Arkib Tag: E-Clutch

Honda CB400 Super Four bawakan teknologi E-Clutch, kekalkan tradisi ‘tangki besi’

Honda mempamerkan dua model konsep terbaharu di Jepun iaitu Honda CB400 Super Four dan CBR400RR Super Four.

Kedua-dua model baharu ini muncul sempena acara pameran Osaka Motorcycle Show 2026 yang ke-42 minggu lalu.

Platform baharu, enjin baharu

CB400 Super Four dan CBR400RR Four dibina berdasarkan platform serba baharu yang direka untuk mengutamakan karakteristik keseronokan tunggangan.

Enjin juga serba baharu, di mana nadi empat-silinder sebaris itu turut menampilkan teknologi E-Clutch dan sistem pendikit elektronik (Throttle-by-Wire).

Untuk info, teknologi E-Clutch memudahkan urusan penunggang untuk menukar gear tanpa perlu menarik tuil klac.

Namun, mereka juga boleh diberikan pilihan untuk mengoperasikannya secara manual.

CB400 kekalkan tradisi ‘tangki besi’

Dalam satu temubual khas, Asato Kato selaku pereka menegaskan CB400 Super Four ini perlu mengekalkan identiti ikonik, iaitu tangki besi.

Ketika fasa rekaan, Kato menjelaskan penggunaan bahan dan bentuk komponen tersebut merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Tambahan pula, motosikal moden memiliki struktur kerangka yang lebih kompleks, menjadikannya sukar untuk mencipta bentuk tangki yang ortodoks seperti dahulu.

Disebabkan ini, kebanyakan model menggunakan resin namun bagi Kato, sebuah CB400 Super Four perlu mempunyai tangki besi.

“Pada saya, sebuah tangki besi amat penting untuk melambangkan keseimbangan itu dengan indah, dan saya tidak akan berputus asa walaupun ia sukar untuk dihasilkan.

Kato turut menggunakan teknik model tanah liat untuk membuktikan ideanya boleh dilaksanakan.

Jentera terbaik pernah dihasilkan

Dengan gandingan enjin dan casis serba baharu, CB400 Super Four menawarkan manfaat seperti prestasi kuasa yang lebih bertenaga, casis yang ringan serta pengendalian yang lebih baik.

Ketika menghampiri fasa akhir pembangunan, jentera ini turut diuji sendiri oleh pasukan R&D di sebuah tempat rahsia di Jepun.

“Motosikal ini adalah yang terbaik!” Ini merupakan maklum balas yang dikumpulkan daripada pasukan pereka, jurutera dan penunggang uji yang telah menguji sendiri CB400 Super Four.

Honda XL750 Transalp E-Clutch 2026 untuk Jepun!

Honda secara rasmi memperkenalkan model sport kembara Honda XL750 Transalp E-Clutch 2026 untuk pasaran Jepun dan akan mula dijual pada 23 April.

Model ini merupakan evolusi penting buat siri Transalp kerana menggabungkan teknologi Honda E-Clutch bersama sistem pendikit elektrik atau throttle-by-wire untuk memberikan pengalaman tunggangan yang lebih sofistikated.

Gabungan Teknologi Honda E-Clutch dan Throttle-By-Wire

XL750 Transalp E-Clutch merupakan model pertama Honda yang menggabungkan fungsi Honda E-Clutch dengan sistem throttle-by-wire (TBW).

Melalui teknologi ini, operasi klac dikawal secara automatik oleh sistem elektronik semasa motosikal mula bergerak, menukar gear dan berhenti tanpa memerlukan penunggang menarik tuas klac secara manual.

Penyelarasan antara TBW dan Honda E-Clutch membolehkan kawalan bukaan injap kupu-kupu (butterfly valve) dan tindak balas enjin dilaraskan dengan lebih sempurna.

Semasa proses menurunkan gear, sistem TBW akan menyelaraskan kelajuan putaran enjin dengan kawalan separa klac untuk mengurangkan hentakan transmisi dalam masa yang singkat.

