Arkib Tag: iCaur V23

iCaur V23 menang anugerah Red Dot 2026 dalam kategori konsep rekaan

iCaur V23 dinobatkan sebagai pemenang Red Dot Award: Design Concept 2026 di Jerman, baru-baru ini.

Ia merupakan pengiktirafan berprestij di mana Red Dot Award sering digelar sebagai anugerah Oscar dalam kategori rekaan.

Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan keupayaan reka bentuk iCaur, malah membuktikan estetika klasik masih mempunyai tempat dalam era elektrifikasi.

Berbeza dengan kategori produk, penilaian konsep menuntut juri menilai sesuatu produk berdasarkan kualiti reka bentuk dan tahap pemilikan kreatif.

iCaur V23 berjaya menarik tumpuan juri menerusi keupayaannya untuk mentafsirkan semula DNA klasik menerusi perspektif teknologi dan estetika tenaga baharu.

Reka bentuk ikonik

V23 sangat terkenal dengan siluet berbentuk kotak dan tetapan roda yang diposisikan hampir ke setiap bucu.

Ia menawarkan dimensi lebar 1.9 meter dan tinggi 1.84 meter, menyumbang kepada nisbah lebar-ke-tinggi hampir 1:1.

Antara perincian lain termasuklah perumah lampu bulat yang mengekalkan identiti SUV klasik, diikuti penutup radar lutsinar dan lampu brek tinggi gaya piksel memberikan sentuhan teknologi moden.

Modul ‘backpack’ di belakang pula mengekalkan fungsi sambil menambah elemen karakter unik dalam era tenaga baharu.

Ruang ketiga untuk kebebasan personaliti

Selain itu, V23 juta tidak terikat pada kerangka SUV off-road hardcore yang tradisional.

Sebaliknya, ia mewujudkan ‘ruang ketiga‘ yang membenarkan pengguna menunjukkan personaliti tersendiri menerusi lebih 20 antaramuka yang disediakan untuk tujuan pengubahsuaian.

Kempen bola sepak ‘iCaur Turun Padang’

Sempena demam bola sepak, iCaur melancarkan kempen ‘iCaur Turun Padang’ dari 18 Jun hingga 19 Julai.
Pelanggan boleh melihat model V23 dengan lebih dekat di bilik pameran iCaur, mencubanya melalui sesi pandu uji dan berpeluang memenangi hadiah menarik.

iCaur Malaysia tubuh kelab rasmi rai pencapaian 1,800 EV atas jalan

iCaur Malaysia mencatatkan satu pencapaian baharu dengan jumlah kenderaan berdaftar kini mencecah 1,800 unit di jalan raya.

Pencapaian ini mencerminkan permintaan terhadap iCaur, seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) off-road.

Kelab rasmi ditubuhkan

Dalam satu acara penyerahan kepada pemilik yang ke-1,800, kelab rasmi pertama jenama tersebut (Kelab Pemilik iCaur Malaysia) turut ditubuhkan.

Direka sebagai nadi komuniti iCaur, kelab pemilik ini menghimpunkan para pemilik menerusi pertemuan, pengalaman bersama, dan aktiviti gaya hidup.

Kelab ini berpaksikan kepada dua teras utama:

  • Perjalanan Pengubahsuaian yang memberi peluang kepada pemilik untuk bertukar idea dan meraikan kreativiti
  • Pembangunan Komuniti yang menumpukan kepada usaha mengeratkan hubungan sesama ahli menerusi pelbagai aktiviti menarik

iCaur V23 laris sepanjang Februari 2026

Dengan 179 pendaftaran, iCaur V23 muncul sebagai EV ketiga paling laris di Malaysia, sementara iCaur 03 pula berada di tangga ketujuh.

Sepanjang tahun 2025, iCaur 03 merupakan EV ke-14 paling laris dengan 836 unit telah didaftarkan dalam tempoh empat bulan pertama.

Menurut Francis Chin, Pengarah Kanan iCaur Malaysia berkata, “pencapaian 1,800 kenderaan menandakan detik bermakna bagi iCaur Malaysia.

“iCaur kekal komited untuk menerajui segmen NEV pengembaraan lasak, serta menarik minat generasi yang menghargai keunikan diri, ekspresi peribadi serta inovasi melalui ekosistem tersendiri,” ujarnya lagi.

iCaur V23 Edisi Retro kini di Malaysia – kit badan berharga RM22,000

iCaur Malaysia mengumumkan ketibaan model iCaur V23 Edisi Retro menawarkan naik taraf imej lasak yang lebih klasik.

Kit tersebut merangkumi aksesori seperti berikut:

  • jeriji hadapan krom
  • gerbang roda depan dan belakang krom
  • hiasan fender kiri dan kanan
  • kemasan krom bampar depan dan belakang
  • tempat pemijak sisi
  • rak bumbung berserta tangga sisi

iCaur Malaysia menawarkan kit tersebut pada harga bermula dari RM22,000.

Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Lunar, kit tersebut boleh didapati pada harga istimewa RM18,888 terhad kepada 88 set sahaja.

Kit ini tersedia untuk pemilik V23 sedia ada serta pelanggan baharu, di mana proses tempahan dan pemasangan dikendalikan oleh semua pengedar sah iCaur di seluruh negara.

Pakej kit badan Retro ini didatangkan dengan jaminan selama 12 bulan, sementara tempat pemijak sisi pula hadir dengan jaminan 18 bulan.

iCaur V23 merupakan SUV elektrik segmen C yang menawarkan keupayaan pemanduan off-road.

