Arkib Tag: industri

Tahun 2022 cipta sejarah! Jualan kereta paling tinggi di Malaysia

INDUSTRI automotif tempatan mencatatkan sejarah tersendiri apabila merekodkan jualan keseluruhan industri (TIV) tertinggi bagi 2022.

Sebanyak 720,658 unit kenderaan terjual dalam negara selepas angka jualan mengalami penurunan dua tahun berturut-turut (2020 dan 2021).

Menurut Harian Metro, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata: “Pencapaian TIV itu adalah rekod tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah industri automotif tempatan.

“Pencapaian bersejarah itu juga mengatasi sasaran MAA iaitu 630,000 unit yang ditetapkan Julai tahun lalu.

“TIV 2022 melepasi paras 700,000 unit buat kali pertama dalam sejarah walaupun dibayangi pelbagai cabaran seperti peralihan ke fasa endemik, dasar sifar Covid-19 China, pergolakan geopolitik Rusia-Ukraine, perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China serta isu rantaian bekalan,” tambahnya.

Menurut Aishah, di peringkat domestik pula, pasaran berdepan cabaran isu bekalan cip dan ketidaktentuan politik yang berakhir selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pencapaian TIV tahun lalu mengatasi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan pada 2015 iaitu sebanyak 666,674 unit.

Aishah berkata, prestasi TIV itu turut didorong oleh keputusan pihak berkuasa memberi lanjutan pengecualian cukai jualan sejak 2021 sehingga 30 Jun 2022 dan kadar faedah yang lebih rendah pada 2021.

Menurutnya, 60 peratus daripada TIV 2022 juga disumbangkan oleh jualan kenderaan nasional, yang didominasi Perodua dan Proton, manakala segmen kenderaan penumpang (641,773 unit) dan komersial (78,885 unit) turut merekodkan jualan tertinggi tahun lalu.

Manakala bagi jumlah pengeluaran insdustri (TPV) pula, beliau berkata, kenderaan baharu pada 2022 meningkat 220,624 unit naik 45.8 peratus kepada 702,275 unit berbanding 481,651 unit pada 2021.

Mengenai unjuran TIV bagi tahun ini, Aishah berkata, MAA menyasarkan TIV sebanyak 650,000 di mana suku pertama ini jualan tidak akan mengalami sebarang isu berikutan pengecualian cukai akan tamat pada Mac 2023, namun ia dijangka akan lebih perlahan berikutan tiada insentif yang akan diberikan untuk industri automotif tahun ini.

Harga kereta Perodua kekal untuk 2023, kos bahan mentah dan bahan api masih terurus

TIADA perubahan dan kenaikan untuk kereta Perodua bagi 2023 setakat ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

“Dalam merealisasikannya, kami berharap harga bahan mentah dan harga bahan api kekal terurus dan pada masa yang sama, kami juga berharap pertukaran mata wang asing serta kadar faedah akan lebih menggalakkan pertumbuhan industri,” kata Dato’ Sri Zainal.

Beliau menambah, buat masa ini, sekiranya faktor-faktor ini kekal pada paras yang wajar, Perodua akan mengekalkan harga kenderaannya.

Bagi 2023, beliau berkata Perodua dan rakan niaganya akan memberi tumpuan untuk memanfaatkan pertumbuhan yang dicapai setakat ini dan mengembangkan lagi kapasiti.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah untuk menghantar kenderaan Perodua kepada mereka yang menempah dalam tempoh pengecualian cukai jualan kerana harga kenderaan ini akan kekal seperti yang dipersetujui sehingga tarikh akhir 31 Mac 2023,” katanya.

Beliau juga berkata Perodua akan terus memperkenalkan teknologi baharu di dalam produk dan perkhidmatannya pada masa hadapan serta melabur di dalam inovasi teknologi bagi operasinya.

“Selain itu, kami juga akan menggalakkan rakan niaga kami, iaitu para pembekal dan pengedar untuk terus melabur dalam teknologi baharu supaya mereka lebih berdaya saing dan produktif.

