Arkib Tag: Genting Highland

Van terbabas ketika turun Genting Highland, 7 disahkan maut

TUJUH maut manakala tujuh lagi cedera selepas van persiaran yang dinaiki terbabas ketika menuruni bukit di kilomter 4.8 Jalan Genting Highlands semalam.

Bercakap kepada Berita Harian, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata dua daripada yang meninggal dunia adalah lelaki iaitu pemandu dan kelendan van.

“Lima lagi yang meninggal dunia adalah wanita dan mereka adalah penumpang van persiaran berkenaan.

“Enam mangsa termasuk pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa iaitu kelendan van meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Menurut beliau lagi, tujuh lagi mangsa yang cedera kini dirawat di hospital dengan dua di Hospital Bentong dan lima lagi di HKL.

Foto ihsan JBPM Pahang

Ramli berkata van persiaran berkenaan dipercayai dalam perjalanan pulang dari Genting Highland ke Pulau Pinang dan siasatan masih diteruskan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan laporan kemalangan diterima pada jam 1.15 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki.

Van terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan mengakibatkan tujuh daripada penumpang maut akibat kejadian itu.

Mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan penyelamatan.