Arkib Tag: Isuzu D-Max 2026

Isuzu D-Max 2.2 liter terus dapat sambutan, varian Standard 4×4 Auto paling laris

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lalu, trak pikap Isuzu D-Max dengan enjin baharu 2.2 liter terus mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia.

Model baharu ini menyumbang kepada pegangan pasaran 17.3 peratus bagi segmen trak pikap dalam tempoh suku kedua 2026, atau peningkatan 3 peratus berbanding suku pertama.

Varian paling laris – Standard 4×4 Auto!

Varian Standard 4×4 Auto 2.2 liter menjadi varian paling laris, menyumbang kepada 36 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan D-Max.

Selain itu, varian Single Cab 4×4 turut menerima sambutan hangat di mana 60 peratus terdiri daripada trak transmisi automatik.

Menurut Isuzu, enjin baharu 2.2 liter telah menjadi pilihan pembeli kerana ia menawarkan manfaat seperti pemanduan dinamik, penjimatan bahan api, serta transmisi automatik lapan-kelajuan yang sangat responsif.

Dengan pengenalan barisan model D-Max baharu, Isuzu kini menawarkan pilihan varian paling menyeluruh dalam pasaran tempatan (10 varian).

Enjin terbaik Isuzu

Kenichi Kudo, Ketua Pegawai Operasi bahagian kenderaan komersial ringan Isuzu Malaysia berkata, enjin tersebut menambah dimensi baharu kepada keseronokan pemanduan serta keupayaan Isuzu D-Max yang ada ketika ini.

“Barisan Isuzu D-Max dengan enjin 2.2 liter baharu dan transmisi automatik lapan-kelajuan telah menunjukkan prestasi jualan yang sangat baik sejak dilancarkan.

“Enjin baharu ini memberikan tahap yang lebih baik dalam setiap aspek penawarannya — kecekapan bahan api, janaan kuasa, kesenyapan serta emisi.

“Itulah sebabnya kami tidak teragak-agak untuk menggelarnya sebagai enjin terbaik yang pernah kami hasilkan setakat ini,” jelasnya.