Arkib Tag: enjin V6

Mazda pernah bikin MX-5 Miata dengan enjin V6 suatu ketika dulu

Sejak dilancarkan buat kali pertama pada tahun 1989, Mazda MX-5 (Miata) masih lagi mengekalkan resipi yang sama.

Badan yang kecil dan ringan, rekaan pula tampil minimalis.

Perbezaan kuasa kuda yang dihamburkan antara model generasi pertama dan generasi keempat juga tidaklah terlalu lebar jurangnya.

Namun tahukah anda, Mazda dulu pernah cuba menghasilkan MX-5 Miata dengan enjin V6?

 

Eksperimen 20 tahun lalu

Christian Schultze selaku Pengarah Penyelidikan dan Operasi Mazda Motor Eropah mengesahkan perkara tersebut berlaku kira-kira 20 tahun lepas.

Perkara ini mungkin berlaku ketika peralihan antara model generasi kedua MX-5 (NB) ke model generasi ketiga MX-5 (NC).

Bercakap kepada laman AutoRAI, beliau mendedahkan projek MX-5 dengan enjin V6 2.5 liter tersebut dijalankan secara sukarela dan minat oleh sekumpulan jurutera.

Biarpun tidak dinyatakan dengan jelas, besar kemungkinan ia merupakan enjin Siri K yang digunakan oleh Mazda pada kereta produksi seperti 626 dan MX-6.

Dengan hamburan kuasa yang jauh lebih bertenaga berbanding enjin NB (140 hp/161 Nm), MX-5 V6 itu diakui menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

 

Dua masalah utama MX-5 V6

Schultze mengakui terdapat dua masalah utama yang menghalang projek itu melepasi fasa prototaip.

Satu, enjin V6 tersebut tidak muat kerana terlalu tinggi, menjadikan visual keseluruhan kereta tidak begitu menarik.

Dua, penggunaan enjin V6 tersebut akan memberikan kesan kepada keseimbangan berat secara keseluruhan, disebabkan enjin 2.5 liter itu lebih berat berbanding enjin sedia ada.

 

Bagaimana pula dengan MX-5 generasi baharu?

Sudah 11 tahun MX-5 (ND) berada dalam pasaran, dan sudah tiba masanya roadster itu digantikan dengan model serba baharu.

Terdapat laporan MX-5 bakal ditawarkan dalam versi hibrid lengkap dengan motor elektrik dan bateri.

Jika benar, apa pula cara Mazda untuk memastikan resepi kereta ringan sedia ada terus dikekalkan?

 

Ford Ranger WildTrak 2025 kini dengan enjin diesel turbo V6 3.0L – harga dari RM192,888

Ford Malaysia menerusi pengedarnya Sime Darby Auto ConneXion hari ini secara rasmi melancarkan trak pikap Ranger WildTrak baharu yang didatangkan dengan enjin bentangan V6 3.0L Turbo Diesel.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa setinggi 250 PS @ 3,250 rpm dan daya kilas 600 Nm @ 1,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis automatik 10 nisbah kelajuan dan turut dilengkapi dengan enam mod pemanduan iaitu Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand.

Antara kelengkapan yang wujud pada varian baharu ini termasuklah unit lampu LED Matriks, lampu nyalaan siang, roda aloi 20 inci, tayar bersaiz 255/55 R20, logo V6 unik, lampu lumpur, serta tayar ganti saiz penuh.

Masuk ke dalam ruang kabin, terdapat kluster digital 8 inci, skrin tengah 12 inci SYNC 4A yang lengkap dengan Apple CarPlay/Android Auto, slot USB khas untuk pemasangan kamera perakam pemanduan, serta pengecas peranti pintar tanpa wayar.

Ciri keselamatan pula termasuklah Sistem Pengesanan Titik Buta (BLIS), Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Jelajah Adaptif dengan fungsi Berhenti & Bergerak, Panduan Tengah Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Brek Pasca-Pelanggaran.

Terdapat empat warna menarik iaitu Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow, dan Meteor Grey.

Harga jualan pula bermula dari RM192,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

Untuk tempoh terhad, pelanggan awal akan dapat menikmati Pakej Servis Lanjutan 2-tahun dan beg pendingin edisi terhad.

Pelanggan yang membuat tempahan dalam talian akan menerima kerusi perkhemahan eksklusif Ford.