Arkib Tag: Duta Jenama

Siti Nurhaliza merupakan pemilik pertama dan duta jenama GWM Wey G9 di Malaysia

GWM Malaysia secara rasmi menyerahkan MPV plug-in hybrid GWM Wey G9 Hi4 kepada pemilik pertama, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.

Dalam majlis serahan di GWM USJ, penyanyi popular tanah air itu turut diumumkan sebagai duta rasmi jenama Wey G9.

Menurut Roslan Abdullah selaku Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, “Kami amat berbesar hati untuk menyerahkan Wey G9 Hi4 PHEV kepada Siti Nurhaliza.

“Dengan ciri keselamatan, keselesaan, rekaan dan teknologi pintar, Wey G9 dicipta untuk pemandu yang pakar dalam menilai prestasi, menitikberatkan kecanggihan reka bentuk dan keyakinan dalam setiap perjalanan.

GWM Wey G9 pelengkap hidup Dato’ Siti

Siti Nurhaliza turut berkongsi kegembiraan beliau semasa menerima WEY G9 yang disifatkan sebagai detik yang begitu bermakna dan bernilai dalam kehidupannya.

“WEY G9 Hi4 PHEV terasa begitu sempurna dalam melengkapkan kehidupan harian saya.

“Keselesaan, ruangnya yang luas, dan reka bentuk dalamannya menjadikan setiap perjalanan lebih tenang dan menyeronokkan.

“Sama ada untuk keluar bekerja, menghadiri mesyuarat, atau meluangkan masa bersama keluarga tersayang, setiap perjalanan dirasakan lancar, damai, dan meyakinkan.

“Inilah maksud sebenar keseimbangan dan kemudahan yang amat saya hargai.”

800 tempahan diterima sejak pelancaran

Sejak dilancarkan, WEY G9 Hi4 PHEV telah menerima lebih 800 tempahan dalam minggu pertama.

Ini disumbangkan dengan harga jualan yang cukup kompetitif, iaitu sekitar RM269,800.

Datuk Remy Ishak dilantik Duta Jenama GAC Malaysia

GAC Malaysia mengalu-alukan pelakon dan personaliti terkenal Datuk Remy Ishak sebagai duta jenama terbaharunya.

Datuk Remy Ishak akan menyertai duta sedia ada Jack Lim untuk terus mewakili jenama GAC sebagai sebahagian daripada persiapan untuk menyambut kehadiran dua model baharu, iaitu GAC Emkoo dan GAC M8 PHEV.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng berkata, “sepanjang perjalanan permulaan GAC Malaysia, Jack Lim telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan jenama ini kepada khalayak baharu.

“Bermula dari mempromosi, menjual dan berkongsi pengalaman dengan GAC GS3 Emzoom, Jack telah menjadi lebih dari sekadar seorang duta, beliau telah menjadi seorang penyokong sejati.

“Kami kini teruja untuk mengalu-alukan Datuk Remy Ishak ke dalam keluarga GAC. Remy membawakan gabungan unik karisma, profesionalisme dan pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.

GAC Malaysia turut mengumumkan kempen pra-jualan yang berlangsung untuk dua model baharunya.

GAC Emkoo merupakan sebuah SUV segmen C, dan model kedua yang dipasang secara CKD oleh GAC selepas model GS3 Emzoom.

Ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan 270 Nm @ 1,400-5,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Terdapat dua varian yang bakal ditawarkan, iaitu Premium dengan harga anggaran dari RM120,000, serta Premium Pro bermula dari RM130,000.

Kumpulan pertama pemilik GAC Emkoo akan menerima unit masing-masing menjelang akhir September 2025, atau mungkin lebih awal.

Model kedua yang bakal dilancarkan oleh GAC Malaysia ialah MPV mewah GAC M8 PHEV.

Diimport sepenuhnya dari China, M8 PHEV dikuasakan oleh nadi 2.0 liter turbo (190 PS/300 Nm) yang dipadankan dengan transmisi hibrid dua-kelajuan, motor elektrik 182 PS/300 Nm dan pek bateri 25.57 kWh.
Secara keseluruhan, MPV ini mampu menjana kuasa setinggi 373 PS dan 630 Nm, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.8 saat.

Untuk setangki penuh minyak, GAC M8 PHEV mampu menawarkan jarak gerak sejauh 1,038 km.

Terdapat dua varian, iaitu M8 Premium dengan harga anggaran RM333,000, dan varian M8 Luxury berharga RM380,000.