Arkib Tag: Chery KP31 Concept

Chery KP31 Concept: Trak pikap diesel PHEV, bakal lancar di Australia Q4 ini

Inilah dia trak pikap Chery yang bakal mendarat di Australia pada suku keempat (Q4) tahun ini, dengan kod nama KP31.

Di pasaran China, KP31 lebih dikenali sebagai Rely P3X.

Konsep KP31 ini merupakan sebuah trak pikap kabin berkembar yang mempunyai penggayaan berkotak.

Muka depan dengan unit lampu bulat mengingatkan kita pada model Jeep Gladiator.

Ia turut menampilkan tayar BFGoodrich AT, cermin sisi yang besar, pemegang pintu tradisional dan logo Chery bercahaya.

 

Spesifikasi Chery KP31

Konsep ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,610 mm, lebar 1,920 mm, dan tinggi 1,925 mm.

Namun untuk versi produksi, dimensi panjang itu tadi bakal dipendekkan kepada 5,450 mm, dengan had beban 1 tan.

Trak ini juga mampu menarik muatan tunda seberat 3.5 tan.

 

Trak diesel PHEV pertama di dunia

Chery turut mendakwa KP31 merupakan trak diesel plug-in hybrid (PHEV) yang pertama di dunia.

Ia dilengkapi enjin diesel 2.5 liter turbo dengan tahap penggunaan bahan api 10 peratus lebih cekap berbanding enjin diesel standard.

Selain itu, ia mampu mencapai tahap kecekapan haba 47 peratus dan kurang gegaran sebanyak 30 peratus.

Jenama Rely khas untuk model trak pikap

Chery turut mendedahkan perancangan untuk menjadikan Rely sebagai jenama tersendiri yang menawarkan pelbagai jenis model trak pikap.

Ini merupakan model terbaharu yang bakal tiba setelah kemunculan model Rely R08 (Chery Himla di sesetengah pasaran) dan Rely Reaolc yang mempunyai muka iras Ford Ranger.

Namun untuk pasaran Australia, KP31 akan dipasarkan di bawah jenama Chery.

Trak pikap ini bakal bersaing dengan model seperti BYD Shark 6 dan GWM Cannon.