Terdapat dua varian yang ditawarkan, iaitu varian 2WD (harga RM119,870) dan varian iWD (harga RM132,980) dengan enam pilihan warna iaitu Off-Road Orange, Khaki White, Army Green, Slate Silver, Gravel Grey dan Carbon Black.

iCaur V23 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM119,800

iCaur Malaysia baru-baru ini mengumumkan harga jualan rasmi bagi SUV off-road elektrik V23 untuk pasaran tempatan, bermula dari RM119,800 untuk versi 2WD, dan RM132,800 untuk versi iWD.

Varian 2WD dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan 136 PS dan 180 Nm, digandingkan dengan bateri LFP 59.9 kWh untuk jarak pandu sejauh 360 km (data NEDC).

Sementara varian iWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 211 PS dan 292 Nm, bateri NMC 81.8 kWh untuk jarak gerak sejauh 430 km.

V23 menyokong pengecasan AC 6.6 kW, serta pengecasan pantas DC 85 kW, atau sehingga 104 kW untuk varian iWD.

V23 membawakan ukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.

Dengan unjuran pendek di kedua-dua hujung, V23 boleh menawarkan sudut pelepasan 41 darjah serta sudut pendekatan 42 darjah.

Tidak ketinggalan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, dan keupayaan untuk meredah air sedalam 600 mm.

Antara ciri di bahagian luar termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang LED, tempat pemijak sisi, serta rim saiz 21 inci atau saiz 19 inci untuk varian 2WD.

Ruang kabin V23 menempatkan skrin infohibur sebesar 15.4 inci yang dipacu oleh unit pemproses Qualcomm Snapdragon 8155, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio dengan 7 pembesar suara, serta butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan mod pemanduan (Eco, Comfort, Sport, Individual, Slippery, Off-road).

Ruang kargo adalah sebesar 234 liter, dan boleh mencecah sehingga 744 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Ciri keselamatan termasuklah brek kecemasan autonomi (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran penukaran lorong (LCW), amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran belakang (RCW), pengelakan keluar lorong (LDP), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), kawalan jelajah adaptif (ACC), sistem pengesanan titik buta (BSD) dan amaran bukaan pintu (DOW).

Selain itu, terdapat juga sistem kamera keliling (AVM) 540 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan juga unit pembaca NFC yang diletakkan di dapra sisi pemandu.

Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Off Road Orange, Khaki White, Army Green, Slate Silver dan Carbon Black.

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej berikut:

  • Jaminan kenderaan 7-tahun atau had 150,000 km
  • Jaminan bateri dan unit pacuan 8-tahun atau had 160,000 km
  • Jaminan penggantian bateri sekiranya SoC turun bawah 70 peratus

Untuk 1,000 pembeli pertama, iCaur Malaysia menawarkan pengecas dinding 7 kW percuma bernilai RM3,400 serta unit kluster instrumen tambahan bersaiz 6.86 inci bernilai RM1,000.

Selain itu, pembeli akan menerima jaminan lanjutan bateri, motor elektrik dan unit kawalan kuasa sehingga 10 tahun atau had 200,000 km.

iCaur V23 versi RHD muncul di Malaysia – pelancaran rasmi Q4 2025, dari RM145,000

iCaur Malaysia memperlihatkan model SUV elektrik kedua yang bakal dilancarkan pada suku keempat tahun ini (Q4 2025), iaitu iCaur V23.

Harga jualan anggaran bermula dari RM145,000 hingga RM155,000.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Varian

Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 2WD dan iWD.

Varian 2WD dijana dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 136 PS dan 180 Nm, dipadankan dengan pek bateri LFP 59.9 kWh.

Sementara varian iWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik dengan sistem pacuan semua roda pintar, kuasa keseluruhan 211 PS dan 292 Nm yang disokong oleh bateri NMC 81.8 kWh.

Jarak gerak boleh mencecah sehingga 401 km untuk versi 2WD, atau sehingga 501 km untuk varian iWD.

 

2. Pengecasan

Secara standard, iCaur V23 menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW.

Keupayaan pengecasan pantas pula berbeza, di mana varian 2WD menyokong pengecasan DC sehingga 85 kW, atau sehingga 104 kW untuk varian iWD.

SUV ini turut dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L) sehingga 3.3 kW, sesuai untuk aktiviti luar.

 

3. Casis

Dari segi dimensi, ia berukuran sepanjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.

Bermakna, ia sebenarnya lebih pendek jika dibandingkan dengan iCaur 03 yang telah dilancarkan sebelum ini.

Suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di depan dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.

V23 menggunakan casis unibodi namun dengan pengaruh rekaan daripada beberapa SUV off-road ikonik era terdahulu seperti Land Rover Defender, Toyota Land Cruiser dan Mercedes-Benz G-Class.

Antara kelengkapan termasuklah lampu utama berbentuk bulat, rim 19 inci (21 inci untuk varian iWD), tempat pemijak sisi, serta pintu belakang bukaan sisi lengkap dengan kotak storan kecil.

 

4. Kabin

Kabin V23 tampil minimalis, namun tetap dilengkapi dengan beberapa butang dan tombol fizikal yang besar dan mudah dicapai.

Ia turut dilengkapi dengan skrin paparan sebesar 15.4 inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sokongan kamera casis lutsinar 540 darjah, serta tombol khas untuk penukaran mod pemanduan.

 

5. Keselamatan

V23 dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2) merangkumi ciri seperti kawalan jelajah adaptif (ACC), amaran keluar lorong (LDW) dan brek kecemasan autonomi (AEB).