Arkib Tag: gear

Ford bangunkan transmisi manual tanpa perlu tekan klac

FORD kini sedang membangunkan sistem klac elektronik yang akan membolehkan pemandu “menukar gear” tanpa menekan pedal klac.

Idea asasnya ialah sistem untuk penukaran gear tanpa sambungan fizikan antara pedal klac, silinder utama, bearing throw-out, dan pelbagai komponen lain. Segala sambungan ini akan digantikan dengan pengesan atau sensor.

Menurut artikel Muscle Cars & Trucks, transmisi manual ini akan serupa dengan unit pada Ford Mustang dan Bronco dengan hanya dua perbezaan utama.

Pertamanya, walaupun masih mempunyai pedal klac, ia tidak akan bersambung dengan apa-apa melainkan pengesan dan aktuator.

Perbezaan lain adalah tombol gear itu sendiri akan mempunyai pengesan terbina dalam, yang mana apabila digunakan oleh pemandu, akan memutuskan klac bila ia digerakkan. Jadi anda boleh menukar gear tanpa perlu menekan pedal klac dengan kaki kiri.

Walaubagaimanapun, akan terdapat juga cara untuk ‘melawan’ sistem ini. Anda masih boleh gunakan klac untuk mula memecut kenderaan seperti atau untuk pemandu tegar menggunakannya seperti biasa.

Terdapat banyak kenderaan hari ini dengan dilengkapi transmisi manual yang juga didatangkan dengan fungsi anti-stall dan rev-matching.

Menariknya, fungsi-fungsi ini boleh dinyahaktifkan, dan kami yakin transmisi baharu yang dibangunkan Ford ini juga akan mempunyai ciri sama.

Sebuah transmisi manual moden yang mudah digunakan tetapi masih mempunyai ciri old-school.

Berminat cari kereta transmisi manual dengan harga mampu milik? Boleh tengok senarai kami di bawah:

Ketahui lima rahsia ‘jaga’ kereta, elak duit ‘melayang’

MEMILIKI kereta bukan sekadar menuntut anda mengetahui cara memandunya malah, memerlukan pengetahuan penjagaan sesebuah kenderaan.

Tidak bermaksud perlu menjadi seorang ‘mekanik’, tetapi sekurang-kurangnya anda perlu mengetahui beberapa penjagaan asas agar kereta kekal ‘tip top’.

Jadi, apakah antara perkara asas penjagaan kereta yang wajib diketahui?

Lima asas penjagaan kereta

Terdapat lima perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam penjagaan sesebuah kereta.

Ia bukan sahaja penting agar kereta anda mampu ‘berkhidmat’ lebih lama tetapi paling mustahak mampu mengelak daripada duit ‘melayang’ ke bengkel.

Berikut lima perkara asas penjagaan sesebuah kereta yang perlu diketahui.

Penjagaan Transmisi kereta

Transmisi kereta atau gearbox merupakan elemen penting dalam sesebuah kenderaan untuk bergerak.

Terdapat dua jenis transmisi iaitu automatik dan manual.

Tips pertama ini bagaimanapun akan memberi fokus kepada transmisi automatik.

Ini memandangkan majoriti pemandu di Malaysia menggunakan kenderaan mempunyai transmisi automatik.

Jadi, untuk memastikan transmisi automatik kereta bertahan lama terdapat beberapa perkara perlu dilakukan.

Pertama, pastikan gear anda tidak berada pada mod bergerak (D) ketika berhenti di lampu isyarat.

Kebanyakan pemandu gemar menekan brek dan membiarkan gear berada pada kedudukan mod memandu.

Apa yang membimbangkan, ia akan menyebabkan gerigi gear berada pada situasi ‘memaksa’ sekaligus menyebabkan berlaku ‘kehausan’.

‘Berlembut’ dengan transmisi

Jangan rentap tombol gear sewaktu membuat penukaran transmisi.

Penukaran gear secara kasar boleh memendekkan jangka hayat transmisi automatik sesebuah kenderaan.

Justeru, setiap kali ini menukar posisi gear automatik pastikan lakukannya dengan penuh kasih sayang.

Ingat, gearbox bukan murah ya!

Elak rehatkan tangan pada tombol gear

Situasi ini sering terjadi ketika sedang memandu dalam keadaan cruising di lebuh raya.

Awas! jangan lakukan perkara ini kerana gear kenderaan anda akan berada dalam keadaan ‘tertekan’.

Situasi ini disebut sebagai pre-mature ware atau pengunaan pra-matang.

Setiap kompenan mempunyai jangka hayat tertentu dan dengan menjadikan tombol gear sebagai hand rest, ia tidak membantu ketahanan gearbox.

Elak ‘bermain’ dengan klac

Situasi ini sering berlaku takkala kenderaan sedang berhenti di lampu isyarat dan menanti untuk bergerak.

Keadaan seperti ini menyebabkan pengunaan klac dan gearbox dalam keadaan sedia untuk bergerak.

Bagaimanapun, tingkah laku ini menyebabkan tahap jangka hayat gear tidak berada dalam keadaan optimum.

Ia seolah-olah memberi tekanan kepada gearbox dan klac tetapi kenderaan masih berada dalam keadaan pegun.

