Arkib Tag: GT SUV

Mercedes-AMG GT SUV 2027 – kuasa sehingga 1,169 PS, 0-100 km/j dalam 2.5 saat

Memperkenalkan, SUV prestasi bersaiz penuh pertama Mercedes-AMG dalam sejarah 59 tahun jenama itu. Dikenali sebagai GT SUV, ia dibangunkan menggunakan platform elektrik AMG.EA, menggabungkan prestasi kereta sport dengan praktikaliti SUV.

Tiga varian ditawarkan iaitu GT 53 SUV, GT 55 SUV dan GT 63 SUV. Varian asas boleh ditempah mulai 20 Oktober pada harga bermula 113,050 euro (sekitar RM 520,000), manakala GT 55 dan GT 63 SUV akan menyusul pada musim bunga 2027.

Prestasi tidak ubah seperti kereta sport sebenar

GT 63 SUV menggunakan tiga motor elektrik jenis axial-flux yang menghasilkan kuasa sehingga 1,169 PS (860 kW). Varian GT 55 SUV menggunakan konfigurasi sama namun dengan kuasa lebih rendah iaitu 816 PS (600 kW).

Sementara itu, GT 53 SUV menggunakan tetapan dua motor, satu pada gandar depan dan satu di belakang, dengan kuasa keseluruhan mencecah 544 PS (400 kW).

Bagi varian GT 63 SUV, pecutan 0-100 km/j mengambil masa hanya 2.5 saat, manakala 0-200 km/j dicapai dalam 6.8 saat. Kelajuan maksimum pula boleh mencecah 270 km/j dengan Driver’s Package.

Pengecasan pantas mencecah 710 kW

SUV ini menggunakan bateri berteknologi 800 volt dengan kapasiti 106 kWj atau 128 kWj, bergantung pada varian. Jarak gerak maksimum pula boleh mencecah 700 km mengikut kitaran WLTP.

Khusus untuk 128 kWj, pengecasan DC boleh mencapai 710 kW, membolehkan jarak sehingga 450 km ditambah dalam masa 10 minit. Pengecasan 10-80% pula mengambil masa sekitar 12 minit sahaja.

Bateri ini menggunakan sel silinder dengan sistem penyejukan terus bagi membantu mengekalkan prestasi ketika dipandu secara agresif atau digunakan berulang kali pada kuasa tinggi.

Suspensi aktif dan kabin berorientasikan pemandu

Semua varian GT SUV dilengkapi sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ serta stereng gandar belakang aktif. Suspensi AMG Active Ride Control+ menggunakan sistem hidraulik untuk mengawal olengan badan ketika mengambil selekoh, selain mengurangkan tundukan ketika membrek dan mendongak ketika memecut.

Walaupun ia kereta elektrik, sistem AMGForce Sport+ mensimulasikan bunyi enjin V8 bagi GT 63 dan GT 55, serta enjin enam silinder bagi GT 53. Ia turut menawarkan pertukaran gear simulasi dan penggetar tempat duduk untuk pengalaman pemanduan lebih mengujakan.

Kabin menampilkan skrin multimedia 14 inci, paparan instrumen digital 10.2 inci dan pilihan skrin penumpang hadapan 14 inci. Mercedes-AMG GT SUV akan dipasang di kilang Sindelfingen, Jerman.