Arkib Tag: Chery Super Hybrid

Chery Malaysia pamer ketelusan menerusi Cabaran Keselamatan Bateri CSH

Chery Malaysia berjaya melaksanakan Cabaran Keselamatan Bateri Chery Super Hybrid (CSH) yang pertama di Malaysia.

Inisiatif ini mengukuhkan komitmen berterusan jenama automotif tersebut terhadap keselamatan bateri menerusi ujian dunia sebenar yang telus dan berfokuskan keselamatan.

Menurut Men Lin Bo, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia berkata, “Keselamatan merupakan teras kepada proses pembangunan kami.”

Jelasnya lagi, proses demonstrasi ini dijalankan secara terbuka bagi membantu orang ramai memahami teknologi serta piawaian yang diguna pakai.

Demonstrasi langsung kepada media

Majlis tersebut disaksikan oleh lebih 100 hadirin terdiri daripada pegawai agensi kerajaan dan wakil media.

Sebelum sesi ujian tersebut berlangsung, satu sesi perkongsian bersama pakar bateri Chery, Zhang Wei Bo telah diadakan.

Ia membolehkan pihak media memahami konteks teknikal sebelum menyaksikan demonstrasi tersebut.

Dalam sesi ujian yang dijalankan, pihak Chery menggunakan unit bateri yang sama pada model Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV.

Unit bateri tersebut menjalani ujian kebakaran bersuhu tinggi merangkumi fasa pra-pemanasan dan pendedahan berterusan kepada api selama 1 minit 20 saat.

Sepanjang ujian tersebut, bateri kekal stabil tanpa peningkatan kebakaran, kegagalan elektrik atau deformasi yang tidak terkawal.

Pihak media juga diberikan peluang untuk memerhati keadaan bateri sebelum, semasa dan selepas didedahkan kepada api.

Kesinambungan program peringkat global

Cabaran Keselamatan Bateri di Malaysia merupakan kesinambungan kepada program yang dijalankan di peringkat global.

Dalam siri ujian tersebut, sistem bateri Chery diuji di bawah pelbagai senario ekstrem, seperti contoh:

  • China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
  • Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
  • Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
  • Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
  • Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
  • Mexico – ujian geseran bawah kenderaan

Prestasi keselamatan terbukti

Selain Cabaran Keselamatan, Chery Malaysia turut menonjolkan pencapaian keselamatan kukuh bagi rangkaian kenderaan elektrik hibridnya.

Chery TIGGO 7 PHEV telah memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan skor tertinggi 94.68 sepanjang masa.

Chery Malaysia turut menawarkan jaminan bateri lanjutan sehingga 10 tahun atau 200,000 kilometer merangkumi pek bateri, motor pemacu, dan unit kawalan kenderaan.

Perlindungan menyeluruh ini direka untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan, menyokong keyakinan pemilikan jangka panjang serta mengukuhkan fokus Chery terhadap teknologi hibrid yang boleh dipercayai.

Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia menjelaskan penawaran model PHEV mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap aspek keselamatan serta keyakinan pemilikan.

“Daripada menjalankan ujian keselamatan yang ketat dan ekstrem, menyediakan sokongan jaminan bateri jangka panjang, hinggalah pencapaian skor 5-Bintang ASEAN NCAP, setiap elemen ini dibina atas komitmen jangka panjang kami untuk melindungi pelanggan.

“Pencapaian ini adalah tentang menyampaikan model PHEV yang lengkap menggabungkan prestasi keselamatan terbukti, teknologi yang boleh diharap, serta jaminan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” ujarnya lagi.

Chery Tiggo 8 CSH 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM159,800

Selain Chery Tiggo 7 CSH, Chery Malaysia turut mengumumkan harga jualan rasmi bagi model SUV plug-in hybrid (PHEV) terbaharunya, Tiggo 8 CSH 2025.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Enjin

Tiggo 8 CSH dijana unit rangkaian kuasa yang sama digunakan pada Tiggo 7 CSH, menghasilkan kuasa keseluruhan 279 PS dan daya kilas 365 Nm.

 

2. Bateri

SUV ini dibekalkan dengan pek bateri 18.3 kWh yang menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 90 km.

Ia menyokong pengecasan AC 6.6 kW serta pengecasan pantas DC 40 kW selain menyokong fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kWh.

