Hyundai Motor Malaysia baru-baru ini mempertontonkan varian tertinggi bagi MPV segmen B yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Hyundai Stargazer X.
Berbeza dengan Stargazer yang dipamerkan di KLIMS 2026, Stargazer X memiliki penampilan yang lebih lasak.
Kelengkapan
Di bahagian depan, Stargazer X mendapat ciri seperti logo H berwarna hitam, jeriji radiator hitam/perak, serta bampar yang lebih sporti.
Bahagian sisi menampilkan rim aloi hitam berkilat saiz 17 inci, skirt sisi diikuti plastik pelindung gerbang roda.
Ciri lain termasuklah spoiler belakang, tetapan brek cakera belakang dan rel bumbung (had muatan 100 kg).
Sama seperti varian Prime, varian X ini mendapat skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 10.25 inci, serta brek parkir elektronik (EPB).
Kelengkapan lain termasuklah:
- tombol gear pada kolum stereng (shift-by-wire)
- tempat duduk balutan leatherette
- kerusi kapten baris kedua
- konsol tengah jenis terapung
- perehat tangan
- pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar
- meja boleh lipat
- sistem audio 6-pembesar suara
Ciri keselamatan termasuklah:
- sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
- amaran penumpang belakang (ROA)
- kawalan jelajah pintar dengan fungsi Stop & Go
- kelengkapan ADAS Hyundai SmartSense
- enam beg udara
Berbeza dengan varian Stargazer X di Indonesia, model pasaran tempatan tidak mendapat ciri berikut:
- sistem pemantauan keliling
- sistem pemantauan titik buta
- sistem pencahayaan ambien
- larasan kuasa dan pengudaraan untuk tempat duduk pemandu
- sistem audio 9-pembesar suara
MPV tiga baris tempat duduk ini dikuasakan oleh enjin 4-silinder 1.5 liter yang mampu menjana 113 hp @ 6,300 rpm dan 144 Nm @ 4,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi kotak gear IVT (Intelligent Variable Transmission).
Hyundai Stargazer X akan dipamerkan sepanjang hujung minggu ini (8-9 Ogos) di acara Durian Runtuh Hyundai bertempat di tempat parkir Stadium MBPJ Kelana Jaya.
