Arkib Tag: Jetour VT9

Jetour Malaysia catat lebih 2,000 tempahan, serah 1,000 unit kepada pelanggan

Jetour Malaysia mengumumkan pencapaian yang membanggakan sejak memulakan program pemasangan tempatan (CKD) pada Jun 2025.

Sehingga kini, sebanyak lebih 2,000 tempahan telah diterima manakala lebih 1,000 unit SUV Dashing dan VT9 telah pun diserahkan kepada pelanggan.

Kejayaan tersebut didorong oleh peluasan pesat rangkaian jualan dan servis Jetour di seluruh negara.

Menjelang Ogos 2025, sebanyak 20 pengedar sah telah beroperasi lengkap dengan perkhidmatan jualan, servis, alat ganti serta badan & cat.

Kesemua rangkaian pengedar ini menawarkan akses kepada model terbaharu Jetour, sesi perundingan peribadi, pandu uji, serta perkhidmatan penyelenggaraan oleh juruteknik yang diperakui oleh Jetour Global Academy.

Pelanggan di sekitar Lembah Klang boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut di Bukit Jalil, Klang, Cheras, Sungai Long, Setia Alam, Kepong, Damansara, Puchong, Glenmarie, Jalan Kuching dan Ampang.

Bagi Wilayah Utara, rangkaian perkhidmatan Jetour tersedia di Ipoh, Pulau Pinang dan Alor Setar manakala Wilayah Selatan pula terdapat di Johor Bahru dan Melaka.

Menjelang akhir tahun, Jetour merancang untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 30 pusat pengedar sah di seluruh negara.

Lokasi baharu rangkaian pengedar Jetour akan dibuka di kawasan berikut:

  • Lembah Klang – Petaling Jaya, Seri Kembangan, Putrajaya, Sunway, Kota Damansara, dan Kepong (cawangan kedua).
  • Wilayah Utara – Sungai Petani, Bayan Lepas dan Ipoh (cawangan kedua)
  • Wilayah Selatan – Seremban dan Melaka (cawangan kedua)
  • Pantai Timur – Kuantan, Temerloh, Bentong dan Kota Bharu
  • Malaysia Timur – Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau

Menurut Encik Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia, “Pertumbuhan rangkaian jualan dan servis kami di Malaysia membuktikan keyakinan serta sambutan menggalakkan daripada pelanggan tempatan terhadap JETOUR.

“Kami komited untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi serta menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar supaya semangat pengembaraan JETOUR dapat dirasai oleh setiap pemandu di Malaysia.”

Jetour VT9 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia Autoshow 2025, dari RM118,800

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Jetour Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV keluarga tujuh tempat duduk VT9.

SUV segmen D ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 156 PS dan daya kilas 230 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT enam-kelajuan.

Ia membawakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti dengan tetapan Multilink di belakang.

Dari segi dimensi, VT9 berukuran 4,274 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Secara standard, VT9 dibekalkan dengan rim 19 inci, lampu utama LED, jeriji hadapan dengan elemen 3D, serta kemasan tip ekzos palsu di belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin berkembar 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas jenis USB, soket 12V, slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, serta bumbung kaca panorama (varian Prime sahaja).

Ruang kargo pula berkapasiti 89 liter di belakang tempat duduk baris ketiga, namun boleh dibesarkan sehingga 1,680 liter untuk pelbagai keperluan.

Untuk pasaran Malaysia, Jetour VT9 boleh didapati dalam warna Tech Grey, Phantom Grey, Aurora Green, Star Black serta Khaki White.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, kawalan jelajah, kamera 360 darjah, bantuan mula mendaki dan menurun cerun, sistem pengesanan titik buta (BSW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran bukaan pintu (DOW) dan amaran penukaran lorong (LCW).

Harga jualan pula bermula dari RM118,800 untuk varian Comfort, dan sehingga RM123,800 untuk versi Prime.

 

SUV 7-tempat duduk Jetour kini dengan nama rasmi VT9

Selepas pelancaran model Dashing, Jetour Malaysia mengesahkan sebuah lagi SUV keluarga tujuh tempat duduk bakal mendarat di Malaysia dalam masa terdekat.

Tidak seperti nama yang digunakan di pasaran luar, SUV tiga baris ini akan dikenali dengan nama baharu Jetour VT9, berdasarkan hantaran di laman Instagram.

Jetour baru-baru ini ada mempamerkan VT9 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bersempena persidangan Jetour Together For Future dan Auto Shanghai 2025 di hotel Hilton Shanghai Hongqiao.

VT9 secara asasnya merupakan SUV segmen D dengan ukuran dimensi 4,724 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Di Malaysia, ia bakal bersaing dengan model seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.

Dari segi kuasa, VT9 mendapat enjin 1.5 liter turbo yang sama digunakan pada model Dashing, diikuti padanan transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan.

Berdasarkan model RHD yang dipamerkan, susun atur ruang kabin VT9 adalah hampir sama dengan model Dashing, dengan ciri seperti skrin berkembar 10.25 inci, roda stereng dan butang pandu mula stail Mercedes, pengecas peranti tanpa wayar, serta tombol gear Jet Tour.

Cuma beza yang ketara antara kedua-dua model tersebut ialah rekaan panel pintu serta kemasan pada tempat duduk hadapan.

 

Spesifikasi lanjut berserta harga jualan hanya bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung di Malaysia Autoshow 2025 pada bulan hadapan.