Arkib Tag: Honda Customs

Honda CB750 Hornet ‘Mugen’ dari Portugal juara Honda Customs 2026

Honda Customs 2026 melabuhkan tirai dengan kemenangan Mugen, sebuah Honda CB750 Hornet yang diubah suai oleh pengedar Honda, Mototrofa dari Portugal.

Untuk makluman, pertandingan Honda Customs sudah memasuki edisi ketujuh dan turut memperkenalkan konsep On Road Vs Off Road pada tahun ini.

Honda CB750 Hornet dan XL750 Transalp menjadi asas kepada projek-projek ubah suai edisi 2026.

Sebanyak 42,119 undian diterima secara dalam talian dari 102 negara, meningkat 39 peratus berbanding edisi 2025.

Mugen Menang Dengan 10,092 Undian

Mugen hasil binaan Mototrofa memenangi kategori On-Road dan dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Honda CB750 Hornet itu menerima 10,092 undian, hampir 24 peratus daripada keseluruhan undian dan 36 peratus undian kategori On Road.

Mototrofa menghasilkan motosikal tersebut dengan konsep “form should follow function”.

Ia menampilkan gaya streetfighter yang agresif dengan kemasan hijau gelap, perincian emas dan gentian karbon.

Beberapa komponen khas turut digunakan untuk melengkapkan ubah suai tersebut.

Kemenangan ini turut menjadikan Mototrofa pengedar kedua yang memenangi pertandingan Honda Customs sebanyak dua kali.

Mereka sebelum ini menang pada 2021 menerusi CB650R Fenix.

Saharja Menang Kategori Off-Road

Bagi kategori Off-Road, kemenangan menjadi milik Saharja dari Itali.

Dihasilkan oleh DRS Custom Cycles berasaskan XL750 Transalp, motosikal ini mengambil inspirasi daripada perlumbaan Dakar.

Antara perubahan utama ialah navigation tower buatan tangan dengan buku jalan digital dan meter TFT.

Turut dilengkapi lampu LED berkuasa tinggi, pelindung tangan, palang perlindungan keluli serta pelindung bawah aluminium.

Motosikal projek ini turut menerima tangki bahan api sisi aluminium, tayar berjejari kasar dan sistem ekzos dipasang pada kedudukan tinggi.

Saharja memperoleh lebih 4,800 undian, bersamaan 36 peratus daripada keseluruhan undian kategori Off-Road.

Last Lap Di Tempat Kedua

Tempat kedua kategori On-Road menjadi milik Last Lap dari Sepanyol, hasil binaan pengedar Stilmoto.

Projek berasaskan CB750 Hornet itu menggunakan gaya motosikal perlumbaan GP era 1980-an dengan rekaan badan yang lebih berkotak.

Last Lap menerima lebih 6,900 undian, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada keseluruhan undian.

Antara perubahan yang dibuat ialah race fairing penuh di bahagian hadapan, tangki bahan api dan bahagian belakang yang dibina khas.

Ia turut menggunakan lengan ayun satu sisi serta sistem ekzos khas.

Sting Honey Lengkapkan Podium

Tempat ketiga kategori On-Road pula menjadi milik Sting Honey dari Poland.

Projek hasil kerjasama Honda Sokół dan Steel Choppers itu menggunakan CB750 Hornet sebagai asas.

Rekaan bahagian belakang, fairing, tangki bahan api, pelana dan pemegang hendal semuanya dihasilkan khas.

Ia turut menggunakan lampu hadapan CB125R dan roda jejari daripada skuter X-ADV.

’86 Dakar Tribute Di Tempat Kedua Off-Road

Tempat kedua kategori Off-Road dimenangi ’86 Dakar Tribute dari United Kingdom.

Berasaskan XL750 Transalp, projek oleh CJ Ball mengambil inspirasi daripada kemenangan Cyril Neveu dalam perlumbaan Dakar 1986 menggunakan NXR750.

Antara perubahan yang dibuat ialah sistem ekzos berkembar kedudukan tinggi, suspensi dengan jarak gerakan lebih panjang, pelindung lumpur hadapan yang dinaikkan serta tayar off-road.

Projek tersebut memperoleh 20 peratus undian kategori Off-Road.

Tempat ketiga pula menjadi milik Ocean Nomad dari Perancis.

42,119 Undian Untuk Honda Customs 2026

Jumlah 42,119 undian yang diterima tahun ini merupakan rekod baharu bagi pertandingan Honda Customs.

Daripada jumlah tersebut, kategori On Road menerima 28,775 undian atau 68.32 peratus, manakala kategori Off Road memperoleh 13,344 undian atau 31.68 peratus.

Selain undian orang ramai, projek-projek tahun ini turut dinilai oleh pereka asal CB750 Hornet dan XL750 Transalp dari pusat penyelidikan dan pembangunan Honda di Rome.