Arkib Tag: Italjet

Italjet Dragster edisi Gresini akan diperkenal 

Jenama skuter premium Itali, Italjet telah menjalinkan kerjasama dengan pasukan Gresini Racing-MotoGP bagi memperkenalkan Italjet Dragster edisi khas. 

Dragster edisi Gresini itu dijangka akan lebih menonjol dengan gabungan warna korporat Gresini yang merangkumi biru dan merah yang sama terdapat pada jentera GP23 yang ketika ini ditunggang Marc Marquez dan Alex Marquez.

Untuk rekod, Italjet Dragster ditawarkan dalam dua varian, 125 dan 200 di pasaran global termasuk di Malaysia. 

Presiden dan CEO Italjet, Massimo Tartarini, turut berkongsi keterujaan atas usahama baharu ini. 

“Bagi kami ini adalah satu penghargaan untuk menjadi penaja teknikal pasukan Gresini yang merupakan antara pesaing utama di MotoGP. 

“Kami terikat dengan Gresini menerusi kerjasama erat dan kerjasama ini akan membawa kepada pembangunan Dragster Replica dengan warna Gresini,” jelasnya. 

Italjet Dragster 125, 200 kini di Malaysia – harga dijangka bermula RM30k

CHEAR Global telah mempertontonkan model skuter Italjet Dragster untuk pasaran Malaysia sebelum pelancaran rasminya pada 8 Oktober ini.

Model itu ditawarkan dalam dua varian iaitu 125 cc dan 200 cc. Harga masih belum diumumkan namun ia dijangka bermula sekitar RM30,000 bagi varian 125 cc dan RM35,000 bagi varian 200 cc.

Dari segi prestasi, Dragster 125 cc dengan enjin silinder tunggal empat lejang mempunyai 12.3 hp dan 10.5 Nm, manakala Dragster 200 cc, juga dengan enjin silinder tunggal empat lejang, mempunyai 17.3 hp dan 15.5 Nm.

Kedua-dua enjin tersebut mematuhi piawaian emisi Euro 5 dan digandingkan dengan transmisi jenis CVT automatik.

Seperti yang boleh dilihat, skuter ini tampil dengan reka bentuk unik dengan rangka trellis (berwarna kuning atau merah) yang terdedah. Sistem suspensinya terdiri daripada sistem stereng bebas (ISS) pada bahagian depan dan penyerap hentak hidraulik tunggal pada bahagian belakang.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan angkup brek Brembo yang dipadankan dengan cakera 200 mm di depan dan 190 mm di belakang. Rim berukuran 12 inci di depan dan 13 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli bersaiz 120/70 dan 140/60.

Selain itu, terdapat lampu LED depan dan belakang, lampu membelok berjujukan (sequential) dan paparan instrumen digital. Berat Dragster adalah sekitar 140 kg, dengan ketinggian pelana 700 mm dan tangki bahan api 9 liter.

Apa yang menarik, pelanggan boleh menyerlahkan lagi prestasi skuter mereka dengan pelbagai jenis aksesori yang ditawarkan. Ia termasuk sistem suspensi Ohlins, sistem ekzos slip-on Akrapovic, madgad gentian karbon, kit perlumbaan Brembo dan banyak lagi.

KEMAS KINI: Chear Global, selaku pengedar rasmi Italjet, telah mengumumkan harga jualan rasmi Dragster iaitu RM29,500 untuk varian 125 cc dan RM34,800 untuk 200 cc.