Arkib Tag: Daro

Kenderaan terjunam ke dalam Sungai Batang Lassa, mangsa dipercayai lemas

SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya merempuh penghadang besi jambatan sebelum terjunam ke dalam Sungai Batang Lassa, Daro.

Memetik kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, insiden berlaku pada awal pagi Jumaat.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Daro telah digerakkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan sekitar jam 4.45 pagi.

“Maklumat awal yang diterima menyatakan saksi melihat Toyota Hilux berwarna perak tersebut sedang bergerak di atas jambatan itu dan tiba-tiba hilang dari pandangan.

“Pagar yang menjadi penghalang keselamatan pada hujung jambatan telah patah dan disyaki kenderaan tersebut jatuh,” menurut kenyataan itu.

Kenderaan dipercayai dipandu mangsa dikenali sebagai Kevin Lau Beng Song berusia 25 tahun.

Mangsa dikatakan berasal dari Ulu Sungai Merah, Sibu.

Operasi mencari dan menyelamat dijalankan menggunakan tiga bot tunda milik pemaju projek jambatan.