Selain itu, sistem ini mampu mengesan perbezaan kelajuan antara roda hadapan dan belakang.

Jika roda belakang dikesan melambung akibat brek mengejut atau permukaan jalan yang tidak rata, kawalan separa klac akan diaktifkan secara automatik untuk menstabilkan kedudukan motosikal.

Malah dalam situasi tunggangan off-road di mana roda belakang tergelincir, penunggang masih boleh menukar gear dengan tepat hanya melalui pedal kaki.

Rekaan dan Kelengkapan Standard

Model terbaru ini tampil dengan satu pilihan warna tunggal iaitu Mat Ballistic Black Metallic yang memberikan imej tenang tetapi sporti.

Dari segi fizikal, ia mengekalkan identiti yang diperkenalkan pada tahun 2025 dengan penggunaan lampu hadapan jenis projektor dua sisi untuk pencahayaan yang lebih baik serta imej kembara yang lebih menyerlah.

Sebagai nilai tambah, Honda kini melengkapkan model ini dengan plat aluminium sebagai ciri standard untuk melindungi bahagian bawah enjin.

Inisiatif Kelestarian Alam Sekitar

Selaras dengan matlamat Honda untuk mencapai kadar penggunaan bahan lestari 100 peratus menjelang tahun 2050, XL750 Transalp E-Clutch menggunakan bahan kitar semula daripada produk plastik terpakai pada beberapa bahagian komponen luaran.

Selain itu, penghadang angin motosikal ini diperbuat daripada bahan DURABIO iaitu plastik kejuruteraan bio yang lebih mesra alam.

Rangkaian Kuasa

Jentera ini dikuasakan oleh enjin 754 cc dua silinder selari dengan konfigurasi OHC Unicam 4-injap.

Enjin menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 91 ps pada 9,500 rpm dan tork maksimum 75 Nm pada 7,250 rpm.

Kuasa disalurkan melalui transmisi manual 6-kelajuan dengan sistem Honda E-Clutch.

Walaupun menggunakan sistem automatik, komponennya kekal kompak hasil penggunaan mekanisme lif dua paksi.

Ini membolehkan penggerak klac diletakkan di bahagian hadapan tanpa perlu mengubah struktur utama enjin.

Harga dan Sasaran Jualan

Honda menetapkan sasaran jualan sebanyak 300 unit setahun untuk pasaran domestik Jepun.

Harga jualan adalah 1,430,000 Yen termasuk cukai, atau bersamaan dengan kira-kira RM 35,764.

Spesifikasi Utama Honda XL750 Transalp E-Clutch 2026 Jepun

  • Enjin: RD16E 754 cc 4-Lejang OHC Unicam 4-Injap dua silinder selari
  • Nisbah Mampatan: 11.0
  • Kuasa Maksimum: 91 ps pada 9,500 rpm
  • Tork Maksimum: 75 Nm pada 7,250 rpm
  • Sistem Bekalan Bahan Api: Suntikan Bahan Api Elektronik PGM-FI
  • Kapasiti Tangki Bahan Api: 16 Liter
  • Klac: Basah, Plat Pelbagai dengan Pegas Gegelung
  • Transmisi: 6-Kelajuan Constant Mesh
  • Dimensi: 2,325 mm (Panjang) x 840 mm (Lebar) x 1,455 mm (Tinggi)
  • Jarak Roda: 1,560 mm
  • Jarak Kelegaan Bumi: 195 mm
  • Ketinggian Pelana: 850 mm
  • Berat: 216 kg
  • Tayar Hadapan: 90/90-21M/C 54H
  • Tayar Belakang: 150/70R18M/C 70H
  • Sistem Brek Hadapan: Cakera dua sisi Hidraulik
  • Sistem Brek Belakang: Cakera Hidraulik
  • Sistem Ampaian Hadapan: Teleskopik Terbalik (Upside-down)
  • Sistem Ampaian Belakang: Lengan Ayun Pro-Link
  • Jenis Rangka: Diamond
  • Penggunaan Bahan Api (Kadar WMTC): 22.7 km/liter