Kenderaan mendaki bukit

Kebanyakan pemandu sering ‘memerah’ atau memaksa kenderaan mendaki bukit dengan menggunakan mod ‘D’ (bagi kenderaan transmisi automatik).

Tahukah anda, tindakan ini juga boleh menyebabkan berlaku kerosakan pada sistem gearbox dan sekaligus menyebabkan ia tidak mampu bertahan lama.

Hal ini kerana gear pada mod ‘D’ akan memaksa kenderaan menggunakan lebih tenaga untuk mendaki bukit.

Apa yang anda perlu lakukan adalah menukar transmisi gear yang lebih rendah ketika mendaki bukit.

Perkara sama perlu dilakukan kepada kenderaan transmisi ‘manual’ iaitu elakkan daripada menggunakan gear tinggi.

Anda hendaklah menggunakan gear rendah agar gearbox tidak berada dalam keadaan terlalu memaksa selain pada masa sama menjimatkan konsumsi petrol.

Demikian antara penjelasan mengenai lima kaedah penjagaan sesebuah kenderaan agar kekal bertahan lama.

Ia bukan sahaja memastikan kenderaan anda kekal ‘tip top’ tetapi lebih mustahak mampu menyelamatkan wang anda.

Nak tahu lebih lanjut mengenai tips penjagaan kereta saksikan video ini bersama host kesayangan ramai, Bro Adi!

#JagaKeretaDuitSelamat

Lima tips penting penjagaan sistem transmisi kenderaan

SISTEM transmisi merupakan salah satu aspek penting bagi sesebuah kenderaan.

Tanpa sistem transmisi sesebuah kenderaan tidak mungkin mampu bergerak.

Menggunakan putaran gerigi gear, ia menyebabkan sesebuah kenderaan sampai ke destinasi dituju.

Justeru, tidak dinafikan tahap penjagaan sistem transmisi amat penting bagi sesebuah kenderaan.

Maka, artikel kali ini penulis ingin menjawab lima persoalan mengenai penjagaan sistem transmisi.

1. Adakah pemandu perlu meletakkan posisi gear dalam mod neutral (N) atau biarkan sahaja pada posisi drive (D) ketika kenderaan berhenti seketika?

Rata-rata pemandu di Malaysia sering membiarkan transmisi gear automatik berada di kedudukan (D) ketika berhenti di lampu isyarat.

Pada pandangan penulis, adalah lebih afdal jika gear diletakkan dalam mod (N) ketika kenderaan tidak bergerak.

Ini kerana pertukaran transmisi ke (N) mampu menjimatkan tenaga enjin bahan bakar serta mengelakkan peningkatan kerosakkan pada kompenan sistem brek.

2. Bagaimana kaedah ingin memastikan jangka hayat lebih lama bagi tranmisi manual?

Jangan sesekali meletakkan tangan di atas tombol tranmisi. Pastikan tombol gear tidak menjadi alas untuk handrest.

Hal ini kerana tangan yang diletakkan pada tombol gear boleh menghasilkan tekanan pada shifter fork dan rotating gear dalam kotak transmisi.

Keadaan sekaligus menyebabkan premature wear pada kompenan dalaman memendekkan tempoh jangka hayat transmisi manual anda.

Selain itu, pastikan juga pedal klac kenderaan tidak dijadikan tempat untuk legrest kerana ia punca utama ketahanan klac berkurangan.

3. Adakah pemandu dibenarkan menggunakan klac (transmisi manual) untuk memberhentikan kenderaan?

Segelintir pemandu gemar menggunakan pedal klac dan minyak untuk meletakkan kenderaan berada dalam keadaan pegun.

Ia sering berlaku terutama ketika kenderaan berhenti di kawasan lereng jalan berbukit.

Buat pengetahuan anda tindakan memijak pedal klac dan minyak dalam satu masa akan menyebabkan kerosakan teruk pada klac kenderaan anda.

Jadi apakah solusinya? Gunakan handbrake ya! Penat engineer fikir…

4. Bolehkah kenderaan berada pada posisi gear satu (transmisi manual) ketika berhenti di lampu isyarat?

Tidak. Jangan sesekali berbuat demikian. Kenderaan yang berada dalam posisi gear satu akan memberi tekanan pada pedal klac.

Ingat! Tujuan utama klac adalah untuk melancarkan pertukaran posisi gear secara berterusan, bukan untuk memberhentikan kenderaan.

5. Adakah transmisi mudah rosak jika dikendalikan dengan kasar?

Ada dalam kalangan pemandu seringkali menghentak posisi gear dengan kasar serta paksaan tanpa memikirkan tahap tekanan dihasilkan.

Kononnya ia bertujuan menghasilkan tujahan atau kuasa yang luar biasa.

Realitinya, kaedah ini mampu memendekkan jangka hayat klac termasuk shifter forks.

Jadi, jangan la nak kejar ‘macho’ sistem transmisi pula yang jahanam.

Kesimpulannya, sayangi kenderaan anda dengan terus mempelajari kaedah penjagaan sistem transmisi.

Bukan sahaja kenderaan anda akan bertahan lama malah, duit anda juga selamat!