Arkib Tag: Dorna Sports

Suzuki bakal keluar MotoGP? Ini kenyataan dari Dorna Sports

BEBERAPA media antarabangsa mendakwa bahawa Suzuki akan meninggalkan MotoGP pada penghujung musim 2022.

Ia tercetus setelah ahli pasukan Suzuki telah diberitahu berita mengejutkan itu sewaktu ujian pasca perlumbaan di Jerez, Isnin lalu.

Berita itu ternyata mengejutkan apatah lagi Suzuki telah pun menandatangani kontrak untuk kekal di MotoGP sehingga 2026.

Dorna Sports telah berhubung secara rasmi dengan pasukan itu dan mengingatkan mereka bahawa situasi kontrak mereka dalam MotoGP tidak membolehkan keputusan sebegitu dibuat sewenang-wenangnya.

Dalam satu kenyataan, Dorna berkata: “Susulan ura-ura berkenaan Suzuki meninggalkan MotoGP di penghujung musim 2022, mereka tidak boleh membuat keputusan secara bersendiri.”

“Walaubagaimanapun, sekiranya mereka meninggalkan (MotoGP) setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak, Dorna akan menetapkan jumlah ideal bagi bilangan pasukan dan pelumba dalam MotoGP bermula 2023.”

“Dorna terus menerima minat yang tinggi dari beberapa pasukan rasmi dan bebas yang berminat menyertai grid MotoGP memandangkan sukan ini terus menjadi contoh persaingan sengit, inovasi dan hiburan untuk peminat seluruh dunia.”

Suzuki merupakan sebuah pasukan tetap dalam MotoGP dan telah bersaing sejak awal 1970-an. Mereka pernah menarik diri dari MotoGP pada 2012 sebelum kembali pada 2015.

SIC anjur MotoGP sehingga 2024, Petronas penaja utama

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) kekal dalam kalendar Kejohanan Dunia FIM MotoGP sehingga tahun 2024.

Perkara itu disahkan Dorna Sports yang pada masa tidak menolak kemungkinan perjanjian akan dilanjutkan sehingga 2026.

Dorna Sports turut mengesahkan Petronas sebagai penaja utama Grand Prix (GP) Malaysia bagi tiga musim berturut-turut.

Justeru, perlumbaan musim ini di Sepang bakal dinamakan Petronas Grand Prix Malaysia sekaligus memastikan jenama itu terus signifikan dalam sukan permotoran.

Perlumbaan MotoGP mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia. – Foto ihsan Facebook / MotoGP

Kehadiran Petronas dalam bidang sukan permotoran bukan suatu yang asing malah, merupakan pembekal bahan api bagi kelas Moto2 dan Moto3.

Dalam perkembangan sama, SIC berharap para peminat MotoGP kembali memberi sokongan dengan kembali ke litar bagi menyaksikan perlumbaan secara langsung.

Sebelum ini, Malaysia terkeluar daripada kalendar MotoGP selama dua tahun susulan penularan virus Covid-19 yang mengancam seluruh dunia.

Susulan itu, tema GP Malaysia pada tahun ini adalah #WelcomeHome yang menjadi simbolik kepada kebangkitan semula sukan permotoran antarabangsa.

Jadi, kepada semua peminat MotoGP ayuh kita sama-sama memberi sokongan untuk GP Malaysia tahun ini!