Arkib Tag: ikonik

7 kereta ikonik dari dunia filem Hollywood

BAGI kebanyakan kaki kereta, minat terhadap dunia empat roda mula timbul selepas didedahkan (biasanya oleh rakan atau ahli keluarga) kepada permainan seperti Hot Wheels dan Tamiya atau permainan video seperti Gran Turismo.

Namun, tidak kurang juga ada yang menjadi petrolhead selepas menonton filem-filem tertentu. Dalam artikel ini, penulis senaraikan tujuh kereta paling ikonik dari filem Hollywood yang dipilih oleh penulis sendiri.

Sebelum itu, penulis ingin memohon maaf awal-awal kepada peminat Fast & Furious kerana tiada satu pun kereta dari francais itu yang tersenarai.

Aston Martin DB5 – Goldfinger

Gambar oleh: Eon Productions

Sejujurnya, penulis tidak begitu meminati siri filem James Bond namun DB5 yang dipandu oleh Sean Connery dalam Goldfinger ini dipilih kerana ia menggabungkan reka bentuk klasik dengan gajet-gajet canggih seperti mesingan, penyembur minyak, penghadang kalis peluru dan lain-lain. Pada 2020, Aston Martin menghasilkan 25 unit DB5 yang diinspirasikan daripada filem itu.

Ferrari 250 GT California Spyder – Ferris Bueller’s Day Off

Gambar oleh: carscoops.com

250 GT California Spyder adalah antara kereta paling mahal pernah dihasilkan Ferrari, dengan harga bidaan mencecah belasan juta euro! Oleh itu tidak hairanlah pihak produksi mengambil keputusan untuk menggunakan tiga buah model replika yang dihasilkan oleh Modena Design & Development. Kalau berlaku kerosakan semasa penggambaran, siapa nak bayar?

6000 SUX – RoboCop (1987)

Gambar oleh: reddit

6000 SUX bukanlah model kereta sebenar, sebaliknya ia direka khusus untuk filem ini menggunakan Oldsmobile Cutlass Supreme. Sebenarnya tiada apa yang istimewa mengenai kereta ini cuma penulis merasakan namanya agak kelakar kerana ia berbunyi seperti sucks.

MINI Cooper – The Italian Job (2003)

Gambar oleh: MINI

Tahukah anda, MINI Cooper S yang digunakan dalam filem aksi ini sebenarnya mempunyai trenkuasa elektrik? Ini kerana pihak berkuasa Los Angeles tidak membenarkan pihak produksi menggunakan kereta dengan enjin pembakaran dalaman untuk penggambaran di stesen kereta api LA Metro. Jadi secara teknikalnya, ini adalah MINI Electric yang pertama.

DeLorean DMC-12 – Back to the Future

Gambar oleh: Petersen Automotive Museum

Siapa sangka, kereta yang futuristik ini sebenarnya gagal di pasaran disebabkan beberapa faktor seperti strategi perniagaan yang lemah dan kes dadah melibatkan pengasasnya, John Delorean. Namun, terima kasih kepada trilogi Back to the Future, peminatnya semakin lama semakin bertambah dan ini menyebabkan harganya terus meningkat.

Chevrolet Camaro Replica – Transformers

Gambar oleh: camaro5.com

Sebenarnya Camaro tidaklah begitu diminati sebelum ia muncul dalam filem Transformers sebagai Bumblebee pada 2007. Untuk filem ini, pihak produksi sebenarnya menggunakan versi replika yang direka berdasarkan Camaro Concept keluaran 2006 kerana Camaro generasi kelima masih belum dikeluarkan pada ketika itu.

Batmobile – Batman & Batman Returns

Gambar oleh: Petersen Automotive Museum

Bagi penulis, ini adalah Batmobile yang paling cantik pernah dihasilkan. Direka oleh Julian Caldow dan dibina oleh John Evans, Batmobile ini sebenarnya dibina menggunakan casis Chevrolet Impala dan dikuasakan oleh enjin V8. Antara cirinya yang paling menarik adalah ekzos after-burner dan perisai yang boleh diaktifkan menerusi arahan suara.

BMW 700 Coupe yang rare dan ikonik ini sedang dipamerkan di Regas Premium Auto, Kuching

Sebuah kereta klasik istimewa BMW 700 Coupe kini sedang dipamerkan di Regas Premium Auto, iaitu bilik pameran BMW di Kuching, Sarawak. Ia dipamerkan di sudut Heritage di bilik pameran flagship itu.

Apa yang menarik mengenai BMW 700 Coupe ini? Menurut Gavin Tay, Prinsipal Pengedar di Regas Premium Auto Kuching, “BMW 700 Coupe merupakan jentera BMW yang pertama menampilkan struktur monocoque, dan ia telah membantu BMW keluar daripada kancah kemuflisan pada tahun 1959.

“Malah, model ini juga telah membina sebuah legasi dalam dunia automotif bagi kenderaan kecil, sporti dan bertaraf premium yang masih digemari oleh ramai peminat BMW, walaupun 50 tahun sudah berlalu sejak keluaran terakhirnya.”

BMW 700 merupakan legasi Wolfgang Denzel, iaitu seorang jurutera automotif dan wakil pengedar bagi jenama ini di Austria.

Denzel telah bekerjasama dengan pereka berbangsa Itali, Giovanni Michelotti untuk merekabentuk konsep kenderaan tersebut berdasarkan casis jentera BMW 600 pada waktu itu.

Berbekalkan casis dan suspensi BMW 600 yang telah mantap penggunaannya, termasuk transmisi empat kelajuan ‘all-synchromesh’, diferential gear serong, unit kuasa berkembar – yang pada asalnya digunakan pada motosikal BMW, kemudian telah ditingkatkan saiznya daripada 600cc kepada 700cc.

Model konsep ini telah diluluskan pada Oktober 1958, dan ia telah menjurus kepada pengeluaran varian Coupé dan Sedan oleh BMW.

Pada 9 Jun 1959, Lembaga Pengurusan BMW yang dipimpin oleh Ketua Eksekutif Dr. Heinrich Richter-Brohm telah melancarkan BMW 700 Coupé yang baharu kepada orang ramai di Feldafing, Munich.

Ketibaannya telah diraikan di serata dunia kerana ia mampu mengekalkan tahap kelajuan dan pecutan yang tertinggi seperti model yang terdahulu – malah ia juga mampu melakukannya dengan ruang yang lebih besar tanpa berat berlebihan.

Pengeluar kenderaan premium ini berjaya menyerahkan lebih daripada 35,000 kenderaan pada tahun 1960, dan BMW 700 mencakupi 58 peratus daripada seluruh pendapatan jenama ini. Penyerahan jentera BMW 700 telah mencecah 190,000 unit menjelang akhir tahun 1965.

Meskipun hanya dikeluarkan selama enam tahun, jentera rare dan unik ini memperoleh status ikonik yang berkekalan dalam sejarah BMW Group, dan ia masih menambat hati ramai peminat jenama Bavaria itu hingga hari ini.

Jika anda tinggal di Kuching dan kawasan berdekatan, bolehlah melihat BMW ikonik ini di Regas Premium Auto.

Layari https://www.bmw-regas.com.my/ atau hubungi 082-467777 untuk mendapati butiran mengenai waktu kunjungan bagi seksyen Heritage ini dan membuat temujanji.