Arkib Tag: go-kart

Dengan RM11k sahaja, Toyota GR Kart mudahkan seisi keluarga berjinak dengan sukan permotoran

Toyota Gazoo Racing (GR) telah memperkenalkan GR Kart di Jepun, go-kart perlumbaan peringkat permulaan yang dibangunkan untuk menjadikan sukan go-kart lebih mudah diakses bukan sahaja oleh kanak-kanak, malah seisi keluarga.

Ditawarkan pada harga 385,000 yen (sekitar RM11,000), GR Kart direka untuk memudahkan mereka yang mahu mula berjinak dengan sukan ini, termasuk kos, pengangkutan, penyimpanan dan penyelenggaraan.

Mudah dibawa dengan MPV keluarga

Aspek praktikal menjadi antara fokus utama GR Kart. Dengan ukuran, 1,820 mm panjang, 1,160 mm lebar dan 670 mm tinggi, dengan jarak roda 1,045 mm, serta berat 83 kg, ia boleh dimuatkan ke dalam MPV seperti Toyota Noah dan Voxy tanpa perlu dileraikan.

Ini bermakna pemilik boleh membawanya ke litar menggunakan kenderaan biasa tanpa memerlukan treler atau kenderaan pengangkut khas.

GR Kart juga boleh disimpan secara menegak tanpa perlu mengeluarkan petrol atau minyak enjin terlebih dahulu. Ini kerana sistemnya direka untuk mengurangkan risiko kebocoran ketika kart disimpan dalam kedudukan tersebut.

Bukan itu sahaja, pedal gelongsor dan stereng boleh laras membolehkan GR Kart dipandu oleh mereka yang berketinggian antara 135 cm hingga 185 cm. Kotak ballast yang boleh menampung berat sehingga 15 kg untuk perlumbaan turut disediakan.

Penyelenggaraan lebih mudah

GR Kart dikuasakan enjin empat lejang 215 cc dengan sistem pemacu tali sawat dan penegang automatik, jadi ketegangan tali sawat tidak perlu dilaraskan secara berkala. Enjin itu turut mempunyai bateri terbina dalam yang dicas sendiri.

Karburetor jenis diafragma pula direka untuk mengurangkan kesan perubahan paras bahan api ketika mengambil selekoh, manakala pam primer memudahkan bahan api disalurkan ke karburetor sebelum enjin dihidupkan.

GR turut menggunakan aci gandar belakang keluli tahan karat dan saluran bahan api logam di dalam tangki petrol bagi meningkatkan ketahanan.

Ciri keselamatan untuk pemandu baharu

Aspek keselamatan turut dititikberatkan menerusi ciri seperti bampar belakang yang direka untuk mengelakkan kart lain daripada menaiki tayar belakang ketika berlaku pelanggaran, serta pin penahan hab roda belakang bagi mengelakkan hab tercabut.

Selain itu, tempat duduknya mempunyai bahagian khas untuk meletakkan tangan ketika naik atau turun dari kart, selain membantu melindungi tangan daripada terkena peredam ekzos yang panas.

Kempen Build Your Dream Ride LEGO tawar pelbagai set binaan menarik dan pengalaman go-kart

LEGO Malaysia melancarkan kempen Build Your Dream Ride dengan menawarkan set binaan daripada rangkaian LEGO City, LEGO Technic, LEGO Speed Champions dan banyak lagi.

Antara model menarik yang ditawarkan termasuklah:

  • Bugatti Vision GT Hyper Sports Car – RM119.90
  • Ferrari SF90 XX Stradale Sports Car – RM119.90
  • Monster Jam™ Grave Digger™ Fire and Ice – RM139.90
  • Bugatti Chiron Pur Sport Hypercar – RM299.90
  • BMW M4 GT3 EVO Race Car – RM299.90
  • Airport Fire Truck – RM299.90
  • Airplane, Service Truck & Hovercraft Remix – RM299.90

Kesemua set binaan ini boleh didapati di:

  • LEGO Certified Store
  • Toys ‘R’ Us
  • kedai dalam talian rasmi LEGO di Lazada & Shopee
  • peruncit utama seluruh Malaysia

Aktiviti menarik di LEGO Build Your Dream Ride

LEGO turut menganjurkan Build Your Dream Ride Autoshop Experience bertempat di KF Kiddy Circuit di lokasi berikut:

  • Mid Valley Megamall KL
  • The Mall, Mid Valley Southkey JB

Bermula dari 6 Mac hingga 30 Jun 2026, pengunjung boleh menyertai misi mengumpul setem di setiap pit stop yang menawarkan aktiviti menarik seperti:

  • membina dan menguji kenderaan idaman
  • aktiviti gambar interaktif
  • pengalaman go-kart

Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan figura eksklusif dengan Golden Trophy dengan cara bergambar bersama LEGO 3D Minifigure di LEGO Certified Store dan memuat naik ke media sosial.

Promosi tempoh terhad

Bermula 28 Februari-29 Mac, LEGO Certified Store menganjurkan aktiviti Make and Take di mana pengunjung boleh membina LEGO Sports Car sendiri dan membawanya pulang secara percuma.

Menerusi promosi Gift-with-Purchase, setiap pembelian minimum melayakkan pelanggan menerima beg poli eksklusif daripada LEGO Speed Champions, LEGO City atau LEGO Technic.

 

Masalah pedal tersangkut, kira-kira 17,500 Mario Kart dipanggil semula

JAKKS Pacific, pengeluar go-kart kanak-kanak bertemakan Mario Kart telah memanggil semula kira-kira 17,500 unit model Ride-On Racer Car Toys yang dijual sepanjang tempoh Oktober 2022 hingga Januari 2024.

Difahamkan, sejak model Mario Kart itu mula dijual, pihak tersebut telah menerima sebanyak 65 aduan pedal tersangkut, 15 kes kemalangan dan satu kes kecederaan.

Model go-kart yang dimaksudkan itu menggunakan sistem bateri 24 voltan dan mudah untuk dikenali terima kasih kepada liveri bertemakan Mario Kart.

Menurut pengeluar, masalah pedal tersangkut pada model tersebut akan mengakibatkan go-kart itu terus bergerak ke hadapan walaupun selepas pemandu mengalihkan kaki daripada pedal.

Untuk memudahkan urusan, pihak JAKKS Pacific akan menghantar kit pembaikan yang merangkumi segala komponen yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut di rumah pemilik masing-masing.

JAKKS Pacific juga turut mengingatkan pemilik go-kart elektrik itu supaya mencabut kabel negatif bateri sebelum proses pembaikan diteruskan.

Mario Kart 24V Ride-On Racer Car Toys itu memiliki berat sekitar 28 kg, dimana ia mampu mencapai kelajuan sehingga 12 km/j dengan tiga mod kelajuan dan satu mod mengundur.

Selain itu, go-kart comel itu juga turut dilengkapi dengan sistem runut bunyi enjin, serta muzik tema permainan Mario Kart 8 Deluxe yang boleh dimainkan semasa ia dipandu.