“Kami akan mengumumkan senarai penuh sasaran kami pada bulan Januari dan saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas sokongan berterusan mereka, rakan kongsi kami atas dedikasi mereka, kakitangan Perodua atas pengorbanan dan kerja keras mereka serta para pelanggan kami yang dihargai atas sokongan setia mereka,” katanya.

Perodua dan MIDA kerjasama dalam transformasi digital ekosistem automotif

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini memulakan kerjasama strategik mereka dengan memperkenalkan Program Ekosistem Transformasi Digital bagi sektor automotif negara ini.

Dilancarkan dalam satu acara di ibu pejabat MIDA hari ini, program itu bertujuan menaiktaraf pembekal automotif tempatan ke peringkat seterusnya dengan menggunakan teknologi dan jentera termaju serta mendigitalkan proses pembuatan mereka dengan menggunapakai Industri 4.0.

“Syarikat-syarikat tempatan memainkan peranan utama dalam membina ekosistem industri negara, ke arah menyokong syarikat-syarikat besar dan syarikat multinasional,” kata Datuk Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA.

“Di bawah inisiatif MIDA, untuk memberi kemudahan kepada syarikat-syarikat menggunapakai pendigitalan dan Industri 4.0, kami berjaya menyumbang kepada pertumbuhan besar pembuatan Perodua, melalui pemerkasaan rakan kongsi industri dan penyedia perkhidmatan mereka.

“Kerajaan juga sentiasa berusaha untuk mempromosi dan membantu syarikat tempatan  untuk meningkatkan dan menyegerakan penggunaan teknologi pembuatan pintar dan Industri 4.0 melalui pelbagai insentif dan kemudahan,” tambahnya.

Untuk tahun 2022, MIDA meneruskan inisiatifnya melalui seminar pelaburan domestik, penglibatan dengan persatuan-persatuan dan dewan-dewan perdagangan kebangsaan, program rantaian industri/rantaian bekalan serta komitmen platform penyelarasan pelaburan domestik.

MIDA akan berusaha menyelaraskan sesi pemadanan perniagaan antara syarikat-syarikat utama dan bakal pembekal/penyedia perkhidmatan tempatan dalam industri tertentu, daripada pengaturan rangkaian untuk syarikat-syarikat dan bakal pembiaya serta penyedia teknologi.

Sehingga 30 Jun 2022, 238 syarikat milik rakyat Malaysia telah diluluskan dengan geran perniagaan bernilai RM138.5 juta.

Penerima adalah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) daripada industri intensif buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil, manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan.

Sementara itu, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata: “Program Ekosistem Transformasi Digital MIDA-Perodua adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan dari segi rantaian bekalan dan nilai, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dan pengkomersilan.

“Program ini adalah untuk mempamerkan kemajuan projek kumpulan pertama serta mengalu-alukan kumpulan kedua ke projek tersebut kerana mereka juga turut membentangkan idea Industri 4.0 yang boleh dilaksanakan di dalam operasi mereka.”

“Peranan Perodua adalah untuk sentiasa membangunkan ekosistem automotif dan program ini merupakan satu lagi contoh komitmen kami ke arah objektif tersebut.”

Fasa pertama perkongsian strategik MIDA-Perodua telah melahirkan tiga rakan kongsi niaga yang berpotensi, iaitu LSF Technology Sdn.Bhd., J.K. Wire Harness Sdn. Bhd. dan Autoliv Hirotako Safety Sdn. Bhd.

Syarikat-syarikat ini juga telah diberikan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebagai sebahagian daripada inisiatif Kerajaan untuk membantu syarikat tempatan memasuki rantaian bekalan global.

Di bawah program seumpama ini, MIDA dan Perodua juga telah mengenal pasti lima vendor baharu yang telah menunjukkan potensi dan berpeluang untuk berkembang.

Ini termasuklah Armstrong Auto Parts Sdn. Bhd., Ingress Aoi Technologies Sdn. Bhd., Namicoh Suria Sdn. Bhd., P.D. Kawamura Kako Manufacturing Sdn. Bhd. dan Kumpulan Jebco (M) Sdn. Bhd.