Arkib Tag: Inster

Hyundai Inster Lounge 2027 – kabin lebih selesa, jarak sehingga 360 km

Hyundai Motor Europe telah memperkenalkan Inster Lounge, varian paling tinggi dalam barisan EV kompak itu. Diposisikan di atas Inster standard dan Inster Cross yang berimej lebih lasak, versi Lounge ini memberi penekanan kepada aspek keselesaan, kualiti kabin serta fleksibiliti tanpa mengorbankan ciri praktikal model asal.

Kabin dan penampilan lebih premium

Naik taraf paling ketara dapat dilihat pada ruang dalaman, yang kini menampilkan gabungan kemasan fabrik dan kulit, lapik bumbung knitted serta padanan warna eksklusif.

Hyundai turut melengkapkan model ini dengan sistem pembesar suara premium dengan membran Kevlar, selain tempat duduk hadapan yang boleh dilipat rata sepenuhnya serta tempat duduk belakang yang boleh digelongsorkan dan dilaraskan sudut sandarannya.

Dari segi luaran, Inster Lounge tampil dengan gril baharu, rim aloi 17 inci, pelindung sisi berwarna perak serta pilihan warna baharu Glow Mint. Pilihan warna lain termasuk Atlas White, Unbleached Ivory, Tomboy Khaki dan Abyss Black Pearl.

Kekal praktikal dengan kelengkapan moden

Walaupun tampil lebih premium, aspek praktikal masih menjadi keutamaan. Susun atur tempat duduk yang fleksibel bersama papan lantai ruang kargo boleh laras memudahkan pengguna mengubah konfigurasi mengikut keperluan.

Kelengkapan standard merangkumi kluster instrumen digital 10.25 inci, skrin infotainmen 10.25 inci serta pelbagai sistem bantuan pemandu. Pengecas telefon pintar tanpa wayar pula ditawarkan sebagai pilihan.

Dua pilihan bateri, jarak gerak sehingga 360 km

Inster Lounge ditawarkan dengan dua pilihan trenkuasa elektrik. Varian asas menggunakan bateri 42 kWh bersama motor elektrik 71 kW (97 PS), manakala versi lebih tinggi dipadankan dengan bateri 49 kWh dan motor 84 kW (115 PS).

Varian dengan bateri lebih besar menawarkan jarak gerak sehingga 360 km mengikut kitaran WLTP. Ia turut menyokong pengecasan pantas DC, yang membolehkan tahap bateri dicas daripada 10% hingga 80% dalam masa sekitar 30 minit di bawah keadaan optimum.

Pengeluaran Inster Lounge akan bermula pada Jun 2026 sebelum diperkenalkan secara berperingkat ke pasaran Eropah.

Hyundai Insteroid adalah EV kecil yang disuntik steroid

Diperkenalkan buat pertama kali pada Jun tahun lalu, Hyundai Inster merupakan kenderaan elektrik subkompak yang comel pada pandangan mata.

Tidak lama lagi, EV itu bakal mempunyai ‘kembar’ yang lebih agresif dan ganas yang dikenali sebagai Insteroid.

Menurut Hyundai, nama Insteroid datang daripada gabungan ‘Inster’ dan ‘Steroid’. Ia masih belum didedahkan sepenuhnya (itu akan berlaku pada awal April) namun teaser rasmi ini menunjukkan sedikit sebanyak rekaan model itu.

Apa yang kami boleh lihat, Insteroid didatangkan dengan lampu utama berbentuk bulat dan lampu piksel yang sama seperti Inster namun selain itu, ia adalah jentera yang berbeza sama sekali.

Ini kerana Insteriod memakai kit badan lebar dan spoiler belakang gergasi yang direka berdasarkan permainan video. Bagi penulis, ia kelihatan tidak ubah seperti kereta rali WRC yang sebenar.

Selain itu, ia juga mempunyai skup bumbung, liang udara pada bahagian fender, diffuser belakang yang menonjol dan rim cakera 21 inci. Bahagian dalamannya masih belum ditunjukkan namun ia jelas telah dikosongkan bagi memberi ruang kepada sangkar keselamatan.

