Arkib Tag: Evan Bros

ZXMOTO menang lagi! Valentin Debise juara di WorldSSP Misano 2026

Hujung minggu yang positif buat pasukan ZXMOTO Evan Bros Factory di Misano World Circuit Marco Simoncelli, Itali apabila Valentin Debise menghadiahkan kemenangan dalam Perlumbaan 1.

Beliau kemudiannya menambah kutipan mata penting menerusi kedudukan kesembilan dalam Perlumbaan 2.

Sementara itu, rakan sepasukan Federico Caricasulo turut menyumbang mata kejuaraan selepas bangkit daripada kelompok belakang untuk menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kesembilan.

Beliau berdepan perlumbaan yang lebih mencabar pada hari berikutnya.

Kejayaan di Misano menyaksikan Debise terus mengukuhkan kedudukan sebagai pencabar utama kejuaraan WorldSSP 2026 apabila kekal di tangga kedua keseluruhan di belakang Albert Arenas.

Terdahulu di Most, Republik Czech beliau menjuarai kedua-dua perlumbaan.

Perlumbaan 1: Debise tewaskan Arenas dalam pertarungan pusingan terakhir

Valentin Debise memulakan Perlumbaan 1 dari petak ketiga dan dengan pantas meletakkan dirinya dalam kelompok hadapan.

Can Oncu yang menunggang Yamaha YZF-R9 mendahului perlumbaan menuju Selekoh 1, diikuti Debise dan Albert Arenas yang kemudiannya berjaya memisahkan diri pada peringkat awal perlumbaan.

Debise naik ke kedudukan kedua pada pusingan kelima sebelum mengambil alih kedudukan pendahulu dengan baki 13 pusingan perlumbaan.

Arenas kemudiannya memintas semula untuk mendahului perlumbaan ketika berbaki 11 pusingan.

Menjelang pusingan kesembilan, pertarungan merebut kemenangan hanya melibatkan Debise dan Arenas selepas Oncu mula kehilangan rentak.

Aksi sebenar tercetus pada pusingan terakhir apabila Debise melakukan serangan berani di selekoh pantas Curvone (Selekoh 11) untuk memintas Arenas.

Pelumba Sepanyol itu cuba membalas di Selekoh 16, namun Debise berjaya melakukan potongan balas sebelum melintasi garisan penamat sebagai pemenang.

Debise meraih kemenangan dengan kelebihan hanya 0.107 saat di hadapan Arenas. Beliau juga berjaya mencatatkan masa pusingan terpantas.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan keenam Debise musim 2026, selain menjadi kemenangan kelapan kerjayanya dalam WorldSSP.

Ia juga merupakan kemenangan keenam buat ZXMOTO dalam musim sulung pengeluar itu di kejuaraan WorldSSP.

Bagi Federico Caricasulo pula, beliau memulakan perlumbaan dari petak ke-13.

Pelumba Itali itu kehilangan masa akibat trafik pada pusingan awal dan berada di luar kelompok 10 terbaik untuk sebahagian besar perlumbaan.

Bagaimanapun, Caricasulo berjaya berjaya memasuki kelompok 10 terbaik pada pusingan ke-14 sebelum menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan untuk mengutip mata berharga.

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 1 Misano

  1. Valentin Debise (ZXMOTO)
  2. Albert Arenas (Yamaha): +0.107s
  3. Can Oncu (Yamaha): +5.049s
  4. Tom Booth-Amos (Triumph): +5.934s
  5. Alessandro Zaccone (Ducati): +7.607s
  6. Mattia Casadei (Ducati): +10.450s

Pusingan Terpantas: Valentin Debise (ZXMOTO) – 1’37.216s

Perlumbaan 2: Debise bermula dari petak pertama, penalti jatuhkan ke P9

Berdasarkan sembilan catatan pusingan terpantas dalam Perlumbaan 1, Debise memperoleh kelebihan memulakan Perlumbaan 2 dari petak pertama.

Beliau dan Arenas mendahului perlumbaan menuju selekoh pertama, namun Aldi Mahendra yang menunggang Yamaha YZF-R9 berjaya memintas Debise sebelum tamat pusingan pembukaan.

Debise kemudiannya bergelut untuk mengekalkan rentak kelompok hadapan apabila Mahendra dan Arenas mula membuka jurang di depan.

Tom Booth-Amos yang menunggang Triumph Street Triple 765 RS menjadi pelumba pertama memintas Debise pada pusingan keempat.

Namun pelumba Perancis itu kehilangan beberapa kedudukan pada bahagian akhir perlumbaan.

Debise sebenarnya menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, namun dikenakan penalti satu kedudukan oleh Steward FIM WorldSBK selepas didapati melebihi had litar.

Keputusan rasmi menyaksikan beliau diklasifikasikan di tempat kesembilan.

Sementara itu, Arenas tampil dominan apabila mendahului setiap pusingan perlumbaan untuk meraih kemenangan ketiga musim ini.

Bagi Caricasulo, perlumbaan kedua berlangsung jauh lebih sukar berbanding aksi yang dipamerkannya sehari sebelumnya.

Menurut laporan pasukan, pelumba Itali itu berdepan beberapa kesukaran sepanjang perlumbaan dan gagal menemui rentak terbaiknya, sekali gus tidak dapat mengulangi keputusan positif dalam Perlumbaan 1.

