Arkib Tag: Chery Tiggo 7 CSH

Chery Tiggo 7 CSH 2025 rasmi – harga dari RM129,800

Chery Malaysia hari ini mengumumkan harga jualan rasmi bagi model SUV plug-in hybrid (PHEV) terbaharunya, Tiggo 7 CSH 2025.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Enjin

Tiggo 7 CSH dijana dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid, terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo (143 PS/215 Nm), motor elektrik 204 PS/310 Nm.

Kuasa keseluruhan mencecah 279 PS dan daya kilas 365 Nm. Kadar penggunaan bahan api pula adalah serendah 5.0 liter/100 km.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

 

2. Bateri

SUV ini dibekalkan dengan pek bateri 18.3 kWh yang menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 90 km.

Ia menyokong pengecasan AC 6.6 kW dengan pengecasan 30-80 peratus dalam masa 3 jam, serta pengecasan pantas DC 40 kW untuk tempoh pengecasan cuma 19 minit (30-80 peratus SoC).

Tiggo 7 PHEV turut menyokong fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kWh.

Dengan tangki bahan api sebesar 60 liter, SUV ini boleh mencapai jarak pandu keseluruhan sejauh 1,200 km.

 

3. Dimensi

Tiggo 7 CSH mempunyai ukuran sepanjang 4,553 mm, lebar 1,862 mm, tinggi 1,696 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm.

Secara standard, ia dipadankan dengan rim bersaiz 18 inci.

 

4. Kelengkapan

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED depan dan belakang, bumbung kaca panorama, pintu belakang berkuasa bebas tangan, spoiler , rel bumbung serta antena sirip jerung.

Ruang kabin pula menampilkan skrin berkembar sebesar 24.6 inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Sony dengan 8 pembesar suara, kamera keliling 540 darjah, sistem pencahayaan ambien 64 warna, kawalan iklim dua zon automatik serta kaca akustik.

 

5. Keselamatan

Ciri keselamatan yang tersedia termasuklah lapan beg udara, cagak ISOFIX, kawalan cengkaman (TCS), sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta kamera perakam video pemanduan (DVR).

Tiggo 7 CSH turut menawarkan ciri ADAS termasuklah kawalan jelajah adaptif (ACC), brek kecemasan autonomi (AEB), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran depan dan belakang (FCW & RCW), amaran keluar lorong (LDW), serta sistem pemantuan pemandu (DMS).

Terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu Bloodstone Red (bumbung hitam), Khaki White dan Phantom Grey.

Harga jualan Chery Tiggo 7 CSH 2025 ini bermula dari RM129,800.

Chery Malaysia turut menawarkan pakej berikut:

  • jaminan 7-tahun atau sehingga 150,000 km
  • jaminan 8-tahun atau sehingga 160,000 km untuk komponen bateri, motor dan unit kawalan hibrid
  • pakej servis 5-tahun percuma
  • penukaran bateri satu-ke-satu sekiranya tahap kesihatan bateri menurun bawah 70 peratus dalam tempoh jaminan

Chery Tiggo 7 ini tampil dengan sistem PHEV Chery Super Hybrid, boleh cecah 1,200 km

Sebuah lagi model SUV yang dipertontonkan di reruai Malaysia Autoshow 2025 ialah SUV segmen C Chery Tiggo 7 CSH, singkatan kepada sistem Chery Super Hybrid.

CSH ini sebenarnya merupakan jenama bagi sistem plug-in hybrid (PHEV) yang bakal diguna pakai pada model Chery Tiggo 7 ini.

Sistem PHEV ini menampilkan enjin 1.5 liter turbo (143 PS/215 Nm), motor elektrik 204 PS/310 Nm, transmisi DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dan pek bateri 18.3 kWh.

Secara keseluruhan, Tiggo 7 PHEV ini mampu menjana kuasa 347 PS dan 525 Nm, selain menawarkan jarak pandu sifar emisi 95 km dan jarak pemanduan mencecah 1,200 km.

Versi yang dipamerkan di MAS2025 ini merupakan unit facelift yang membawakan elemen rekaan yang hampir sama dengan Chery Tiggo 8 Pro, kecuali lampu belakang yang lebih mirip kepada Chery Tiggo Cross.

Ia juga turut membawakan rim bersaiz 18 inci rekaan aerodinamik, serta kehadiran port untuk pengecasan bateri di belakang pintu penumpang sebelah kanan.

Ruang kabin Chery Tiggo 7 PHEV ini membawakan skrin berkembar 12.3 inci, tempat duduk balutan kulit, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, bumbung kaca panorama, serta panel kawalan iklim berasaskan sentuhan.

Sama seperti Chery Tiggo Cross, Chery Tiggo 7 PHEV ini juga bakal dilancarkan pada separuh kedua (2H) tahun ini.