Arkib Tag: ford gt

Donkervoort P24 RS (2026) – jentera unik dengan enjin Ford GT, 150 unit sahaja, harga dari RM1.4 juta

Donkervoort mungkin tidak begitu terkenal, tetapi setiap kali mereka melancarkan kereta baharu, ia pasti mencuri perhatian peminat automotif di seluruh dunia. Model terbaru mereka, P24 RS, adalah kereta paling ekstrem setakat ini.

Enjin padu

P24 RS menampilkan enjin 3.5-liter turbo V6 dengan 600 hp dan tork 800 Nm, disalurkan ke roda belakang oleh transmisi manual lima kelajuan.

Apa yang menarik, pemilik boleh memilih output enjin antara 400, 500, atau 600 hp serta mengubah tetapan suspensi dan kawalan cengkaman.

Kereta ini mampu memecut dari 0–100 km/j dalam kurang 2.5 saat, dan 0–200 km/j dalam 7.3 saat. Beratnya hanya 780 kg, bermakna ia mempunyai nisbah kuasa-ke-berat sekitar 770 hp per tan.

Enjin V6 berkenaan merupakan enjin yang sama dengan Ford GT, namun dilengkapkan dengan turbin Van Der Lee Turbo Systems bagi mengelakkan turbo lag.

DNA Belanda dikekalkan

P24 RS mengekalkan DNA Donkervoort dengan badan rendah, roda depan terbuka, dan kemampuan mengharungi selekoh sehingga 2.3 G.

Elemen aerodinamik boleh ditambah atau dibuka mengikut keperluan, dan hampir semua panel badan diperbuat daripada gentian karbon, sementara beberapa komponen menggunakan logam cetakan 3D.

Di dalam, terdapat ciri-ciri moden dan terkini seperti brek tangan elektrik, dan paparan digital lengkap termasuk GPS lap timer. Tiada sistem audio, kerana kereta ini direka untuk litar.

Walaupun nampak kecil, kabin jentera ini dikatakan cukup luas untuk mereka yang tinggi lampai, dengan top targa boleh dibuka, serta ruang bagasi 249 liter.

Harga macam semi-D mewah

Hanya 150 unit P24 RS akan dihasilkan, dengan lebih daripada 50 unit telah pun ditempah. Harga asas bermula sekitar €298,500 (RM1.4 juta).

TMJ pandu Ford GT bertemu Datuk Azizulhasni

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor semalam telah terima mengadap Datuk Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik.

Pertemuan itu diadakan di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim. Menerusi tulisan di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Ismail dilihat tiba dengan memandu Ford GT baharu.

Supercar itu diberikan warna livery badan biru, merah dan putih seakan-akan bendera negeri Johor. Ford GT menampilkan rekaan badan cukup aerodinamik dan mengambil inspirasi rekabentuk generasi-generasi sebelumnya.

Tidak seperti generasi sebelumnya yang dikuasakan oleh enjin V8 supercharge, Ford GT baharu ini dipacu unit 3.5-liter V6 twin-turbo yang mampu menjana 660hp dan 756Nm tork.

Dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, Ford GT mampu memecut dari pegun ke 100km/j dalam 3.2 saat dan mencapai kelajuan maksima 347km/j.

Pertemuan Tunku Ismail dengan Datuk Azizulhasni adalah bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian pelumba basikal itu di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini.

“Tunku Mahkota Johor terima mengadap Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, pelumba basikal trek profesional dan pemenang pingat perak Olimpik pada hari ini, 7 September 2021 di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim bagi mengurniakan ganjaran atas pencapaian beliau di Sukan Olimpik 2020 baru-baru ini. Allah Peliharakan Sultan,” tulis status terbaru itu.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebook, Azizulhasni berterima kasih atas jemputan berkenaan yang memberikannya peluang berkongsi pengalaman dan menyampaikan idea bagi pembangunan sukan berbasikal di Johor.

“Menjunjung kasih DYAM Tunku Mahkota Johor HRH Crown Prince of Johor diatas perkenan mencemar duli menjemput patik bersama Datuk Qobin untuk mengadap Tunku di JDT HeadQuarter,” tulisnya.

“Patik amatlah terharu dan seperti bermimpi disiang hari kerana dapat bersama-sama dengan Tunku dan berkongsi pengalaman serta kejayaan di Olimpik Tokyo baru-baru ini. Patik juga menjunjung kasih di atas kesudian Tunku untuk mendengar idea dan pandangan patik dalam membangunkan arena sukan negara terutamanya sukan berbasikal di Negeri Johor.

“Patik amat berharap agar apa yang dihasratkan dapat dijadikan realiti dan semoga ia dapat di manfaatkan oleh seluruh warga sukan terutamanya mereka yang berada di Johor.”

Azizulhasni turut menjunjung kasih atas hadiah peribadi daripada Tunku Ismail.

“Patik akan ingat sampai bila-bila. Semoga Allah memurahkan rezki dan merahmati Tunku serta seluruh kerajaan Tunku,” tambahnya.

Sumber gambar: Facebook HRH Crown Prince of Johor