Arkib Tag: dsg

VW Arteon R-Line lebih baik dari BMW 3-Series? – Pandu uji

BILA berkata mengenai sedan premium, kita tidak akan dapat lari dari terfikirkan tiga jenama Jerman – Audi, BMW dan Mercedes-Benz. Namun, ada satu lagi jenama Jerman yang juga mantap, tetapi kita mungkin terlepas pandang; Volkswagen.

Volkswagen Arteon menawarkan prestij sebuah sedan premium tetapi dengan gaya lebih sporti jika dilihat dari penampilan fastback padanya, sama seperti Audi A5.

Eh memang kedua-dua kereta ni adik-beradik pun, Arteon dan A5 mempunyai platform mekanikal yang sama, cuma rupa luaran dan penampilan sahaja sedikit berbeza.

Jadi Arteon kini dengan pakej R-Line membawakan rupa lebih sporti antaranya kemasan serba hitam pada beberapa bahagian badan, lencana R-Line, dan juga spoiler kecil pada butnya.

Untuk siapa Volkswagen Arteon ini? Ia untuk mereka yang mahukan sedan-coupe dari Jerman, tetapi tidak mahu membayar harga Audi/BMW/Mercedes, Arteon merupakan sebuah produk berkualiti, sesuai untuk mereka yang tidak mementingkan jenama, tetapi mempunyai nilai yang baik.

Arteon R-Line mempunyai rupa yang kemas dan segak, susah untuk kita mencari perkara yang tidak berapa elok mengenai penampilannya. Lampu depan dengan DRL LED yang mempunyai garisan hingga ke dalam gril pastinya membuatkan anda ke tepi jika melihatnya di cermin pandang belakang.

Dari prestasi, sememangnya tiada rungutan. Enjin 2.0-liter turbo TSI menghasilkan 276hp dan 350Nm tork, lebih dari mencukupi untuk semua keadaan.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear DSG 7-kelajuan dan lebih menarik lagi, kuasa disalurkan melalui sistem 4Motion iaitu sistem pacuan semua-roda. Ini pastinya memberikan keyakinan dalam semua situasi pemanduan dan memerlukan teknik khas untuk menjinakkannya di selekoh.

Jemput tonton ulasan Abang Syamsul kita mengenai pemanduan Volkswagen Arteon R-Line ini.

Spesifikasi Volkswagen Arteon R-Line

Harga: RM248,692.97
Enjin: 2.0-liter turbo 4-silinder TSI
Kotak gear: Automatik DSG 7-kelajuan
Kuasa: 276hp @ 5,100rpm
Tork: 350Nm @ 1,700rpm
Pecutan 0-100km/j: 5.6 saat

DSG jimat bahan bakar, lebih praktikal

PERKEMBANGAN teknologi automotif seantero dunia berjaya menghasilkan pelbagai jenis enjin kenderaan yang canggih selain memenuhi cita rasa pengguna.

Hal ini dapat dilihat berdasarkan beberapa jenis enjin yang muncul bermula daripada sistem manual, automatik dan sehingga CVT (Continuously Variable Transmission).

Tidak dinafikan, enjin kenderaan menggunakan transmisi manual mempunyai kelebihan tersendiri terutama dalam penjimatan bahan api.

Bagaimanapun, penggunaan enjin transmisi manual semakin dilupakan dalam kalangan pengguna memandangkan ia agak rumit untuk dikendalikan apatah lagi ketika jalan raya sesak.

Ramai mula beralih arah menggunakan enjin automatik namun, terpaksa berdepan sedikit peningkatan kos bahan api.

Berdasarkan kedua-dua ‘permasalahan’ ini, maka satu ciptaan enjin telah dihasilkan bagi mencapai kelebihan yang ada pada enjin jenis manual atau automatik.

Penciptaan Enjin DSG

Direct Shift Gearbox atau DSG telah dihasilkan bagi mendapatkan kelebihan terdapat pada enjin manual dan automatik.

Secara bahasa mudah, DSG adalah kenderaan mempunyai kotak gear manual yang ditukar menjadi automatik.

Ketika DSG diperkenalkan oleh Porsche pada 1980-an, ramai beranggapan gear yang dihasilkan agak ‘kasar’ ketika dikendalikan.

Seiring perkembangan automotif, DSG kini lebih ‘lembut’ dana mat selesa dikendalikan ketika memandu.

Mengimbas semula sejarah penggunaan DSG, ia telah lama digunakan dalam perlumbaan rally.

Pada tahun 2000, sistem ini kemudian diperluaskan dalam pasaran komersial.

Mengapa DSG lewat dikomersialkan?

Kos yang mahal menjadi punca utama DSG lewat dikomersialkan. Selain itu, pembuatan DSG adalah lebih rumit berbanding enjin transmisi manual atau automatik.

Walau begitu, penggunaan DSG kian diperluaskan selepas banyak pengeluar kenderaan mendapati penggunaan DSG lebik praktikal.

Jika dibandingkan dengan transmisi automatik, DSG dapat menjimatkan bahan bakar lebih 15 peratus!

Terdapat beberapa sebab mengapa hal ini berlaku iaitu:

1) DSG boleh boleh beroperasi pada RPM tinggi tanpa perlu memutuskan sambungan antara sistem dual clutch dan enjin
2) Tiada masalah power loss ketika enjin melakukan penukaran
3) Tork yang dihasilkan oleh enjin dihantar terus pada transmisi tanpa gangguan

Sistem ini bagaimanapun ada keburukannya. Selain sukar dihasilkan ia juga terlalu kompleks sekaligus memakan kos yang tinggi.