Dengan tangki bahan api sebesar 60 liter, SUV ini boleh mencapai jarak pandu keseluruhan sejauh 1,200 km.

 

3. Dimensi

Tiggo 8 CSH mempunyai ukuran sepanjang 4,725 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,705 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,710 mm.

Kapasiti kargo adalah sebesar 117 liter, atau 494 liter apabila tempat duduk baris ketiga dilipat. Kapasiti penuh adalah sebesar 1,930 liter.

 

4. Kelengkapan

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED depan dan belakang, bumbung kaca panorama, pintu belakang berkuasa bebas tangan, spoiler , rel bumbung serta antena sirip jerung.

Ruang kabin pula menampilkan gandingan skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Sony dengan 10 pembesar suara, kamera keliling 540 darjah, sistem pencahayaan ambien 64 warna, kawalan iklim dua zon automatik serta kaca akustik.

 

5. Keselamatan

Ciri keselamatan yang tersedia termasuklah lapan beg udara, cagak ISOFIX, kawalan cengkaman (TCS), sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta kamera perakam video pemanduan (DVR).

Tiggo 8 CSH turut menawarkan ciri ADAS termasuklah kawalan jelajah adaptif (ACC), brek kecemasan autonomi (AEB), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran pelanggaran depan dan belakang (FCW & RCW), amaran keluar lorong (LDW), serta ciri eksklusif berupa sistem pemantauan kepenatan pemandu (DFS).

Terdapat tiga warna yang ditawarkan iaitu Aurora Green, Khaki White dan Carbon Black.

Harga jualan Chery Tiggo 8 CSH 2025 ini bermula dari RM159,800

Chery Malaysia turut menawarkan pakej berikut:

  • jaminan kenderaan 7-tahun atau sehingga 150,000 km
  • jaminan 8-tahun atau sehingga 160,000 km untuk komponen bateri, motor dan unit kawalan hibrid
  • pakej servis 5-tahun percuma
  • penukaran bateri satu-ke-satu sekiranya tahap kesihatan bateri menurun bawah 70 peratus dalam tempoh jaminan

Lima perkara yang anda perlu tahu tentang sistem Chery Super Hybrid (CSH)

Chery Malaysia mengumumkan kehadiran teknologi plug-in hybrid (PHEV), dikenali sebagai Chery Super Hybrid (CSH).

Teknologi CSH ini bakal ditawarkan pada dua model baru yang akan dilancarkan kelak, iaitu Tiggo 7 dan Tiggo 8 versi facelift.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang anda perlu tahu:

 

1. Komponen utama

Teknologi CSH terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo (141 hp/215 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (201 hp/310 Nm), menghasilkan kuasa keseluruhan 342 hp dan daya kilas 525 Nm.

Selain itu, terdapat juga sistem Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang menawarkan tahap kecekapan sehingga 98 peratus, dan pek bateri lithium-ion phosphate 18.3 kWh.

 

2. Mod pemanduan sifar emisi

Dengan gandingan komponen yang disebutkan tadi, ia mampu menawarkan jarak pemanduan sifar emisi sejauh 90 km.

Jarak pemanduan keseluruhan sistem PHEV ini boleh mencecah sehingga 1,200 km, sekaligus mengurangkan perasaan kebimbangan jarak yang biasanya dialami oleh pemilik EV.

 

3. Masa pengecasan

CSH menyokong pengecasan AC 6.6 kW, di mana bateri boleh dicas 30-80 peratus dalam masa tiga jam.

Pengecasan pantas DC 40 kW pula membolehkan pengecasan 30-80 peratus dicapai dalam tempoh masa 19 minit sahaja.

Alternatifnya, pemilik boleh menggunakan palam domestik 3-poin untuk pengecasan 10-100 peratus dalam tempoh 8.5 jam.

 

4. Ujian ketahanan rentas tiga benua

Untuk membuktikan tahap keselamatan bateri sistem PHEV CSH tersebut, Chery menjalankan inisiatif Global Safety Challenge merentas tiga benua dunia.

