Arkib Tag: GWM Wey G9 Hi4 HEV

GWM WEY G9 Hi4 HEV 2026 rasmi di Malaysia – harga RM249,800

GWM Malaysia secara rasminya mengumumkan ketibaan MPV mewah GWM WEY G9 Hi4 HEV untuk pasaran Malaysia.

Pelancaran varian hibrid pengecasan kendiri (HEV) ini menyusuli kejayaan WEY G9 Hi4 PHEV yang telah mencatatkan penyerahan sebanyak 2,000 unit di seluruh negara.

Ditawarkan pada harga RM249,800, WEY G9 Hi4 HEV membawakan konfigurasi tujuh tempat duduk, sistem pacuan semua roda pintar serta pelbagai kelengkapan premium.

Unit pacuan

GWM WEY G9 Hi4 HEV didatangkan dengan enjin petrol turbo 2.0 liter yang digandingkan dengan sistem hibrid pintar Hi4.

Gabungan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 358 PS dan daya kilas 782 Nm.

Kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan semua roda (AWD) Hi4 yang dikawal secara elektronik.

Sistem hibrid ini menguruskan pengagihan kuasa antara enjin petrol dan motor elektrik secara automatik mengikut keadaan pemanduan.

Berbeza dengan varian PHEV, sistem HEV ini tidak memerlukan pengecasan luaran.

Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.5 liter per 100 km berdasarkan kitaran ujian NEDC.

Jarak pemanduan gabungan pula mampu mencapai sehingga 845 km.

Kelengkapan

GWM WEY G9 Hi4 HEV menggunakan konfigurasi kabin tujuh tempat duduk dengan susunan 2+2+3.

Ia turut dilengkapi sistem rel tempat duduk fleksibel, laluan tengah yang luas serta tempat duduk barisan ketiga yang boleh dilipat ke hadapan.

Kapasiti ruang bagasi bermula daripada 233 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,725 liter.

Varian HEV turut mengekalkan kelengkapan yang hampir sama dengan varian PHEV seperti:

  • upholsteri kulit Nappa premium
  • tempat duduk kapten baris kedua dengan Zero Gravity
  • skrin kluster digital 12.3 inci + skrin infohibur 14.6 inci
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • sistem pembatalan hingar aktif HALOSonic

Ciri keselamatan juga menyamai apa yang ditawarkan pada varian PHEV, termasuklah kamera 360 darjah dan 16 fungsi ADAS seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif Pintar (IACC)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSD)
  • Bantuan Pemanduan dalam Kesesakan Trafik (TJA)
  • Amaran Trafik Lintas Belakang
  • Brek Automatik Trafik Lintas Belakang
  • Amaran Pembukaan Pintu
  • Sistem Mitigasi Pelanggaran Sekunder

WEY G9 Hi4 HEV ditawarkan dalam tiga pilihan warna luaran iaitu Aurora White, Wisdom Grey dan Nebula Black.

Untuk bahagian dalaman, ia hadir dengan tema warna hitam serta kemasan bumbung kelabu.

Harga & Waranti

GWM WEY G9 Hi4 HEV dijual pada harga runcit RM249,800 untuk pasaran Malaysia.

Setiap pembelian akan disertakan dengan perkhidmatan telematik kenderaan 5-tahun percuma dan RFID GWM Touch ‘n Go.

Sempena pelancarannya, GWM Malaysia menawarkan pakej pembiayaan pengenalan dengan kadar serendah 0.08 peratus menerusi bank terpilih.

Pembeli turut menerima bantuan tukar beli bernilai RM5,000 serta penyelenggaraan percuma selama lima tahun merangkumi kos upah dan alat ganti, bernilai RM11,200.

Dari segi perlindungan waranti, WEY G9 Hi4 HEV hadir dengan:

  • waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan
  • waranti bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 180,000 km
  • waranti motor pacuan elektrik dan unit kawalan motor elektrik selama lapan tahun atau 180,000 km