Arkib Tag: GP Bahrain 2026

F1: Litar Sepang sah jadi tuan rumah GP Bahrain 2026

Setelah sekian lama, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bakal digegarkan kembali dengan deruman jentera F1 tahun ini.

Dalam satu kenyataan bersama, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix pada 2-4 Oktober 2026.

Keputusan tersebut dicapai menerusi kerjasama khas antara F1, FIA, kerajaan Bahrain dan kerajaan Malaysia untuk memastikan kalendar acara terus berjalan seperti biasa.

Salah satu litar ikonik F1

Bagi kebanyakan peminat, Litar Sepang merupakan salah satu litar yang ikonik dalam sukan F1.

Selain menawarkan reka bentuk dan laluan yang teknikal, pelumba juga perlu berdepan dengan cabaran cuaca tropika yang tidak menentu.

Kali pertama perlumbaan F1 dianjurkan di lokasi tersebut adalah pada tahun 1999, beberapa bulan selepas ia dibuka secara rasmi.

Selain F1, Litar Sepang juga turut menjadi lokasi bagi acara perlumbaan berprestij lain seperti Super GT, MotoGP, Sepang 1000KM, serta Porsche Carrera Cup Asia.

Berita gembira buat peminat

Stefano Domenicali, Presiden dan CEO F1 berkata, “Kami dengan sukacitanya mengesahkan Malaysia akan menjadi hos bagi GP Bahrain 2026.

“Sekali lagi, sukan ini menunjukkan keupayaannya untuk menyesuaikan diri, mencari penyelesaian dan menyampaikan detik yang mengujakan semua pengikut F1.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kerajaan Bahrain, kerajaan Malaysia dan Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem.

“Lebih penting, ia merupakan satu berita gembira buat para peminat kami. Mereka dapat menikmati kalendar F1 penuh dan dalam masa yang sama melihat sukan ini kembali ke lokasi yang hebat.

Sepang mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah F1, dan ia bakal menawarkan suasana perlumbaan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peminat,” ujarnya lagi.