Arkib Tag: gymkhana

Pengasas Hoonigan Racing, Ken Block maut ditimpa kereta salji

TIDAK sampai beberapa hari tahun baru 2023, dunia automotif sudah dikejutkan dengan berita kematian pemandu rali profesional dan pengasas Hoonigan Racing Division iaitu Ken Block.

Block, yang berusia 55 tahun, dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan melibatkan kereta salji (snowmobile) di Utah, Amerika Syarikat, Isnin lalu.

“Dengan rasa yang amat kesal, kami boleh mengesahkan bahawa Ken Block telah meninggal dunia dalam kemalangan kereta salji hari ini. Ken ialah seorang yang berwawasan, perintis dan ikon. Dan yang paling penting, seorang ayah dan suami. Dia akan sangat dirindui,” tulis Hoonigan menerusi akaun Instagram.

Punca kematian masih belum diketahui namun menurut kenyataan di laman Facebook pejabat syerif Wasatch County, Block ditimpa kereta saljinya ketika sedang menunggang di cerun yang curam di kawasan Mill Hollow di luar Woodland, Utah. Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Block yang juga merupakan pengasas bersama jenama kasut DC Shoes mula menempa namanya dalam arena rali apabila beliau memenangi beberapa perlumbaan dalam siri Rally America pada 2005.

Selain itu, beliau turut memainkan peranan besar dalam penubuhan pasukan rali Monster pada 2010, menjadikan beliau pemandu dari Amerika pertama yang bertanding dalam WRC, serta memulakan siri video Gymkhana yang popular di Youtube.

Audi S1 Hoonitron Ken Block – Jentera gymkhana kali ini elektrik pula

SEJAK sekian lamanya, nama Ken Block cukup sinonim dengan bunyi letupan dari ekzos dan geseran tayar yang terhasil ketika melakukan pelbagai stunt untuk siri Gymkhana beliau di Youtube.

Bagaimanapun, selepas ini yang tinggal hanyalah bunyi geseran tayar kerana ‘senjata’ terbaru pemandu dari Colorado itu tidak mempunyai enjin pembakaran dalaman.

Dikenali sebagai S1 e-tron quattro Hoonitron, ia merupakan jentera pertama yang dihasilkan menerusi kerjasama antara Block dan Audi yang diumumkan pada September lalu.

S1 Hoonitron ini mungkin tidak mempunyai enjin V8 1,400hp seperti yang terdapat pada Ford Mustang Hoonicorn RTR, namun reka bentuknya yang agresif seolah-olah memberi amaran yang ia bukanlah sebuah EV yang boleh dipandang enteng.

Menurut Audi, penampilan luaran S1 Hoonitron diinspirasikan oleh Audi Sport Quattro S1 yang pernah menjuarai perlumbaan Pikes Peak edisi 1987 di tangan Walter Rohrl.

Pengaruh kereta lumba berstatus lagenda itu dapat dilihat dengan jelas menerusi elemen-elemen seperti spoiler besar pada bahagian hadapan dan belakang, serta bukaan udara pada fender hadapan.

Apa yang mengagumkan, pasukan Audi Design di Ingolstadt hanya mengambil masa kira-kira empat minggu untuk menyiapkan reka bentuk jentera ini dari lakaran awal hingga ke rekaan akhir.

Selepas itu, projek ini diambil alih oleh Audi Sport untuk fasa pembangunan di Neckarslum, di mana R8 dan e-tron GT dihasilkan.

Tidak banyak perincian teknikal yang didedahkan oleh Audi mengenai S1 Hoonitron, namun ia pastinya mampu mengujakan peminat Block dan siri Gymkhana.

Setakat ini, syarikat itu memberitahu yang ia dikuasakan oleh sepasang motor elektrik dan mempunyai casis gentian karbon yang dibina berdasarkan spesifikasi FIA.

Block dilaporkan sudah merasa kehebatan permainan terbarunya ini pada November lalu. Bagi peminat di luar sana, mereka bakal melihat S1 Hoonitron beraksi buat pertama kali dalam video bertajuk Elektrikhana yang akan disiarkan dalam masa beberapa bulan lagi.