Arkib Tag: GP Singapura

Koleksi replika Puma x McLaren Mastercard F1 Team kini di Malaysia, harga dari RM199

Sempena GP Singapura hujung minggu ini, PUMA Southeast Asia melancarkan koleksi replika eksklusif McLaren Mastercard F1 Team.

Koleksi eksklusif ini terdiri daripada:

  • baju polo
  • baju T
  • topi besbol

Koleksi ini hadir dalam tona biru yang diinspirasikan daripada suasana perlumbaan malam di Singapura.

Selain itu, ia turut menampilkan corak tradisional yang mengambil ilham daripada seni bina Sino-Portuguese, pengaruh Art Deco, serta motif kraf tradisional dari serata Asia Tenggara.

Antaranya termasuklah batik Indonesia, tenunan Mudmee Thailand, kain broked Vietnam, batik Malaysia, tenunan tradisional Filipina serta rekaan jubin Peranakan.

Koleksi PUMA x McLaren Mastercard F1 Team Replica ini sudah mula dijual di Malaysia pada harga serendah RM199 menerusi laman web PUMA.com dan kedai PUMA terpilih.

Bekas menteri pengangkutan Singapura mengaku bersalah terima sogokan

Laman berita Reuters melaporkan bekas menteri pengangkutan Singapura S Iswaran mengaku bersalah atas pertuduhan menerima hadiah semasa memegang jawatan dalam kerajaan.

Iswaran merupakan menteri kabinet Singapura pertama yang dibicarakan di mahkamah selepas kes rasuah terakhir dilaporkan pada tahun 1986 tidak dapat dibicarakan di mahkamah kerana menteri pembangunan negara itu meninggal dunia.

Bekas menteri berusia 62 tahun yang ditahan pada Julai tahun lalu dituduh mengambil sogokan bernilai ratusan ribu dolar Singapura daripada taikun hartanah Ong Beng Seng, di mana sebahagiannya untuk memajukan kepentingan perniagaan Ong.

Menurut kertas pertuduhan, Iswaran didakwa menerima hadiah berupa tiket tiket perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris, muzikal, penerbangan dengan pesawat peribadi Ong dan tiket ke Formula Satu GP Singapura.

Menurut laman Channel News Asia (CNA), dia mengaku bersalah atas tuduhan menghalang keadilan, serta menerima hadiah yang bernilai tanpa bayaran atau bayaran yang tidak mencukupi daripada seseorang yang terbabit dengannya atas kapasiti rasmi.

Dalam pada itu, pihak pendakwa raya mengurangkan pertuduhan yang dihadapi Iswaran kepada lima daripada 35, manakala baki 30 lagi pertuduhan akan diambil kira untuk menjatuhkan hukuman.

Untuk pertuduhan menerima hadiah, seseorang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda, manakala bagi kesalahan menghalang keadilan, Iswaran boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.