Arkib Tag: Geely EX5

Geely Auto dilancarkan di 5 negara Eropah dalam 48 jam!

Geely Auto telah melengkapkan pelancaran jenama di lima negara teras Eropah iaitu Sepanyol, Jerman, Belanda, Belgium, dan Luxembourg.

Pencapaian tersebut dilakukan dalam tempoh 48 jam antara 25 hingga 26 Mac 2026.

Langkah ini merupakan fasa pengukuhan jenama selepas kejayaan fasa pengenalan awal di pasaran Jerman sebelum ini.

Dengan perkembangan terbaru, Geely Auto kini merangkumi wilayah utama di Eropah Tengah dan Barat, termasuk pasaran sedia ada seperti Hungary, United Kingdom dan Itali.

Melalui pengenalan dua model strategik global iaitu Geely E5 dan Starray EM-i, syarikat telah berkembang ke hampir 20 pasaran arus perdana di seluruh Eropah.

Di pasaran tempatan, E5 dikenali sebagai Proton e.MAS 7 manakala Starray EM-i pula sebagai e.MAS 7 PHEV.

Langkah ini menandakan satu kejayaan besar dalam strategi globalisasi Geely Auto.

Ia menyaksikan peralihan transformatif daripada sekadar kemasukan pasaran kepada penyetempatan mendalam.

Strategi Pasaran dan Rangkaian Logistik Geely Auto di Eropah

Geely Auto kini memperkukuh kedudukan di Eropah Barat. Langkah ini dicapai melalui siri pelancaran model yang sangat pantas.

Sebagai contoh, pelancaran di Cuijk, Belanda (bersempadan dengan Belgium) merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan di Belanda bagi memberi impak kepada wilayah Benelux.

Di Jerman, operasi dimulakan di North Rhine-Westphalia yang merupakan negeri dengan populasi tertinggi dan kapasiti pasaran automotif terbesar di negara tersebut.

Bagi menyokong pengembangan ini, sebuah Pusat Alat Ganti Serantau telah ditubuhkan di Amsterdam untuk membentuk rangkaian logistik European Central Warehouse + National Satellite Warehouses.

Sistem ini memberikan liputan perkhidmatan yang komprehensif untuk pasaran Belanda, Belgium, Luxembourg, Jerman, dan Perancis.

Geely juga memperkenalkan program waranti tempatan serta bantuan kerosakan jalan raya 24 jam di setiap pasaran bagi membina ekosistem perkhidmatan lengkap.

Keupayaan Teknikal dan Kejuruteraan Berorientasikan Eropah

Sepanjang 2025, barisan kenderaan tenaga baharu (NEV) Geely mencatatkan jualan tahunan 1,240,000 unit yang menyaksikan lonjakan 150 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Geely E5 dan Starray EM-i yang menjadi produk utama siri NEV ini kini telah dilancarkan di lebih 40 buah negara.

Keupayaan ini didorong oleh pelaburan teknikal jangka panjang melalui pusat R&D dan reka bentuk di Jerman, Sweden, UK dan Itali.

Ini membolehkan pasukan Eropah menyesuaikan kenderaan mengikut keperluan mobiliti tempatan.

Dari aspek keselamatan, kedua-dua model ini telah menerima penarafan lima bintang Euro NCAP.

Penarafan tersebut memenuhi piawaian ketat Kesatuan Eropah (EU) melibatkan keselamatan struktur, integriti bateri dan pelepasan alam sekitar.

Starray EM-i hadir dengan kokpit pintar tiga skrin serta sistem bunyi keliling Flyme Sound 7.1 dengan 16 pembesar suara.

Manakala Geely E5 pula menawarkan pengalaman elektrik dengan penggunaan cip gred automotif 7nm dan sistem Flyme Auto.

Sejarah Dua Dekad dan Ekosistem Industri di Eropah

Kehadiran Geely Auto di Eropah adalah hasil daripada usaha selama 20 tahun dalam industri tersebut.

Bermula dengan pelaburan dalam Manganese Bronze pada 2006, Geely terus mengukuhkan kedudukannya melalui pelaburan strategik dalam jenama seperti Volvo Cars dan Lotus.

Geely juga merupakan ahli Asia pertama dalam International Automotive Task Force (IATF) yang memberikan pengaruh dalam penggubalan piawaian automotif global.

Pada masa ini, Geely telah mewujudkan kitaran industri lengkap di Eropah merangkumi R&D, reka bentuk, operasi jenama, jualan dan perkhidmatan.

Sebagai peneraju globalisasi jenama China, Geely Auto mengekalkan kedudukan teratas dalam jualan kenderaan penumpang di China untuk dua bulan berturut-turut.

Hala Tuju Masa Hadapan Geely Auto

Geely Auto merancang untuk terus memanfaatkan pusat R&D mereka bagi memperkenalkan lebih banyak produk NEV khusus untuk keperluan pengguna di Eropah.

Syarikat akan terus memperdalam penyetempatan rantaian nilai penuh untuk mengoptimumkan rangkaian jualan dan perkhidmatan di seluruh benua.

Model perniagaan akan beralih daripada eksport perdagangan tradisional kepada penyetempatan rantaian nilai penuh meliputi R&D, pengeluaran, bekalan dan jualan.

