Arkib Tag: Jeep

Stellantis umum kehadiran jenama EV mampu milik Leapmotor untuk pasaran Malaysia

Pihak Stellantis Malaysia dalam satu sesi yang dianjurkan bersama para pengamal media mendedahkan perancangan untuk membawa masuk sebuah jenama EV yang mampu milik, iaitu Leapmotor.

Untuk makluman, Leapmotor merupakan sebuah jenama EV yang ditubuhkan pada Disember 2015 berpengkalan di Hangzhou, China.

 

 

Pada tahun lepas, Stellantis mengumumkan penguasaan pegangan sebanyak 20 peratus di dalam Leapmotor untuk membolehkan kumpulan itu menghasilkan dan mengedarkan kenderaan jenama EV terkecil di China itu untuk pasaran global.

Antara model kenderaan yang dihasilkan oleh Leapmotor termasuklah hatchback bandar T03 dengan jarak gerak sejauh 403 km, sedan saiz pertengahan C01 yang berkeupayaan bergerak sejauh 717 km, dan SUV saiz pertengahan C11.

 

 

Selain daripada jenama Leapmotor, Stellantis juga mendedahkan kehadiran jenama ikonik lain seperti Peugeot yang telah diumumkan sebelum ini, Citroen untuk pasaran massa, serta Jeep di bawah kategori gaya hidup rekreasi.

Pihak Stellantis juga sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membawa masuk beberapa jenama lain seperti Alfa Romeo, Chrysler, DS Automobiles, Dodge, Fiat, Maserati, Opel, Vauxhall, serta memperkenalkan perkhidmatan sewa kenderaan Leasys dan perniagaan perkongsian kenderaan Free2move.

Untuk jangka masa terdekat, Stellantis dijangka akan melancarkan model crossover sedan Peugeot 408 bertempat di Malaysia Autoshow 2024.

 

 

Di Malaysia, Stellantis dijangka akan menggunapakai pendekatan yang dipraktikkan di Eropah, di mana kesemua jenama automotif akan dihimpunkan dalam satu pusat pameran tunggal.

Selain daripada memperluaskan jaringan pusat pameran dan servis di seluruh negara, salah satu aspek yang ditekankan adalah penambahbaikan dalam khidmat selepas jualan.

Berkenaan dengan kilang pemasangan kenderaan di Gurun, kami dimaklumkan bahawa fasiliti tersebut kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 60,000 unit setahun.

Daripada jumlah tersebut, 60 peratus kenderaan yang dipasang di sana dikhaskan untuk pasaran eksport (termasuk kenderaan pemanduan sebelah kiri, LHD), manakala selebihnya untuk pasaran domestik.

 

Jeep Wagoneer S – SUV elektrik pertama Jeep ada 600 hp, empat skrin

JEEP telah mendedahkan perincian awal serta beberapa foto teaser Wagoneer S, SUV elektrik pertamanya yang dikatakan akan dilancarkan ke pasaran pada musim luruh tahun ini.

Pertama sekali, Wagoneer S merupakan sebuah SUV saiz pertengahan yang dikatakan mempunyai ukuran badan yang hampir sama dengan Grand Cherokee.

Ia dibina atas platform STLA-Large yang dibangunkan oleh Stellantis dan dikhabarkan mempunyai konfigurasi motor elektrik berkembar yang menjana 600 hp, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.5 saat sahaja.

Kapasiti bateri yang akan digunakan tidak didedahkan namun ura-ura mengatakan yang ia menawarkan jarak pandu maksimum sejauh 800 km.

Melihat foto ruang dalaman yang disiarkan, Wagoneer S didatangkan dengan konfigurasi empat skrin yang merangkumi kluster instrumen digital, paparan sistem infohibur, paparan untuk penumpang hadapan dan satu lagi skrin yang disediakan khusus untuk kawalan sistem pendingin hawa.

Tidak cukup dengan itu, Wagoneer S juga akan menampilkan sistem audio premium McIntosh yang mempunyai 19 pembesar suara, sistem pencahayaan ambien dengan pilihan warna dan bumbung suria panoramik berkembar.

Turut kelihatan adalah konsol tengah EV ini yang menempatkan butang Start/Stop, tombol pemilih gear dan suis toggle Selec-Terrain yang membolehkan pemandu memilih mod Sand, Snow, Eco, Auto dan Sport.

Spesifikasi enjin Jeep Grand Cherokee 4xe masih jadi rahsia

USAHA menghasilkan jentera cekap tenaga terus meriah dengan terbaharu datangnya daripada syarikat pengeluar kenderaan Jeep.

Model Grand Cherokee 4xe buat pertama kali diperkenalkan pada acara Stellantis EV Day 2021.

Mempunyai rekaan luaran yang begitu menarik, Jeep bagaimanapun belum mendedahkan secara terperinci spesifikasi terdapat pada model ini.

Namun, syarikat itu berjanji akan mendedahkan spesifikasi Grand Cherokee 4xe ketika New York International Auto Show 2021 pada akhir Ogos depan.

Rekaan model terbaharu Jeep amat memukau dan mempersonakan. – Foto ihsan Motor Authority

Spekulasi enjin Grand Cherokee 4xe

Walaupun Jeep memaklumkan akan mendedahkan spesifikasi enjin Grand Cherokee 4xe tidak lama lagi, namun masih wujud spekulasi mengenai enjin model kenderaan tersebut.

Pemerhati automotif berpendapat terdapat kemungkinan besar Grand Cherokee 4xe berkongsi penjana kuasa PHEV yang sama dengan Wrangler 4xe.

Ia adalah kombinasi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan dua motor elektrik.

Enjin itu mampu menjana kuasa 375 PS pada 5,250 rpm dan tork 637 Nm.

Apa yang menarik, output ini disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan TorqueFlite sumber-ZF.

Jeep juga mempunyai satu lagi sistem plug-in hybrid menggunakan unit enjin lebih kecil iaitu 1.3 liter turbo-petrol.

Teknologi ini digunakan pada model Renegade dan Compass 4xe.

Enjin model Grand Cherokee 4xe masih belum didedahkan kepada umum. – Foto ihsan Motor Authority

Selain itu, enjin lain yang turut menjana kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Jeep termasuk unit naturally-aspirated 3.6 liter Petastar petrol V6 dengan 290 PS dan 348 Nm.

Terdapat juga enjin 5.7 liter petrol V8 dengan 357 PS dan 528 Nm.

Kedua-dua penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Enjin varian V6 menggunakan electronically controlled full time active 4WD transfer case. Ia boleh dinaiktaraf dengan electronically controlled transfer case dua-kelajuan dengan jarak rendah.

Gandar hadapan pada model 4WD pula akan diputuskan sambungan secara automatik bagi meningkatkan penjimatan bahan api.

Varian V8 diberi pilihan electronic limited-slip rear differential.

https://www.youtube.com/watch?v=od6s6uEFFYE