Arkib Tag: Farizon SV Sport

Farizon SV Sport 2026, van kerja tampil sporti!

Farizon New Energy Commercial Vehicle Group, iaitu syarikat kenderaan komersial di bawah Geely Holding Group memperkenalkan Farizon SV Sport 2026.

SV Sport menerima peningkatan reka bentuk luaran menerusi kit badan khas hasil kerjasama CPD Bodies iaitu syarikat pengubah kenderaan rasmi Farizon

Di United Kingdom, van dengan penampilan sporti begini biasa ditawarkan seperti yang ditunjukkan oleh Ford dan Volkswagen.

SV Sport menggabungkan penampilan bergaya dengan praktikaliti serta spesifikasi tinggi model standard SV.

Farizon SV merupakan finalis International Van of the Year 2026 dan turut memenangi anugerah Trade Van Driver bagi kategori Best Technical Innovation serta Best Large Zero Emission Van.

Pakej Gaya Eksklusif Sentuhan British

SV Sport menerima pakej gaya eksklusif yang direka dan dikilangkan sepenuhnya di Britain, tampil lebih sporti tanpa menjejaskan keupayaan kerja harian.

Model ini dibangunkan untuk pelanggan yang mahukan van dengan karakter lebih tersendiri tanpa mengorbankan ciri praktikal sebuah kenderaan kerja.

Pada bahagian hadapan, ia menampilkan bampar baharu yang dipadankan dengan pemisah depan bagi menghasilkan imej lebih agresif.

Rekaan tersebut diteruskan ke bahagian kanan dan kiri SV menerusi skirt sisi berukir yang turut dihiasi lencana eksklusif SV Sport.

Bahagian belakang pula menerima kit bampar baharu bersama difuser bersepadu serta lampu kabus belakang bawah.

Penampilan aerodinamik keseluruhan disempurnakan dengan spoiler pada bahagian belakang bumbung.

Ruang dalaman Farizon SV Sport menerima beberapa kemasan eksklusif termasuk pelapin ambang pintu khas SV Sport serta stereng dengan identiti Sport tersendiri.

Bahagian papan pemuka turut dilengkapi plak eksklusif yang memaparkan maklumat asal penukaran kenderaan serta nombor siri individu bagi setiap unit.

Rim Aloi 20-Inci dan Pilihan Warna Kusam dan Menyerlah

Profil sisi Farizon SV Sport tampil lebih gah menerusi penggunaan rim aloi rekaan khas bersaiz 20-inci yang dibalut tayar berprestasi tinggi 235/45ZR20 100W XL.

Bagaimanapun, pelanggan masih boleh memilih rim aloi bersaiz 18-inci tanpa kos tambahan sekiranya mahukan karakter pemanduan berbeza.

Bagi memberikan lebih banyak pilihan, Farizon menawarkan beberapa warna badan baharu termasuk:

  • Matte black dan matte green
  • Bright orange dan vampire red
  • Satin grey
  • Gloss blue dan gloss yellow

Rangkaian Kuasa Elektrik 170 kW dan Keupayaan Kerja

Dari segi mekanikal, Farizon SV Sport mengekalkan spesifikasi sama seperti model standard SV L1H1.

Ia menggunakan rangkaian kuasa elektrik yang menghasilkan kuasa maksimum 170 kW (231 PS) serta tork 336 Nm.

Model ini turut menggunakan teknologi moden termasuk sistem kawalan drive-by-wire dan teknologi pembungkusan bateri cell-to-pack.

Bagi kegunaan komersial, Farizon SV menawarkan kapasiti muatan (payload) sehingga 1,350 kg, ruang kargo maksimum 6.95 m³ serta ketinggian lantai pemuatan ultra-rendah hanya 550 mm.

Dari aspek pengendalian, van elektrik ini menggunakan sistem ampaian hadapan jenis independent dual wishbone yang pertama di dunia untuk sebuah van EV, bagi memberikan tahap keselesaan serta kawalan pemanduan lebih baik.

Selain itu, ia turut menawarkan keupayaan menunda (towing capacity – braked) sehingga 2,000 kg.

Kecekapan tenaga pula dipertingkat menerusi reka bentuk badan ringan yang dioptimumkan secara aerodinamik, dengan faktor heretan (drag factor) ultra-rendah hanya 0.29 Cd.

Kelengkapan Standard

Farizon SV Sport dilengkapi pelbagai ciri standard bagi meningkatkan keselesaan, kemudahan serta keselamatan pemandu.

Antara kelengkapan termasuk:

  • Tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas.
  • Stereng pelbagai fungsi dengan fungsi pemanas.
  • Sistem kamera pandangan sekeliling 360 darjah.
  • Teknologi bekalan kuasa luar Vehicle-to-Load (V2L).
  • Sistem pemantauan berat muatan (payload monitoring system).
  • Pengelap cermin automatik.
  • Cermin hadapan dengan fungsi pemanas.
  • Sistem bantuan pemandu ADAS yang komprehensif.

Buat peringkat awal, varian ini hanya ditawarkan untuk konfigurasi L1H1 sahaja.

Farizon SV Sport akan dijual menerusi rangkaian sembilan pengedar rasmi Farizon Auto UK yang meliputi kawasan pasaran dari North East sehingga South West.

Tiga Pilihan Bateri Farizon SV

Farizon SV ditawarkan dalam tiga pilihan bateri dengan jarak pemanduan WLTP Gabungan sehingga 398 km dan WLTP Bandar sehingga 550 km.

Bateri 67 kWj

  • Jarak WLTP Gabungan 303 km
  • Pengecasan pantas DC 120 kW (20-80%) sekitar 36 minit dan pengecasan AC 11 kW sekitar 6.5 jam.

Bateri 83 kWj

  • Jarak WLTP Gabungan 377 km.
  • Pengecasan pantas DC 140 kW (20-80%) sekitar 36 minit dan pengecasan AC 11 kW sekitar 9 jam.

Bateri 106 kWj

  • Jarak WLTP Gabungan 398 km.
  • Pengecasan pantas DC 120 kW (20-80%) sekitar 40 minit dan pengecasan AC 11 kW sekitar 10.5 jam.