Arkib Tag: Denza Z

Denza Z bakal muncul di Goodwood FOS, sedia cabar Porsche 911

Jenama premium BYD, iaitu Denza bakal memeriahkan acara Goodwood Festival of Speed pada tahun ini dengan sebuah model flagship baharu.

Model tersebut sebelum ini diperlihatkan dengan nama Z Concept pada Shanghai Auto Show tahun lepas.

Versi produksi warna jingga terang

Denza turut mendedahkan imej awal versi produksi warna jingga terang yang berselindung di sebalik Stella Li (Naib Presiden Eksekutif BYD) dan Daniel Craig (pelakon watak James Bond).

Berdasarkan gambar tersebut, ia masih lagi mengekalkan reka bentuk seperti model konsep asal.

Antara ciri yang boleh dilihat termasuklah:

  • lampu utama bentuk berlian yang tajam
  • bampar hadapan agresif
  • rim dua tona

Apa yang tidak disertakan pada model versi produksi itu ialah splitter hadapan dan spoiler belakang yang besar.

Spesifikasi asas masih rahsia

Denza masih belum mengesahkan spesifikasi penuh unit rangkaian kuasa yang bakal menggerakkan model Z ini.

Namun, besar kemungkinan ia akan menggunakan sistem yang sama seperti model Z9 GT, terdiri daripada tiga motor elektrik, kuasa melebihi 952 hp dan bateri Blade 100 kWh.

Angka tersebut ternyata mudah untuk membuatkan Porsche 911 mengeluarkan peluh sejuk.

Ia juga dijangka menampilkan teknologi canggih seperti:

  • suspensi magnetorheological
  • sistem stereng steer-by-wire
  • keupayaan crab-walk

Bekas ejen rahsia bantu promosi Denza Z

BYD turut menjalinkan kerjasama dengan pelakon terkenal Daniel Craig untuk kempen global Denza.

Ia bertujuan untuk mengukuhkan kehadiran jenama itu di Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika.