model SUV Dashing dan VT9 di fasiliti Berjaya Assembly Sdn Bhd (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru.

Fasiliti berkeluasan 640,000 kaki persegi itu menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN.

B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan Jetour.

Fasiliti sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi serta penyelesaian mobiliti mampan.

Menurut Wen Qiangkang, Naib Presiden Jetour International berkata, “pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk Jetour.

Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia berkata, “dengan pelancaran operasi pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi dan kepuasan pelanggan.

Sejak pelancaran rasmi barisan produk pertama di Malaysia, Jetour telah berkembang pesat dengan lebih daripada 20 cawangan di seluruh negara.

Operasi CKD ini menandakan detik penting dalam usaha mempercepatkan pemerolehan tempatan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mempercepat masa penghantaran dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi penawaran tambah nilai kepada pengguna di Malaysia.

Buat masa ini, fasiliti tersebut memberikan tumpuan pada pemasangan model Dashing dan VT9 di mana lebih 1,000 unit kenderaan telah dihasilkan.

Penghantaran model Dashing pemasangan tempatan bermula pada Jun 2025, dan akan disusuli oleh model VT9 kelak.

Pada masa hadapan, Jetour merancang untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan dan eksport ke negara jiran di rantau ASEAN.

Jetour pamer model prototaip trak pikap F700 secara rahsia di Shanghai

Bertempat di Auto Shanghai 2025, Jetour ada mempamerkan sebuah model konsep trak pikap saiz penuh F700 yang nampak futuristik.

Kenapa kami katakan ia futuristik?

Sebab F700 Concept ini menampilkan bukaan pintu stail ‘coach’ seperti yang wujud pada model mewah Rolls-Royce atau pintu jenis suicide dengan ketiadaan tiang B di tengah.

Tidak ramai yang tahu, Jetour sebenarnya ada mempamerkan model prototaip F700 yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar di hotel Hilton Shanghai Hongqiao yang menjadi tempat penginapan media global.

Sayang sekali, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar model trak pikap yang gagah perkasa itu, memandangkan semua alat perakam dan telefon pintar perlu ditinggalkan di luar kotak gergasi tersebut.

Apa yang kami boleh simpulkan ialah F700 merupakan G700 versi trak pikap dengan reka bentuk badan yang berkotak dan struktur muka depan yang hampir sama.

F700 juga berkongsi platform yang sama dengan SUV ladder-frame G700.

Berdasarkan kertas spesifikasi yang diletakkan bersebelahan model tersebut, F700 dijana dengan nadi hibrid 2.0 liter TGDI yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).

F700 ini turut dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 34.13 kWh.

Casis trak pikap ini disokong dengan suspensi jenis double-wishbone depan dan belakang serta sistem pacuan empat roda (4WD).

Dengan penambahan bed di bahagian belakang, F700 memiliki dimensi yang lebih panjang (5,495 mm) berbanding G700 (5.1 meter), dengan jarak antara roda 3,350 mm.

Setakat ini, model F700 masih lagi di dalam peringkat pembangunan, di mana versi produksi sebenar mungkin akan diperlihatkan kepada umum dalam masa terdekat.

Jetour G700

Jetour G900: Konsep SUV off-road bertaraf mercu dari pelantar GAIA

Reruai Jetour di Auto Shanghai 2025 dimeriahkan lagi dengan kemunculan sebuah model konsep SUV bertaraf mercu Jetour G900.

Sama seperti Jetour G700, Jetour G900 Concept ini dibina berdasarkan pelantar off-road premium GAIA.

Dengan sistem hibrid amfibia iDM-O dengan empat motor elektrik dan navigasi bertaraf marin, Jetour G900 ini boleh dipandu atas tanah dan juga air tanpa sebarang masalah dengan daya tujahan mencecah sehingga 2,500 Nm.

Selain itu, jarak kelegaan tanah G900 boleh dilaraskan pada ketinggian serendah 150 mm hingga maksimum 350 mm.

Tidak cukup dengan itu, G900 bakal menawarkan fungsi-fungsi menarik seperti membuat pusingan tank-turn, serta pergerakan ketam (crab mode).

Untuk ruang kabin, Jetour G900 bakal dilengkapi dengan fungsi kokpit pintar, sistem bekalan oksigen kabin, dan ketersambungan berterusan.

Buat masa ini, G900 masih lagi berstatus model konsep dan tiada sebarang perincian spesifikasi didedahkan kepada pihak media.

 

Jetour masuk era 3.0, perkenal platform off-road pintar GAIA di Auto Shanghai 2025

Tidak seperti jenama-jenama lain dibawah kumpulan besar Chery, Jetour lebih fokus kepada penghasilan kenderaan genre SUV dan crossover.

Pengeluar tersebut menggunakan pendekatan strategi Travel+ yang membahagikan kenderaannya kepada tiga kategori utama.

Era 1.0 lebih kepada model berorientasikan keluarga seperti siri Dashing dan juga VT9, diikuti era 2.0 yang terdiri daripada kenderaan off-road yang selesa seperti T1 dan juga T2.

Kini, Jetour memasuki era 3.0 yang membariskan beberapa buah model off-road bertaraf premium, sarat dengan pelbagai teknologi yang lebih canggih dan pintar, seperti SUV G700, model konsep G600 dan G900, serta konsep trak pikap F700.

Tunjang utama kepada barisan model off-road tersebut sudah pasti senibina GAIA (singkatan daripada Generational of All-Terrain Intelligent Architecture).

GAIA merupakan platform generasi baharu kenderaan off-road yang khusus menggunakan kerangka ladder-frame, menawarkan jarak pergerakan suspensi sehingga 150 mm dan jarak kelegaan tanah maksimum 350 mm.

Terdapat dua sistem hibrid yang ditawarkan oleh GAIA, satu daripadanya ialah iDM-O Super Hybrid yang menawarkan prestasi off-road yang lebih cekap dan jimat bahan api.

Satu lagi sistem dikenali sebagai iEM-O Amphibious Range Extender yang menawarkan daya kilas bertaraf kereta kebal sehingga 18,000 Nm, serta daya tujahan 2,500 Nm untuk pemanduan dua alam (darat dan air) yang lancar.

Ia juga turut menawarkan keupayaan seperti pusingan kereta kebal, serta mod jalan ala ketam.

Tidak cukup dengan itu, Jetour turut menawarkan enam ciri inovasi seperti:
• komunikasi satelit orbit rendah
• penghasilan oksiden kendiri
• kokpit berasaskan kepintaran buatan (AI)
• navigasi muka bumi termaju dan bantuan parkir
• integrasi kenderaan-awan
• naik taraf sistem kepintaran berterusan menerusi kemas kini OTA