Spesifikasi teknikal Insteroid juga masih belum diketahui namun memandangkan ia dilengkapi dengan butang Boost dan mod Track, ia pastinya lebih berkuasa dan mengujakan untuk dipandu jika dibandingkan dengan Inster.

Kereta itu, yang mana menurut Hyundai sangat popular di Korea Selatan dan Eropah, dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan 97 PS dalam versi Standard atau 115 PS dalam versi Long Range.

Hyundai Inster diperkenalkan, boleh dipandu sejauh 355 km, ada pengecasan DC 120 kW

HYUNDAI telah memperkenalkan Inster, kenderaan elektrik (EV) subkompak yang akan bersaing dalam pasaran segmen A.

Dibangunkan berasaskan model Casper, Inster akan ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dan Long Range.

Versi Standard menampilkan motor elektrik tunggal dengan 97 PS dan 147 Nm, serta pek bateri 42 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 300 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP.

Sementara itu, versi Long Range juga mempunyai satu motor elektrik namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 115 PS. Kapasiti baterinya juga lebih besar iaitu 49 kWh, membolehkan Inster dipandu sejauh 355 km.

Hyundai berkata pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 11.7 saat untuk Standard dan 10.6 saat untuk Long Range. Kelajuan maksimum masing-masing pula dihadkan pada 140 km/j dan 150 km/j.

Walaupun bersaiz kecil, Inster menyokong pengecasan pantas DC dengan kapasiti sehingga 120 kW yang memerlukan 30 minit untuk memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80%.

Ia juga didatangkan dengan pengecasan AC 11 kW yang boleh mengecas bateri sehingga penuh dalam masa 4 jam untuk Standard dan 4 jam 35 minit untuk Long Range. Turut disertakan adalah ciri Vehicle-to-Load (V2L).

Dari segi saiz, Inster mempunyai ukuran panjang 3,825 mm, lebar 1,610 mm, tinggi 1,575 mm dan tapak roda 2,580 mm.

Reka bentuk luarannya tidak jauh berbeza dengan Casper namun seperti yang boleh dilihat, model ini mempunyai lampu nyalaan siang LED yang lebih unik dengan grafik piksel pada lampu isyarat membelok dan lampu belakang. Rim didatangkan dalam saiz 15 inci (keluli biasa atau aloi) atau 17 inci (aloi), bergantung kepada spesifikasi.

Pilihan warna yang ditawarkan agak meluas, termasuk Atlas White, Tomboy Khaki, Bijarim Khaki Matte, Unbleached Ivory, Sienna Orange Metallic, Aero Silver Matte, Dusk Blue Matte, Buttercream Yellow Pearl, dan Abyss Black Pearl.

Di dalam, Inster memfokuskan kepada teknologi dan kemudahan menerusi kluster digital 10.25 inci, skrin sistem infotainmen 10.25 inci dan pengecas tanpa wayar pada konsol tengah. Pelanggan boleh memilih warna hitam, Khaki Brown atau Newtro Beige dua tona dengan trim fabrik.

Apa yang menarik, semua tempat duduk termasuk tempat duduk pemandu boleh dilipat rata. Tempat duduk belakang pula dibahagikan secara 50:50 dan boleh digelongsor. Kapasiti ruang but adalah 280 liter, boleh dibesarkan lagi sehingga 351 liter dengan menolak kerusi belakang ke depan.

Menurut Hyundai, bahagian luaran dan dalaman Inster menggunakan bahan mampan. Sebagai contoh, kemasan hitam berkilat pada bahagian badan dicat menggunakan cat kitar semula, manakala untuk ruang kabin, Hyundai menggunakan botol PET yang dikitar semula dan bio-polipropilena.

Sistem keselamatan pula merangkumi ciri-ciri ADAS seperti Surround View Monitor, Parking Collision-Avoidance Assist Rear,Blind-spot View Monitor, Forward Collision-Avoidance Assist 1.5, Lane Keeping Assist (LKA),Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Safety Exit Warning, Highway Driving Assist 1.5 dan pelbagai lagi.

Tidak seperti Casper yang hanya boleh didapati di Korea Selatan, Inster akan memasuki pasaran Eropah, Timur Tengah dan juga Asia Pasifik.