Arkib Tag: Gemilang Coachwork

Dongfeng Heavy Industries lancar rangkaian trak tugas berat di Malaysia

Dongfeng Heavy Industries Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan perniagaan mereka selaku pengedar rasmi trak Dongfeng.

Dalam masa yang sama, mereka turut memperkenalkan rangkaian lengkap trak tugas berat Dongfeng untuk pasaran Malaysia, terdiri daripada:

  • trak tipper 6×4 & 8×4
  • pembancuh simen 6×4
  • penggerak utama (prime mover) 4×2 & 6×4

Trak tugas berat generasi baharu ini mematuhi piawaian EURO V di mana mereka menggunakan enjin yang telah diuji dan teknologi pacuan daripada pengeluar terkemuka.

Kesemua trak tersebut akan diimport sebagai varian CKD dengan Gemilang Coachwork Sdn Bhd sebagai rakan kongsi pemasangan.

Diketuai veteran industri

Perniagaan ini akan diketuai oleh veteran industri, iaitu Quek Wang, Pengarah Eksekutif Dongfeng Heavy Industries untuk menangani permintaan pemilik pengangkutan tempatan.

Dalam majlis yang sama, Dongfeng Heavy Industries menandatangani perjanjian pembelian dengan Dongfeng Commercial Vehicles untuk 200 unit trak.

Selain itu, perjanjian pemasangan antara Dongfeng Heavy Industries dan Gemilang Coachwork, serta beberapa perjanjian pembelian dengan pelanggan juga telah dimuktamadkan.

Program CKD di Johor

Menurut Quek, Gemilang Coachwork dilantik kerana kepakaran dalam ketepatan pembuatan, keupayaan kejuruteraan pengeluaran termaju dan proses kawalan kualiti yang ketat.

Selain itu, kelebihan Gemilang Coachwork terletak pada kebolehan dalam menyepadukan sistem yang kompleks, mengurus keperluan pematuhan yang ketat dan mengekalkan piawaian binaan yang konsisten merentas pelbagai platform kenderaan.

Menurut Pang Jun Jie, Pengarah Gemilang Coachwork menambah, “Keupayaan kami dalam menghasilkan unit CKD sebagai kenderaan komersial yang boleh dipercayai dan sedia pasaran jelas memaparkan kesesuaian kami sebagai rakan kongsi strategik untuk hasrat pertumbuhan Dongfeng di Malaysia.”

Rangkaian bengkel di lokasi strategik

Dongfeng Heavy Industries juga akan menyediakan rangkaian bengkel di lokasi strategik untuk sokongan selepas jualan.

Pihak tersebut turut meletakkan syarat di mana setiap bengkel perlu mempunyai perkhidmatan menyelamat mudah alih.