Arkib Tag: Gua Musang

Dua jalan di Gua Musang akan ditutup sebulan, raya dijangka sesak

DUA jalan di bandar Gua Musang akan ditutup menjelang Hari Raya Aidilfitri selama sebulan untuk kerja pemasangan cerucuk jambatan bagi pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C. Ini akan menyebabkan laluan utama di bandar itu dijangka sesak.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Jajahan Gua Musang dalam satu kenyataan berkata, laluan di FT2747 Kilometer (KM) 3.9 (Simpang Hospital) sehingga KM2.4 (Jambatan Taman Damar) dan FT2745 KM0.8 (Bawah Flyover Taman Damar) akan ditutup kepada semua lalu lintas di kedua-dua arah.

Katanya, penutupan itu bermula semalam hingga 29 April dari pukul 8 pagi hingga 7 petang.

“Sehubungan itu, papan tanda pemberitahuan akan dipasang di tapak untuk panduan pengguna jalan raya dan pengawal bendera juga akan sentiasa berada di tapak untuk mengawal trafik,” kata kenyataan itu.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT008 melalui hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, FT 2744 (hadapan Hospital Gua Musang) dan FT2746 (Jalan Pulai).”

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, penutupan jalan selama sebulan akan menyukarkan pergerakan masyarakat setempat terutamanya di akhir Ramadan untuk keluar mendapatkan keperluan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita berharap agar penutupan jalan itu dapat ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.

Demi rakyat, dua jambatan RM60 juta dibina di Gua Musang

PEMBINAAN dua jambatan di Gua Musang, Kelantan yang mencecah lebih RM60 juta adalah berbaloi demi kepentingan penduduk.

Hal ini kerana ia bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk malah, menjadi pemangkin ekonomi setempat.

Pandangan itu dikongsi Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Memetik laporan Bernama, Mahdzir mendedahkan kos pembinaan bagi sebuah jambatan tersebut bernilai lebih RM30 juta.

“Perbelanjaan bagi setiap jambatan itu masing-masing hampir 30 juta iaitu jambatan sepanjang 240 meter di Kampung Pemberian mula dibuka kepada pengguna sejak Oktober tahun 2020.

“Jambatan di Kampung Bertam Baru pula telah siap Disember tahun lepas untuk memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan perkampungan berkenaan,” katanya.

Pemandangan salah satu lokasi di Gua Musang, Kelantan. – Foto ihsan Wikipedia

Gua Musang adalah jajahan atau daerah terbesar di Kelantan yang mana ia membentuk separuh daripada negeri itu.

Ia juga merupakan antara daerah popular di negeri Cik Siti Wan Kembang kerana bersempadanan dengan Pahang, Terengganu dan Perak.

Justeru, tidak dinafikan nama Gua Musang bukan suatu yang asing bagi kebanyakan ‘kaki konvoi’ terutama yang menetap di Pantai Timur.