Arkib Tag: Huawei

Maextro S800 dapat hampir 4,000 tempahan dalam tempoh seminggu

Sedan ultra mewah pertama jenama Maextro, iaitu S800 ternyata berjaya meraih tumpuan ramai dengan tempahan sebanyak 3,600 unit hanya dalam tempoh masa seminggu.

Untuk makluman, Maextro merupakan syarikat pengeluar automotif segmen mewah hasil kerjasama antara Huawei dan JAC.

Dengan harga jualan bermula dari 708,000 yuan hingga 1,018,000 yuan (RM418 ribu-RM600 ribu), Maextro S800 ternyata mampu  menjadi alternatif kepada pesaing termasuklah Maybach S-Class dan Yangwang U7.

Maextro S800 memiliki dimensi yang agak besar, dengan panjang 5,480 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,536 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,370 mm.

Di pasaran China, S800 boleh didapati dalam varian EV dengan tetapan dua motor elektrik 523 hp dan pek bateri 95 kWh yang menawarkan jarak pandu 702 km (data CLTC).

Terdapat juga S800 versi penambah jarak (EREV) dengan pilihan dua atau sehingga tiga motor elektrik (825 hp) yang dipadankan dengan enjin 1.5 iter berkuasa 154 hp.

Pek bateri 65 kWh pula membolehkan sedan ini bergerak sehingga 400 km tanpa setitik petrol.

Sedan ini turut menawarkan opsyen kamera sisi menggantikan cermin sisi dan juga sistem stereng gandar belakang.

Ruang kabin S800 ini menawarkan sehingga tiga skrin paparan bersaiz 15.6 hingga 16 inci, skrin paparan head-up, sistem audio 2,920 W dengan 43 pembesar suara, dan juga fungsi tingkap penumpang yang boleh dikelamkan menggunakan isyarat tangan.

Bergantung kepada spesifikasi, pembeli boleh mendapatkan S800 dengan tetapan lima tempat duduk, atau varian empat tempat duduk yang lebih mewah.

Maextro S800, sedan elektrik mewah hasil kerjasama Huawei, JAC

Sebagai sebuah syarikat gergasi teknologi komunikasi global, Huawei telah mengejutkan dunia apabila muncul dalam dunia automotif menerusi jenama AITO.

Namun pada pertengahan tahun yang lalu, Huawei telah pun menjual tanda dagang dan paten Aito kepada Seres Group.

Selain AITO, Huawei turut membentuk beberapa syarikat kerjasama yang memfokuskan kepada produk EV premium, seperti Avatr (Changan), Luxeed (Chery), Stelato (BAIC) dan yang terbaharu jenama EV ultra mewah yang dikenali sebagai Maextro.

Maextro merupakan syarikat kerjasama yang terbentuk antara Huawei dan JAC Group, menyasarkan jenama premium seperti Bentley, Maybach dan Rolls-Royce menerusi pengenalan model pertama S800.

Maextro S800 secara asasnya merupakan sebuah sedan premium berkuasa elektrik dengan rekaan yang banyak diinspirasikan daripada sedan jenama Bentley, Rolls-Royce dan Maybach.

Antaranya ialah layangan warna dua tona seakan model Maybach, rekaan rim cakera macam model Rolls-Royce, dan kemasan krom yang mengingatkan kita pada model Bentley.

Beralih ke belakang, kita dapat melihat rekaan lampu utama yang menyamai unit yang wujud pada Porsche Panamera.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,480 mm, lebar 2,000 mm, tinggi 1,536 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,370 mm, mampu menyaingi saiz Maybach S-Class namun kecil sedikit berbanding Rolls-Royce Ghost dan Phantom EWB.

Ruang kabin S800 ini membawakan konfigurasi empat tempat duduk, dilengkapi dengan beberapa ciri mewah termasuklah hiasan LED ala gugusan bintang pada headliner, serta balutan upholsteri berkualiti tinggi.

Untuk sebuah syarikat JV yang disokong oleh Huawei, kita menjangkakan sedan S800 ini turut didatangkan dengan beberapa teknologi bantuan pemandu terkini termasuklah sistem berasaskan kepintaran buatan (AI) dan keupayaan pemanduan autonomi tahap 3.

Buat masa ini, Huawei masih belum sedia untuk mendedahkan perincian unit rangkaian kuasa yang digunakan oleh sedan Maextro S800 yang dibina berdasarkan platform Tuling Intelligent Chassis.

Namun, golongan pembeli berpotensi sudah boleh menempah sedan elektrik ini dengan meletakkan deposit serendah RMB 20,000 (RM12,256) di mana harga jualan dianggarkan antara RMB 1 hingga 1.5 juta (RM613 ribu-RM919 ribu).

Ini sekaligus meletakkan sedan S800 bersaing secara terus dengan Mercedes-Benz EQS dan BMW i7 di dalam segmen kenderaan elektrik mewah.

Kerjasama Huawei-Seres lancar SUV elektrik Aito M9, saiz BMW X7, jarak gerak 630 km

Disebabkan saiz pasaran China yang agak besar, tidak menghairankan apabila wujudnya pelbagai syarikat kerjasama antara nama-nama besar seperti Geely-Baidu, serta beberapa pengeluar peranti pintar terkemuka, seperti Huawei.

Syarikat kerjasama Huawei-Seres baharu sahaja melancarkan SUV flagship enam tempat duduk Aito M9 yang menampilkan teknologi Huawei yang terkini.

 

 

Ia membawakan ukuran yang lebih besar berbanding BMW X7, dengan dimensi sepanjang 5,230 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,110 mm, selain angka pekali seretan serendah 0.264 Cd sahaja!

Terdapat dua pilihan trenkuasa ditawarkan untuk M9.

Versi elektrik penuh menampilkan dua motor elektrik berkuasa 523 hp, dan pek bateri CATL 97.7 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 630 km untuk sekali cas penuh.

 

 

Sementara versi range extender pula mempunyai nadi 1.5 liter turbo yang bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk dua motor elektrik 490 hp dan pek bateri CATL dengan pilihan kapasiti 42 atau 52 kWh.

Tetapan range extender itu membolehkan M9 bergerak sejauh 1,362 hingga 1,402 km untuk gandingan bateri cas penuh dan tangki bahan api penuh.

Ciri unik yang wujud pada model M9 ini ialah projektor terbina pada bahagian hadapan yang dapat mengubah mana-mana permukaan rata menjadi paparan sebesar 100 inci, diikuti projektor laser pada ruang kabin dengan panel sebesar 32 inci yang boleh disimpan.

 

 

Papan pemuka M9 menjadi perumah kepada tiga skrin, terdiri daripada skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 15.6 inci dan skrin depan penumpang bersaiz 16 inci, diikuti dengan skrin paparan head-up 75 inci dan sistem audio 2,080 watt dengan 25 pembesar suara serta teknologi pengurangan bunyi aktif.

Terdapat empat lagi tambahan tablet paparan untuk penumpang baris belakang, di mana kesemuanya dijalankan dengan sistem operasi HarmonyOS 4 Huawei.

Kesemua enam tempat duduk dalam ruang kabin M9 mempunyai larasan berkuasa elektrik sehingga 14 tahap, fungsi pemanasan dan pengudaraan, serta boleh dikonfigurasikan mengikut keperluan.

 

 

Dari segi keselamatan, Aito M9 dilengkapi dengan sistem Huawei ADS 2.0 dan 27 unit penderia.

Di pasaran China, Aito M9 sudah boleh ditempah pada harga bermula dari 469,800 yuan hingga 569,800 yuan (RM304,481-RM369,292).