Arkib Tag: Jalan Temiang-Pantai

Warga emas korban pertama Jalan Temiang-Pantai

SEORANG lelaki warga emas maut selepas basikal yang ditungganginya dipercayai dilanggar sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Temiang-Pantai di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata: “Nahas berlaku kira-kira jam 8:30 pagi melibatkan sebuah Perodua Axia dipandu seorang diri oleh seorang wanita berusia 26 tahun dari Jalan Pantai menghala ke Kajang, Selangor.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas melanggar sebuah basikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 72 tahun di bahu kiri jalan.

“Akibat kemalangan, penunggang basikal mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mohd. Fazley berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurutnnya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Nor Fadzilah Mohd. Zainuddin di talian 016-2895801 bagi membantu siasatan.

Jalan Temiang-Pantai jadi ‘port’ bergambar, JPJ beri kata dua

PENGGUNA lebuh raya dinasihati tidak memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan lebuh raya Temiang-Pantai bagi tujuan bergambar.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan berkata,ia mengundang bahaya kepada si pelaku malah, berisiko kepada pengguna lebuh raya lain.

“Tindakan pemandu itu membahayakan keselamatan orang ramai dan tidak munasabah kerana ia boleh memberikan satu persepsi bahawa tempat itu adalah tempat pelancongan.

“Perlu diingat jalan raya ini digunakan untuk kenderaan dan jentera bergerak.

“Apabila mereka berhenti secara berkumpulan atau beramai-ramai ia mengganggu kelancaran trafik,” kata Hanif Yusabra Yusuf.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf. – Foto ihsan Bernama

Jalan Temiang-Pantai mulai tular di media sosial selepas ramai kalangan pemandu gemar memberhentikan kenderaan di kawasan terbabit.

Pemandu didapati bersalah boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-kaedah lalu lintas Jalan 1959.

Undang-undang tersebut memperuntukan tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh disiasat mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.