Langkah ini diambil bagi merealisasikan visi jenama iaitu Happy Life, Geely Drive.

Geely hebat, 210 ribu Geely EX5 terjual, hanya 15 bulan selepas pelancaran

Geely Auto baru-baru ini mengumumkan SUV elektrik Geely EX5, telah mencapai kejayaan penting dengan jumlah jualan global sebanyak 210,000 unit sehingga Oktober 2025.

Pencapaian luar biasa ini direkodkan hanya dalam tempoh 15 bulan selepas pelancaran pada Ogos 2024.

Bukan sahaja EX5, kembar di pasaran tempatan iaitu Proton e.MAS 7 juga mencatatkan perkembangan memberangangkan dengan jualan sebanyak 7,413 unit sejak dilancarkan pada Disember 2024.

Direka Untuk Keluarga Muda Global

Geely EX5 direka khusus sebagai SUV elektrik yang menyasarkan keluarga muda di seluruh dunia.

Ia dibangunkan untuk mengatasi isu biasa EV kompak, seperti reka bentuk, ruang dalaman, fungsi pintar, prestasi dan kecekapan tenaga.

EX5 dilengkapi sistem pacuan elektrik pintar 11-dalam-1 dan teknologi pengurusan haba canggih.

 

Ciri-ciri tersebut membolehkan EX5 mencapai penggunaan tenaga yang terkemuka dalam kelasnya, iaitu serendah 12.1 kWj bagi setiap 100 km.

Ini bermakna pemanduan EX5 bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menjimatkan.

Selain itu, kemas kini Perisian Atas Talian (OTA) yang berterusan memastikan tahap personalisasi dan kemudahan yang dipertingkatkan, membolehkan EX5 sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan pemilik.

Merantau ke 33 Negara 

Geely EX5 dibangunkan melalui jaringan R&D global Geely dan sistem teknologi canggih.

Selepas diperkenalkan di Pameran Kenderaan Elektrik EVA Frankfurt, model ini pantas mendapat perhatian dan momentum global.

Penampilan sulung EX5 di UK pada Oktober 2025 merupakan langkah terbaharu yang memperkukuh momentum globalnya.

Sehingga kini, EX5 sudah berada di 33 negara merangkumi rantau Eropah, Asia, Oceania, Timur Tengah dan Amerika.

Dominasi Pasaran Utama

  • Di Greece, EX5 mencatatkan prestasi jualan yang kukuh pada September 2025, mendahului jualan dalam segmennya.
  • Pasaran Australia pula menunjukkan penerimaan yang sangat memberangsangkan dengan pertumbuhan pesat sejak pelancarannya pada Mac 2025.
  • Sementara itu, di Brazil, Geely EX5 mendominasi segmennya, merekodkan kedudukan jualan nombor satu selama dua bulan berturut-turut sejurus selepas pelancaran rasmi.

Barisan NEV Geely Melebihi Sasaran Jualan Sejuta Unit

Didorong oleh prestasi kukuh Geely EX5 dan model popular lain, barisan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) jenama Geely telah melepasi sasaran jualan tahunan lebih awal iaitu satu juta unit pada Oktober 2025. Angka tepat ialah 1,002,461 unit.

Perancangan Masa Depan dan Strategi Global

Geely Auto merancang untuk terus menembusi pasaran utama Eropah, termasuk Jerman, Perancis, Itali, dan Sepanyol.

Pada masa yang sama, syarikat akan memperkukuh kehadiran di pasaran baru muncul seperti Uzbekistan, Afrika Selatan dan Colombia.

Melalui inovasi dan strategi global bernilai tinggi, Geely Auto menyasarkan untuk menawarkan mobiliti yang lebih pintar, hijau,dan menyeronokkan kepada pemandu di seluruh dunia.

Kembar eMas7, Geely EX5 rasmi masuk pasaran Thailand, dari RM111k

Sementara kita menunggu pelancaran rasmi Proton eMas 7, Geely akhirnya mengorak langkah terkini dengan melancarkan model SUV elektrik EX5 (atau nama lainnya Geely Galaxy E5) di pasaran Thailand.

Terdapat dua varian yang ditawarkan di negarajiran, iaitu varian Pro dengan harga jualan THB859,000 (RM111 ribu), sementara varian Max pula berharga TBH949,000 (RM123 ribu).

Geely EX5 berkongsi spesifikasi yang sama dengan eMas 7, di mana ia dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 218 PS/320 Nm.

Pek bateri Aegis 60.22 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 495 km untuk sekali cas penuh, berdasarkan data NEDC.

Geely EX5 turut menyokong pengecasan AC 11 kW di mana pengecasan penuh mengambil masa 6.1 jam, selain pengecasan pantas DC 100 kW, dengan pengecasan 30-80 peratus dalam masa 20 minit sahaja.

Tidak seperti Proton eMas 7, Geely EX5 ditawarkan dengan sokongan sambungan Apple CarPlay secara standard.

Dengan kemunculan rasmi jenama Geely di pasaran Thailand, apa sudah jadi dengan perancangan gergasi automotif China itu untuk menggunakan jenama Proton bagi pasaran Asean serta pasaran RHD yang lain?