Arkib Tag: HSR

Projek RTS JB – Singapura lancar, kerajaan kaji bina HSR KL – Bangkok?

MENTERI Pengangkutan berkata, tahap kemajuan kerja projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura kini mencapai hampir 10 peratus.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjelaskan, proses pengambilan tanah selesai dan reka bentuk infrastruktur juga telah dimuktamadkan.

Sementara itu, kerja-kerja tanah, pengalihan utiliti serta kerja pemasangan cerucuk juga sedang dilaksanakan, lapor Bernama.

“Kementerian Pengangkutan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelaksanaan projek-projek mega ini,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

Laluan RTS adalah projek kereta api rentas sempadan sepanjang empat kilometre.

Ia menghubungkan terminal di Singapura iaitu stesen Woodlands North ke terminal Malaysia di Bukit Chagar, Johor Bahru.

Perkhidmatan itu mampu menyokong kapasiti puncak 10,000 penumpang setiap sejam di setiap hala.

Perbincangan awal projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura

Sementara itu, projek HSR Kuala Lumpur – Singapura masih dalam perbincangan awal di antara kedua kerajaan.

Ketika ini, Kementerian Pengangkutan sedang bersiap sedia mengadakan perbincangan awal dengan Singapura pada suku tahun kedua.

Pemandangan tapak projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di Singapura. – Foto ihsan Malay Mail

Pada masa, kerajaan juga sedang meneroka peluang kebolehsanaan HSR Kuala Lumpur – Bangkok.

“Kementerian juga sedang meneroka kemungkinan mengadakan kajian kebolehlaksanaan HSR dari Kuala Lumpur ke Bangkok,” katanya lagi.

Usaha sambung semula projek HSR belum muktamad, kata menteri

Status projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura masih menjadi tanda tanya sama ada ia akan disambung semula atau sebaliknya.

Perkara itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamad seperti dilaporkan Bernama.

Jelas Mustapa, segala perbincangan mengenai status HSR masih di peringkat perbincangan awal.

“Saya ingin menekankan, kemungkinan menghidupkan semula projek HSR Kuala Lumpur-Singapura ini masih dalam perbincangan peringkat awal,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

Semalam, Mustapa berkata demikian ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, projek HSR Kuala Lumpur – Singapura luput pada 31 Disember 2020.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membangkitkan cadangan rundingan semula projek tersebut ketika pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong, 29 November lalu.

Sementara itu, Mustapa turut memaklumkan bahawa segala hala tuju projek ini akan dikendalikan Kementerian Pengangkutan.

“Jemaah Menteri pada pertengahan 2020 memutuskan supaya saya mengetuai rundingan untuk memuktamadkan projek berkenaan dengan Singapura.

“Kerajaan dalam proses memindahkan syarikat MyHSR Corp Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang bertanggungjawab merundingkan hal teknikal mengenai projek HSR daripada pengawasan Jabatan Perdana Menteri kepada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Indonesia terima 38,100 tan keluli, projek HSR Jakarta-Bandung lancar

PROJEK kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Jakarta-Bandung kembali mengikut jadual apabila kesemua rel keluli bagi pembinaan landasan selamat tiba di Indonesia.

Rel keluli seberat 38,100 tan itu dieksport dari China dan tiba pada Selasa lalu.

Penghantaran terbabit merupakan fasa kelima yang mana telah bermula sejak November 2020.

Landasan HSR Jakarta-Bandung merupakan projek ikonik Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta kerjasama pragmatik di antara China dengan Indonesia.

Rel sepanjang 142.3 kilometer akan menghubungkan Jakarta dan Bandung dengan kelajuan operasi maksimum mencecah 350 km/j.

HSR Jakarta – Bandung dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan di antara kedua-dua bandar. – Foto ihsan Malay Mail

Ia secara tidak langsung mengurangkan masa perjalanan kepada 40 minit berbanding lebih tiga jam menerusi lebuh raya.

HSR Jakarta-Bandung merupakan salah sebuah projek mega yang menjadi titik tolak transformasi kepada sistem pengangkutan di Indonesia.

Memetik laporan media sebelum ini, projek ini dianggarkan menelan belanja lebih US$ 6.07 bilion.