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 2 Misano

  1. Albert Arenas (Yamaha)
  2. Tom Booth-Amos (Triumph): +1.976s
  3. Aldi Mahendra (Yamaha): +3.160s
  4. Jaume Masia (Ducati): +5.167s
  5. Jeremy Alcoba (Kawasaki): +8.513s
  6. Mattia Casadei (Ducati): +8.559s

Pusingan Terpantas: Aldi Mahendra (Yamaha) – 1’37.518s

Kedudukan Kejuaraan WorldSSP 2026 (Selepas Misano)

Ranking Pelumba

  1. Albert Arenas (AS BLU CRU Racing Team): 251 mata
  2. Valentin Debise (ZXMOTO Evan Bros Factory): 195 mata
  3. Jaume Masia (Orelac Racing Verdnatura): 179 mata
  4. Can Oncu (Pata Yamaha Ten Kate Racing): 159 mata
  5. Philipp Oettl (Feel Racing WorldSSP Team): 122 mata
  6. Tom Booth-Amos (PTR Triumph Factory Racing): 115 mata

Valentin Debise kini kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 195 mata, ketinggalan 56 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Albert Arenas.

Kredit berita dan gambar:

  • Evan Bros Racing
  • ZXMOTO
  • WorldSBK

ZXMOTO juara lagi dalam WorldSSP, tewas pusingan 2 Balaton Park

Pasukan ZXMOTO Evan Bros Factory menempuh hujung minggu yang penuh drama pada pusingan WorldSSP di Balaton Park, Hungary yang berlangsung dari 2 hingga 3 Mei 2026.

Walaupun baru memasuki musim sulung, keupayaan teknikal jentera ZXMOTO telah meletakkan mereka sebagai pencabar utama kepada pengeluar gergasi Jepun dan Eropah.

Valentin Debise Menang Perlumbaan 1 Secara Dramatik

Pada perlumbaan hari Sabtu, Valentin Debise melakar kemenangan ketiga musim ini dengan cara yang cukup luar biasa.

Memulakan perlumbaan di petak kelima, beliau mengekalkan rentak dalam kelompok pendahulu dan berada di kedudukan ketiga pada pusingan ke-14 selepas Roberto Garcia terjatuh.

Pada pusingan terakhir, Can Oncu tersilap perhitungan di kawasan chicane Selekoh 12-13, memberi ruang kepada Debise dan Albert Arenas untuk memintas.

Debise melakukan pintasan kemas di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan sulung sejak kejayaan di Portimao dengan catatan masa 31’05.422s.

Kredit Evan Bros Racing.

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 1 Balaton Park:

  1. Valentin Debise (ZXMOTO): 31’05.422s
  2. Albert Arenas (Yamaha): +0.132s
  3. Can Oncu (Yamaha): +0.377s
  4. Jeremy Alcoba (Kawasaki): +0.770s
  5. Matteo Ferrari (Ducati): +1.092s
  6. Philipp Oettl (Ducati): +5.835s

Masalah Teknikal Ragut Peluang Race 2

Perlumbaan hari Ahad membawa nasib berbeza buat pasukan ZXMOTO apabila Valentin Debise terpaksa bersara seawal pusingan kedua.

Walaupun memulakan perlumbaan dengan positif di kelompok lima terbaik, masalah teknikal pada jentera meragut peluang beliau untuk mencabar podium.

Albert Arenas dari pasukan Yamaha mengambil kesempatan ini untuk memenangi perlumbaan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan.

Rakan sepasukan Debise, Federico Caricasulo, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.

Keputusan 6 Teratas Perlumbaan 2 Balaton Park:

  1. Albert Arenas (Yamaha): Juara
  2. Can Oncu (Yamaha): +0.419s
  3. Roberto Garcia (Yamaha): +0.509s
  4. Matteo Ferrari (Ducati): +1.017s
  5. Jaume Masia (MV Agusta): +2.524s
  6. Tom Booth-Amos (Triumph): +3.864s

Spesifikasi Padu ZXMOTO 820RR-RS 2026

Jentera ZXMOTO 820RR-RS merupakan varian perlumbaan yang dioptimumkan sepenuhnya daripada model produksi utama untuk mendominasi litar WorldSSP.

Pengasasnya, Zhang Xue, menekankan bahawa kelebihan kompetitif jentera ini terletak pada hantaran kuasa yang kuat serta berat yang sangat ringan.

  • Enjin Tiga-Silinder: Nadi 819cc inline-three menghasilkan 153.6ps dan tork 85Nm.

  • Had Putaran Enjin: Mencecah 15,250rpm untuk hantaran kuasa tinggi yang konsisten.

  • Casis Ultra-Ringan: Penggunaan kerangka twin-spar aluminium dan komponen aloi magnesium mengurangkan berat kering kepada 182kg.

  • Sistem Brek & Elektronik: Dilengkapi angkup radial Brembo, tayar slick Pirelli, serta sistem 6-axis IMU untuk kawalan jitu.

Kedudukan Ranking Kejuaraan WorldSSP 2026

Berikut adalah kedudukan terkini selepas pusingan di Balaton Park, Hungary:

  • Valentin Debise (ZXMOTO): Tempat ke-3 keseluruhan (97 mata).
  • ZXMOTO (Pengeluar): Tempat ke-3 keseluruhan (99 mata).
  • Pasukan ZXMOTO Evan Bros: Tempat ke-4 keseluruhan (107 mata).

Sumber/Kredit gambar: