Arkib Tag: EICMA 2026

EICMA 2026: Honda CRF1150L Africa Twin 2027 jadi motosikal pertama dengan ciri Honda SENSING RIDE

Bertempat di acara EICMA 2026, Honda memperkenalkan CRF1150L Africa Twin 2027 membawakan peningkatan kapasiti enjin, pengurangan berat dan teknologi bantuan tunggangan baharu.

Menggantikan CRF1100L, generasi baharu ini dibangunkan berkonsepkan “Shaped by You. True Adventure for All.”, dengan tumpuan kepada prestasi, keseimbangan serta kemudahan pengendalian.

Tiga varian ditawarkan:

  • Africa Twin
  • Africa Twin Adventure Sports
  • Africa Twin Enduro Sports

Rekaan berbeza mengikut varian

Africa Twin standard mengekalkan identiti lampu berkembar “Twin Eyes”, kini dengan rekaan lebih kecil dan tajam serta susun atur badan ringkas dan berfungsi.

Adventure Sports pula tampil lebih tegap dengan penekanan kepada perlindungan angin dan keselesaan perjalanan jauh.

Varian baharu Enduro Sports mengambil ilham daripada CRF450 RALLY, dengan garisan badan “CRF streamline” yang mengalir dari fender hadapan ke belakang bagi menyerlahkan karakter rali.

Spesifikasi enjin & casis

Honda CRF1150L Africa Twin menggunakan enjin dua silinder selari 1,131 cc sejukan cecair, menghasilkan kuasa 117 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 119 Nm @ 5,700 rpm.

Enjin tersebut telah disemak semula termasuklah penambahbaikan pada sistem kemasukan, ekzos serta nisbah gear untuk pecutan yang lebih baik dan keselesaan semasa tunggangan.

Rangka dan lengan ayun baharu mempunyai keseimbangan ketegaran yang disemak semula, dengan pengurangan berat keseluruhan kedua-dua komponen sebanyak 1.4 kg berbanding generasi terdahulu.

Tangki bahan api tambahan di bawah pelana pula merendahkan pusat graviti bagi memudahkan kawalan dan pengendalian pada kelajuan rendah.

Tetapan suspensi

Varian Africa Twin dan Adventure Sports menggunakan suspensi elektronik Showa EERA dengan kawalan Honda Skyhook.

Sistem ini memantau pergerakan motosikal dalam masa nyata dan melaraskan redaman secara berterusan untuk mengurangkan pergerakan badan yang tidak diingini.

Sementara itu, Enduro Sports menerima suspensi hadapan dengan spesifikasi setara CRF450 RALLY, jentera yang bersaing dalam Rali Dakar.

Antara kelengkapan yang diketengahkan termasuklah:

  • Penghadang angin boleh laras elektrik pada Africa Twin standard
  • Sistem kunci pintar Honda pada Africa Twin standard
  • Tangki bahan api 24 liter pada Adventure Sports
  • Roda hadapan 19 inci pada Adventure Sports
  • Penghadang angin besar pada Adventure Sports
  • Emblem Honda Flagship WING berwarna perak dan hitam

Siri ini turut menawarkan enam mod tunggangan pratetap, yang menyelaraskan karakter kuasa, kawalan cengkaman, ABS, DCT dan suspensi elektronik mengikut kelengkapan varian.

Honda SENSING RIDE

Africa Twin Adventure Sports menjadi motosikal Honda pertama menawarkan Honda SENSING RIDE yang tersedia untuk varian Adventure Sports DCT.

Menggunakan radar gelombang milimeter di hadapan dan belakang, sistem ini menyediakan fungsi seperti:

  • Kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • ACC dengan fungsi Stop & Go
  • Group Ride Assist untuk tunggangan berkumpulan
  • Distance Assist
  • Amaran pelanggaran hadapan
  • Bantuan brek kecemasan
  • Maklumat titik buta
  • Maklumat jarak kenderaan belakang
  • Amaran pelanggaran dari belakang

Penggunaan bahan mampan

Honda turut menggunakan bahan lebih mampan, termasuk akrilik dan nilon kitar semula secara kimia, plastik berasaskan tumbuhan DURABIO™ pada penghadang angin serta deflektor, selain bahan kitar semula pada komponen badan dan tapak pelana.

EICMA 2026: Suzuki SV-7S 2027 diperkenal, teruskan legasi SV650

Suzuki memperkenalkan SV-7S di EICMA 2026, sebuah motosikal naked baharu yang meneruskan legasi SV650 dengan kelengkapan elektronik lebih moden.

Suzuki SV-7S dibangunkan berkonsepkan “Easy to Ride, Hard to Forget”.

Antara ciri utama model ini termasuklah lampu utama LED bulat, badan ramping serta hendal aluminium lebar untuk posisi tunggangan lebih tegak dan santai.

Spesifikasi

Suzuki SV-7S menggunakan enjin dua silinder V-twin 90 darjah bersesaran 645 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 72.4 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 64 Nm @ 6,800 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan dan sistem pacuan akhir rantai.

Ia turut menerima sistem pendikit elektronik serta penambahbaikan pada komponen transmisi, sistem kemasukan udara dan penukar bermangkin bagi memenuhi piawaian emisi Euro 5+.

Model ini mengekalkan rangka keluli jenis trellis, dengan tetapan suspensi yang disemak semula untuk mengimbangi keselesaan dan pengendalian sporti.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik hadapan 41 mm dan penyerap hentak tunggal belakang jenis pautan, lengkap dengan larasan pra-beban.

Brek pula menggunakan rotor berkembar 290 mm di hadapan dengan angkup empat omboh, diikuti rotor tunggal 240 mm serta angkup satu omboh di belakang, dibantu ABS.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • Skrin paparan TFT berwarna 4.2 inci
  • Sokongan Suzuki Ride Connect+
  • Navigasi belokan demi belokan melalui sambungan telefon pintar
  • Lampu utama dan lampu membelok LED
  • Rim 17 inci dengan tayar hadapan 120/70 dan belakang 160/60
  • Tangki bahan api 14 liter
  • Tinggi pelana 785 mm

Suzuki SV-7S turut mendapat pakej Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), merangkumi:

  • Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dengan tiga pilihan karakter kuasa
  • Kawalan cengkaman tiga tahap yang boleh dinyahaktifkan
  • Sistem quickshifter dua arah
  • Suzuki Easy Start
  • Low RPM Assist untuk membantu pergerakan dari keadaan pegun

Tiga pilihan warna ditawarkan:

  • Pearl Suzuki Deep Blue No.4
  • Glass Sparkle Black
  • Matte Sword Silver/Glass Sparkle Black

EICMA 2026: Suzuki GSX-10R 2027 diperkenal, jentera sport kelas 1,000 cc, kuasa 152 hp

Suzuki memperkenalkan GSX-10R di EICMA 2026, sebuah motosikal sport baharu yang menggabungkan prestasi litar dengan praktikaliti untuk kegunaan harian.

Walaupun menggunakan nama berakhiran “R”, model ini berkongsi banyak komponen dengan keluarga GSX-S1000, tetapi menampilkan ergonomik tunggangan agresif seperti GSX-R1000R.

Rekaannya meneruskan elemen tradisional GSX-R, dengan lampu utama tengah yang lebih kecil.

Menurut Suzuki, reraup hadapan melalui ujian terowong angin berulang bagi membentuk ruang perlindungan angin di sekitar topi keledar ketika penunggang menunduk.

Sepasang winglet pendek pula lebih tertumpu kepada pengurusan aliran udara berbanding menghasilkan daya mendap.

Spesifikasi

Suzuki GSX-10R menggunakan versi enjin K5 yang dikemas kini seperti yang digunakan pada GSX-S1000GT, GSX-S1000GX dan Katana.

Enjin ini menghasilkan kuasa 152 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas kira-kira 114 Nm @ 9,250 rpm.

Suzuki mengemaskini enjin ini dengan komponen baharu seperti profil sesondol, aci sesondol, sproket rantai pemasaan, kepala silinder, perumah enjin serta jurnal aci engkol baharu.

Menurut Suzuki, perubahan tersebut bertujuan mengimbangi prestasi dan kebolehpercayaan, selain menyediakan enjin untuk penggunaan bahan api berasaskan alkohol pada masa depan.

Ia turut dilengkapi klac slipper dan sistem ekzos empat-ke-satu, dengan peredam lebih kecil berbanding GSX-R1000R.

Casisnya menyerupai model GSX-S dan Katana, tetapi menggunakan subrangka baharu untuk menyesuaikan posisi tunggangan lebih sporti.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork KYB 43 mm dan penyerap hentak belakang rekaan baharu, kedua-duanya boleh dilaraskan sepenuhnya.

Brek hadapan pula menggunakan rotor berkembar 310 mm dan angkup monoblok radial Brembo.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • Skrin paparan TFT
  • Tangki bahan api 18 liter
  • Tinggi pelana 810 mm
  • Rim 17 inci
  • Tayar Bridgestone Battlax Hypersport S23
  • Sistem quickshifter dua arah
  • Suzuki Ground Beacon System

Suzuki GSX-10R turut mendapat bantuan elektronik berasaskan IMU melalui pakej Smart Traction, Lift, Roll Torque and Slide Control (SMART TLRS).

Kelengkapan elektronik lain termasuk tiga peta kuasa, ABS mengikut sudut kecondongan, kawalan brek enjin, launch control dan kawalan jelajah.

Turut diperkenalkan ialah sistem Brake Hold yang mengekalkan tekanan brek belakang selama 30 saat selepas motosikal berhenti.

Sistem Brake Hold ini akan dilepaskan apabila pendikit dibuka atau tuil brek hadapan ditekan dua kali dengan pantas.

GSX-10R ditawarkan dalam tiga kombinasi warna:

  • Pearl Vigor Blue / Metallic Mystic Silver
  • Pearl Pulse Red / Solid Iron Grey
  • Glass Sparkle Black / Metallic Galaxy Grey