Ujian fasa pertama dibuat di China, di mana sebuah Tiggo 9 PHEV menjalani ujian ekstrem termasuklah golekan dan pelanggaran hadapan, timbunan tujuh kenderaan, hentaman sisi 55 km/j, jatuhan menegak 4.9 meter dan semburan garam selama 720 jam.

Ujian fasa kedua pula mengambil tempat di Indonesia yang memfokuskan kepada ketahanan terhadap banjir tropika.

Di situ, bateri CSH direndam dalam tangki air laut sedalam 1 meter selama 53 jam untuk menguji tahap kedapan, kestabilan kimia dan pengurusan haba di bawah persekitaran tekanan tinggi yang biasanya berlaku di kawasan mudah banjir.

Bateri tersebut kemudian dipasangkan semula pada Tiggo 8 PHEV dan dipandu untuk menunjukkan ketahanannya.

Ujian fasa ketiga pula akan dibuat di Mexico, di mana Tiggo 7 PHEV CSH akan berdepan dengan ujian geseran bawah badan di kawasan tanah tinggi.

Ia bertujuan untuk menilai tahap perlindungan bawah badan terhadap komponen bateri dan kestabilan sistem pada altitud yang lebih tinggi.

Selain lokasi yang disebutkan tadi, Chery akan mengembangkan lagi Global Safety Challenge di beberapa pasaran utama tambahan termasuklah Afrika Selatan dan Brazil.

 

5. Apa yang baharu pada Tiggo 7 & Tiggo 8 facelift?

Chery Tiggo 7 PHEV membawakan beberapa perubahan, merangkumi lampu utama baharu, rekaan rim berbeza, jeriji hadapan dan bampar baharu, lampu belakang dengan grafik baharu, pintu tailgate, bampar serta diffuser belakang baharu.

Susun atur papan pemuka adalah hampir sama dengan model Tiggo 7 berkuasa petrol.

Tiggo 8 versi facelift membawakan kemaskini berupa unit lampu hadapan, jeriji hadapan dan bampar hadapan serba baharu, pemegang pintu tersorok, rim rekaan baharu, diffuser belakang serta tip ekzos berbentuk trapezoid.

Pada ruang kabin, Tiggo 8 PHEV membawakan skrin tengah sebesar 15.6 inci, skrin kluster digital berasingan, rekaan papan pemuka baharu, konsol tengah yang menempatkan pengecas peranti pintar tanpa wayar, serta tuil penukaran gear yang dialihkan pada kolum stereng.

Chery Tiggo 8 PHEV dipertonton, jangkaan pelancaran 2H 2025

Untuk ketua keluarga yang sedang mencari SUV serba baharu yang lebih berkuasa tanpa mengorbankan aspek ekonomi, inilah dia jawapan untuk anda – Chery Tiggo 8 CSH.

Sama seperti Chery Tiggo 7 CSH, Chery Tiggo 8 ini merupakan SUV plug-in hybrid (PHEV).

Ia hadir dengan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 143 PS dan 220 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik (204 PS), berserta transmsi DHT (Direct Hybrid Transmission) tiga-kelajuan.

Kuasa keseluruhan mencecah 347 PS dan 525 Nm.

Sementara pek bateri 18.3 kWh pula membenarkan jarak pandu elektrik sejauh 95 km, atau sehingga 1,200 km dalam mod pemanduan hibrid.

Tidak seperti Tiggo 8 Pro, Tiggo 8 PHEV ini membawakan muka hadapan yang lebih segar disumbangkan oleh lampu utama yang lebih tajam, kemasan jeriji yang berbeza, serta pemegang pintu tersorok.

Rekaan bampar belakang juga telah dikemas kini, membawakan tip ekzos berbentuk trapezoid.

Masuk dalam kabin, Tiggo 8 ini menampilkan susun atur papan pemuka baharu dengan skrin kluster instrumen dan skrin tengah dipisahkan.

Tiada lagi tombol gear fizikal di atas konsol tengah, sebaliknya telah digantikan dengan tuil penukaran gear yang terletak pada kolum stereng.

Selain itu, panel kawalan iklim berasaskan sentuhan juga tidak lagi wujud pada Tiggo 8 facelift ini.

Chery Malaysia mengesahkan model ini akan dilancarkan pada separuh kedua (2H) 2025 bersama-sama dengan model Tiggo Cross HEV dan Tiggo 7 PHEV.