Arkib Tag: harga kereta

Harga kereta mewah naik lagi di Singapura – kadar ARF naik 100 peratus!

NAMPAKNYA harga kereta mewah di Singapura bakal melonjak lagi.

Menurut laporan SG Car Mart, ini kerana negara republik itu bakal mengenakan kadar yuran pendaftaran tambahan (ARF) baharu dengan penambahan peringkat pertengahan-atas. Ia diumumkan pada 14 Februari lalu sebagai sebahagian daripada Bajet 2023 negara itu.

Perubahan ini akan berkuatkuasa dalam pusingan bidaan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) seterusnya pada 22 Februari ini.

Tahun lalu, Singapura mengumumkan kenaikan kadar ARF sebanyak 220 peratus ke atas kenderaan dengan nilai pasaran terbuka (OMV) bernilai S$80,000 (RM265,324) ke atas, namun ia dilihat memberi impak yang minimum ke atas permintaan kereta mewah dan supercar.

Dengan sistem yang lebih drastik ini, kereta dengan OMV melebihi S$80,000 akan dikenakan kadar ARF sebanyak 320 peratus, atau 100 peratus lebih tinggi berbanding kadar semasa.

Ini bermakna, supercar seperti Aston Martin DBX707 yang mempunyai OMV bernilai sekitar S$252,000 (RM835,771) akan merasakan peningkatan ARF sebanyak S$192,000 (RM636,777).

Bukan itu sahaja, kumpulan yang sebelum ini tidak terjejas iaitu kereta mewah peringkat pertengahan dan ke atas dengan OMV S$40,001 hingga S$80,000 (RM132,665 hingga RM265,324) juga akan turut terkesan.

Sebagai contoh, Mercedes-Benz E200 Exclusive (OMV S$55,314 atau RM183,451) akan menyaksikan peningkatan ARF sehingga $6,000 (RM19,899), manakala Tesla Model 3 (OMV S$73,984 atau RM245,371) menyaksikan peningkatan ARF sehingga S$16,000 (RM53,064).

Bagi kereta yang lebih mewah seperti Audi A8 (OMV S$79,392 atau RM263,307) dan BMW 7 Series (OMV S$103,000 atau RM341,604), kadar ARF masing-masing akan meningkat sebanyak S$20,000 (RM66,331) dan S$40,000 (RM132,662).

Bagaimanapun, model-model pengeluaran massa seperti Toyota Corolla Altis Elegance (OMV S$21,508 atau RM71,332), Hyundai Avante Elite (OMV S$21,741 atau RM72,105), Honda CR-V (OMV S$34,723 atau RM115,160) dan BMW 2 Series Gran Coupe (OMV S$33,581 atau RM111,373) tidak terkesan dengan kadar baharu ini.

Menurut SG Car Mart, kadar baharu berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Singapura untuk melaksanakan sistem cukai kenderaan progresif untuk pasaran kereta di negara itu.

Diskaun ‘kaw-kaw’ daripada Honda Malaysia khas bagi bulan Ogos

BERITA baik kepada individu bercadang mendapatkan kereta keluaran Honda!

Honda Malaysia mengumumkan promosi terbaharu pada bulan ini yang mana terdapat pengurangan harga bagi beberapa model tertentu.

Antara model terlibat dalam kempen ini termasuk Jazz, BR-V, City, Civic, HR-V, CR-V dan Accord.

Honda memberikan diskaun RM3,000 dari pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi Honda Jazz 1.5 S.

Harga Jazz pada bulan ini adalah RM69,511 berbanding RM72,511 sebelumnya.

Manakala bagi City, ia ditawarkan dari RM72,191 sementara Civic 1.8 S (RM107,326).

Model Accord CKD pula berharga RM172,203 untuk 1.5 TC.

Untuk model ini, ia mencecah diskaun lebih RM6,000 menjadikan harga terkini RM178,203 berbanding sebelumnya (RM185,900).

BR-V 1.5 E ditawarkan dengan harga dari RM82,726, HR-V 1.8. E (RM101,500) dan CR-V 2.0 2WD adalah RM137,912.

Semua diskaun ini adalah berbeza bagi setiap varian.

Perlu diingat juga, promosi ini juga hanya sah sepanjang bulan Ogos sahaja.