Arkib Tag: JAS Motorsport

Honda NSX NA1 ‘lahir semula’, dikenali sebagai “Tensei”

Pininfarina dan JAS Motorsport mendedahkan imej rasmi projek restomod Honda NSX generasi pertama yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Ia juga turut mendapat nama rasmi, iaitu “Tensei” yang membawa maksud kelahiran semula (rebirth) dalam bahasa Jepun.

Daripada imej yang dibekalkan, rupa asal NSX NA1 masih lagi dikekalkan dengan berhati-hati, seperti lampu hadapan jenis pop-up, spoiler belakang kekal dan bumbung kanopi hitam.

Namun, terdapat beberapa perubahan seperti penambahan lampu nyalaan siang (DRL) LED, liang pada hud hadapan serta liang pengudaraan yang lebih besar pada dapra belakang.

Penampilan Tensei juga telah ditambah baik dengan jarak runut belakang yang lebih lebar, serta jarak overhang belakang yang telah dipendekkan.

Buat masa ini, spesifikasi sebenar Tensei masih lagi belum didedahkan.

Namun dalam siaran terdahulu, pihak JAS Motorsport akan menala kembali enjin asal bentangan V6 3.0 liter, sudah pasti kuasanya akan melebihi angka atas kertas 270 hp/285 Nm semasa dilancarkan tahun 90-an.

Pihak JAS Motorsport turut mengesahkan Tensei ini bakal menampilkan binaan badan yang diperbuat daripada gentian karbon.

Honda hidupkan kembali NSX generasi pertama?

Ini merupakan satu berita baik buat para peminat supercar klasik buatan Jepun.

Pininfarina (yang sebelum ini menghasilkan model konsep NSX HP-X) mengumumkan kerjasama dengan JAS Motorsport untuk menghidupkan semula NSX era 1990-an yang asal.

Projek restomod ini akan menggunakan casis original, namun pihak Pininfarina akan menghasilkan panel badan gentian karbon yang direka khas.

Yang pasti, ia akan mengikut kembali rekaan asal NSX yang sangat digemari ramai itu.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan, NSX restomod itu masih lagi mengekalkan binaan lampu pop-up yang ikonik, namun diserikan dengan unit pencahayaan LED yang lebih moden.

NSX ini boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD) atau kiri (LHD).

Enjin bentangan V6 3.0 liter aspirasi semula jadi (NA) akan dikekalkan, namun dengan talaan yang lebih berkuasa dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Menurut JAS, projek NSX restomod ini akan ditawarkan dalam unit yang cukup terhad – bermakna harga jualan yang jauh lebih mahal berbanding model NSX terpakai.

Biarpun telah lama ditamatkan produksi, generasi pertama Honda NSX masih lagi mempunyai bilangan pengikut yang cukup besar di seluruh dunia (dan harga yang masih lagi liat untuk turun).