Arkib Tag: DC Handal

Pemilik Zeekr nikmati kadar caj RM1.20/kWh di stesen DC Handal, keahlian Platinum JomCharge percuma!

Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan dua tawaran istimewa yang bakal memberikan manfaat kepada lebih 5,000 pemilik Zeekr di Malaysia.

Tawaran istimewa tersebut ialah:

  • kadar caj eksklusif di semua stesen DC Handal
  • keahlian Platinum JomCharge percuma

Kadar caj eksklusif RM1.20/kWh

Sebagai sebahagian daripada ekosistem Zeekr Power, pemilik Zeekr kini boleh menikmati kadar caj eksklusif RM1.20/kWh di semua stesen DC Handal.

Sebelum ini, kadar caj tersebut hanya ditawarkan di beberapa lokasi terpilih Zeekr Power.

Langkah ini dilihat memberikan akses lebih menyeluruh kepada pengecasan pantas yang lebih mampu milik dan mudah untuk semua pemilik Zeekr.

Pemilik Zeekr hanya perlu memuat turun aplikasi chargEV dan melengkapkan borang pendaftaran yang boleh diakses menerusi pautan berikut:
https://forms.cloud.microsoft/r/VFT43KU7FH

Keahlian Platinum JomCharge percuma

Zeekr Malaysia turut mengumumkan kerjasama baharu dengan CPO JomCharge yang menawarkan keahlian Platinum secara percuma.

Penawaran ini sah sehingga 31 Disember 2026.

Keahlian Platinum ini menawarkan diskaun 25% di lebih 1,000 titik pengecasan milik JomCharge di seluruh negara.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan berikut:
https://forms.gle/8BBf8ogmzuSqW1X99

Pemilikan Zeekr lebih lancar

Menurut Eddy Lu, Pengurus Besar Zeekr Malaysia berkata, “Dengan komuniti yang semakin berkembang, kami mahu terus mencari cara bermakna untuk meningkatkan pengalaman pemilikan.

“Kami baru sahaja mengumumkan kadar pengecasan eksklusif di semua stesen DC Handal, dan kini kerjasama dengan JomCharge memberikan akses kepada kadar istimewa di lebih 1,000 titik pengecasan untuk pemanduan yang benar-benar bebas risau.”

“Ini semua sebahagian daripada komitmen kami untuk menjadikan pemilikan Zeekr lebih lancar dan mudah.

“Kami akan terus memperkenalkan lebih banyak inisiatif untuk menyokong komuniti pemilik kami,” tambahnya lagi.

 

Pro-Net bangunkan stesen pengecasan e.MAS menerusi kerjasama strategik dengan CPO utama

Proton New Energy Technology Sdn Bhd (Pro-Net) mengumumkan perancangan memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.

Menerusi kerjasama dengan DC Handal, JomCharge dan chargEV, beberapa stesen pengecasan akan didirikan di lokasi strategik bermula suku ketiga 2026.

Pemilik e.MAS juga bakal menikmati kadar pengecasan istimewa apabila membuat bayaran menerusi aplikasi Proton e.MAS.

Akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan

Sehingga kini, pemilik boleh mengakses lebih 4,700 titik pengecasan di seluruh Malaysia menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Ciri ini turut dilengkapi dengan peta pengecasan langsung yang tersedia di dalam kenderaan e.MAS.

Kerjasama strategik bersama CPO utama ini merupakan langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem Proton e.MAS ke lebih banyak lokasi awam.

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih kenderaan elektrik, akses kepada kemudahan pengecasan menjadi semakin penting.

“Melalui kerjasama dengan CPO utama, kami mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan manfaat kepada pemilik e.MAS di lokasi utama,” ujarnya lagi.

Ahmad Munif Halim, Ketua Bahagian Pengecasan Pro-Net menambah, “Melalui kerjasama dengan CPO yang berpengalaman, kami dapat memudahkan urusan pengecasan sambil memberikan pelanggan akses kepada sokongan sedia ada sekiranya bantuan diperlukan.

“Kesemua usaha ini membantu kami mewujudkan pengalaman pengecasan yang lebih baik untuk pemilik e.MAS,” jelasnya lagi.

Auto Bavaria, DC Handal jalin kerjasama perluas rangkaian pengecasan EV

Auto Bavaria, rangkaian pengedar terbesar BMW Group Malaysia, telah mengumumkan kerjasama strategik dengan Handal Green Mobility Sdn Bhd (DC Handal) untuk memperluas kemudahan pengecasan pantas serta menggalakkan penggunaan penyelesaian pengangkutan lestari untuk masa depan.

Menerusi kerjasama ini, Auto Bavaria akan bekerjasama rapat dengan DC Handal bagi menyediakan kemudahan pengecasan pantas kepada 10 tapak pengecasan di kawasan-kawasan utama di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang, dengan rancangan untuk menambah lagi lokasi pada masa depan.

Pelanggan boleh membayar untuk khidmat pengecasan dengan mudah menggunakan kad kredit dan juga kad debit serta kemudahan bayaran elektronik di terminal pembayaran OCBC dan juga menerusi platform aplikasi dengan JomCharge dan ChargEV.

Menurut laporan paultan.org, stesen pengecasan yang terletak di Bamboo Hills mempunyai empat pengecas DC Kempower berkapasiti 200 kW dengan kadar bayaran RM1.50 setiap kWj. Lebih menarik lagi, ia terbuka kepada semua jenama kenderaan elektrik.

Sashi Ambihaipahan, Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian bagi BMW Group Malaysia berkata, “Kami sukacita untuk menjalin pakatan dengan DC Handal menerusi rakan pengedar utama kami Auto Bavaria untuk terus membangunkan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik di negara ini.

“Sebagai pembekal utama kenderaan elektrik premium di Malaysia setakat ini, kerjasama ini menunjukkan kesungguhan kami untuk mengubah sama sekali persekitaran EV di Malaysia, dan juga menetapkan piawaian baharu bagi meningkatkan capaian dan tahap kemudahan bagi para pemilik EV,” katanya.

Lim Chern Chuen, Pengarah DC Handal, semasa mengulas mengenai pakatan ini berkata, “Memandangkan dunia automotif kini beralih kepada tenaga elektrik, kerjasama dengan Auto Bavaria mencerminkan komitmen kami bukan sahaja untuk membolehkan pelanggan memanfaatkan teknologi EVSE terbaik, tetapi juga memberikan pengalaman pengecasan yang lancar dan mudah menerusi rangkaian kami.”