Biarpun pasaran tempatan sudah dibanjiri dengan bermacam-macam pilihan SUV yang lebih canggih-manggih, Honda CR-V tetap mempunyai peminat yang tersendiri.
Salah satu sebab mungkin sekali disumbangkan oleh logo H yang terpampang besar di depan.
Setelah kami diberi peluang memandu uji SUV ini, ada beberapa perkara yang membuatkan CR-V ini tampil lebih menyerlah.
Untuk mereka yang mahu menikmati kehidupan pasca kerjaya, ini mungkin sekali satu pilihan yang tepat.
Penampilan CR-V 1.5V AWD lebih garang
Berbanding CR-V terdahulu yang nampak seakan sebuah pau, CR-V generasi keenam ini tampil lebih tajam dan garang.
Rekaan lampu juga diberikan nafas baharu yang lebih moden, terutama pada bahagian belakang yang mirip kepada SUV buatan Sweden.
Disebabkan tiang A yang dialihkan ke belakang, ia menjadikan rekaan hud enjin CR-V ini lebih panjang.
Selain itu, jurutera Honda telah merendahkan posisi bagi tapak tiang A dan garis bahu, menjadikan perkadaran badan SUV ini lebih seimbang.
Hasilnya, CR-V baharu ini nampak lebih kecil, namun ukuran dimensi menunjukkan CR-V ini sebenarnya lebih besar berbanding model terdahulu.
Kabin yang lebih luas dan lapang
Selain penambahan dimensi panjang, jarak antara roda juga turut bertambah sebanyak 40 mm kepada 2,700 mm.
Ini menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang, memberikan keselesaan kepada penumpang baris kedua.
Pendekatan “Machine Minimum, Man Maximum” turut diterapkan pada ruang kabin.
Berbeza dengan model terdahulu, CR-V mengguna pakai rekaan papan pemuka yang hampir sama dengan Civic generasi ke-11.
Walapun dengan rekaan yang lebih ringkas, ia tetap memberikan pengalaman yang elegan dan mewah.
Setiap butang fungsi rasa ketat, malah penukaran operasi PRND juga dirasakan kemas setiap kali pemanduan dibuat.
Kemasan kayu pada beberapa tempat juga dilihat bertepatan dengan tema kenderaan pasca kerjaya yang kerap dicari kebanyakan orang.
CR-V SUV mesra pengguna
CR-V tidaklah didatangkan dengan tetapan skrin sebesar alam dengan bermacam-macam menu disumbatkan ke dalam.
Sebaliknya, ia hanya dilengkapi dengan skrin infohibur sebesar 10 inci, diikuti dengan meter hibrid analog dan digital bersaiz 9-inci untuk pemandu.
Paparan menu pada kedua-dua skrin memang jelas, besar dan mudah untuk dioperasikan.
Dengan adanya sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, anda tidak lagi memerlukan pemegang peranti pintar untuk dipasangkan pada corong pendingin hawa.
Memang tak boleh pun disebabkan oleh pemasangan jeriji sarang lebah standard kilang.
Walaupun tanpa kehadiran sistem audio Bose 12 pembesar suara, sistem audio standard pada varian ini menawarkan lantunan irama dan bunyi yang cukup sedap di telinga menemani sepanjang perjalanan.
Tempat duduk yang dibekalkan sememangnya cukup selesa, lengkap dengan fungsi memori.
Cuma bahan kulit yang digunakan akan membuatkan punggung anda tidak selesa terutama selepas beberapa ketika.
Praktikaliti nombor satu
Aspek praktikaliti membuatkan CR-V ini sangat sesuai untuk seisi keluarga.
Ruang kargo memang luas, sekitar 589 liter dan boleh mencapai sehingga 1,072 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Selain itu, CR-V menawarkan bukaan pintu baris kedua hampir 90 darjah, ini memudahkan urusan penumpang untuk keluar dan masuk tanpa rasa sempit.
Atau urusan memasang kerusi kanak-kanak.
Rekaan lantai untuk penumpang baris kedua juga hampir rata untuk sebuah SUV yang ada sistem pacuan semua roda (AWD).
Apa yang penulis amat suka pada CR-V ini ialah sudut pandang keluar yang agak luas, ditambah dengan posisi cermin sisi yang sedikit ke belakang untuk mengurangkan kesan titik buta.
Enjin turbo menyerlah!
Honda CR-V 1.5V AWD ini merupakan pilihan yang ideal untuk mereka yang mahukan sebuah nadi penggerak yang ringkas.
Enjin 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 190 hp dan 243 Nm itu dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem AWD – satu gandingan yang mantap tanpa perlu dakwa-dakwi lagi.
Pecutan permulaan dirasakan lancar, dan boleh dikerah tanpa rasa malas apabila pemandu memerlukan kuasa ekstra terutama ketika memotong kereta di hadapan.
Apa yang membuatkan gandingan ini cukup bagus ialah prestasi ketika meluncur pada kelajuan malar – kabin terasa senyap tanpa bising ketara.
Sistem pacuan semua roda (AWD) memberikan lebih keyakinan kepada pemandu ketika meluncur atas garis lurus lebuh raya, dan lebih cengkaman di kawasan berselekoh.
Berdasarkan pemanduan, penulis berjaya mencatatkan tahap penggunaan bahan api sekitar 7.9 liter untuk setiap 100 km.
Kawalan kenderaan – itu lebih penting
Menambahkan lagi perisa kesedapan pemanduan CR-V ini ialah bagaimana sistem pengendalian bekerja sepanjang perjalanan.
Ia bukanlah sebuah SUV yang sporti dihasilkan standard daripada kilang.
Suspensi juga bukanlah jenis keras, lebih cenderung ke arah keselesaan.
Namun anda boleh rasa keharmonian sistem stereng yang tepat dan jitu, respons pendikit dan brek yang cekap, dan talaan suspensi yang selesa membuatkan bibir sentiasa mengukir senyuman.
Kualiti jalan yang tidak sempurna? Bukan satu masalah bila duduk dalam CR-V ini.
Semasa musim perayaan, penulis sengaja mengelak daripada menggunakan kemudahan lebuh raya untuk menilai sejauh mana kecekapan sistem suspensi CR-V ini bekerja.
Sejujurnya, ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Aspek keselamatan boleh ditambah baik
Secara standard, Honda CR-V didatangkan dengan ciri seperti:
- lapan beg udara
- kamera 360-darjah
- sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
- Honda LaneWatch
- kelengkapan Honda Sensing (FCW, AEB, ACC, LSF, dll)
Sejujurnya, penulis rasa agak ralat untuk sebuah SUV berharga sekitar RM180 ribu namun tidak dilengkapi dengan ciri sistem pemantauan titik buta kiri dan kanan.
Sistem Honda LaneWatch memang membantu, namun dengan operasi yang terhad pada sebelah kiri dan kualiti sistem kamera membataskan manfaat yang ada.
Mujur kemas kini terbaharu Honda CR-V 2026, Honda Malaysia sudi menggantikan sistem LaneWatch itu dengan sistem informasi titik buta (BSI) dan sistem pemantauan trafik silang belakang (CTM).
Kesimpulan
Honda CR-V 1.5V AWD merupakan satu pilihan yang tepat untuk mereka yang mahu sebuah SUV yang besar, selesa dan praktikal.
Biarpun pasaran sudah dipenuhi dengan bermacam pilihan yang ada, ia bukanlah satu penghalang bagi CR-V untuk terus menyerlah di mana saja anda pergi.
Bukti dengan penawaran pakej yang tepat, ia masih lagi mampu menjadi pilihan utama di kalangan pengguna.
