Arkib Tag: Chery Corporate Malaysia

Chery Malaysia pamer ketelusan menerusi Cabaran Keselamatan Bateri CSH

Chery Malaysia berjaya melaksanakan Cabaran Keselamatan Bateri Chery Super Hybrid (CSH) yang pertama di Malaysia.

Inisiatif ini mengukuhkan komitmen berterusan jenama automotif tersebut terhadap keselamatan bateri menerusi ujian dunia sebenar yang telus dan berfokuskan keselamatan.

Menurut Men Lin Bo, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia berkata, “Keselamatan merupakan teras kepada proses pembangunan kami.”

Jelasnya lagi, proses demonstrasi ini dijalankan secara terbuka bagi membantu orang ramai memahami teknologi serta piawaian yang diguna pakai.

Demonstrasi langsung kepada media

Majlis tersebut disaksikan oleh lebih 100 hadirin terdiri daripada pegawai agensi kerajaan dan wakil media.

Sebelum sesi ujian tersebut berlangsung, satu sesi perkongsian bersama pakar bateri Chery, Zhang Wei Bo telah diadakan.

Ia membolehkan pihak media memahami konteks teknikal sebelum menyaksikan demonstrasi tersebut.

Dalam sesi ujian yang dijalankan, pihak Chery menggunakan unit bateri yang sama pada model Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV.

Unit bateri tersebut menjalani ujian kebakaran bersuhu tinggi merangkumi fasa pra-pemanasan dan pendedahan berterusan kepada api selama 1 minit 20 saat.

Sepanjang ujian tersebut, bateri kekal stabil tanpa peningkatan kebakaran, kegagalan elektrik atau deformasi yang tidak terkawal.

Pihak media juga diberikan peluang untuk memerhati keadaan bateri sebelum, semasa dan selepas didedahkan kepada api.

Kesinambungan program peringkat global

Cabaran Keselamatan Bateri di Malaysia merupakan kesinambungan kepada program yang dijalankan di peringkat global.

Dalam siri ujian tersebut, sistem bateri Chery diuji di bawah pelbagai senario ekstrem, seperti contoh:

  • China – ujian pelanggaran hadapan dan ujian guling spiral
  • Indonesia – ujian rendaman air laut selama 53 jam
  • Afrika Selatan – ujian pelanggaran hadapan beralih pada kelajuan 50 km/j
  • Ecuador – ujian enam das tembakan untuk membuktikan kekuatan struktur dan integriti bateri
  • Timur Tengah – ujian rendaman air laut suhu 60 darjah Celcius selama 48 jam, dan ditanam dalam pasir gurun Kuwait selama 48 jam
  • Mexico – ujian geseran bawah kenderaan

Prestasi keselamatan terbukti

Selain Cabaran Keselamatan, Chery Malaysia turut menonjolkan pencapaian keselamatan kukuh bagi rangkaian kenderaan elektrik hibridnya.

Chery TIGGO 7 PHEV telah memperoleh penarafan 5-Bintang ASEAN NCAP dengan skor tertinggi 94.68 sepanjang masa.

Chery Malaysia turut menawarkan jaminan bateri lanjutan sehingga 10 tahun atau 200,000 kilometer merangkumi pek bateri, motor pemacu, dan unit kawalan kenderaan.

Perlindungan menyeluruh ini direka untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan, menyokong keyakinan pemilikan jangka panjang serta mengukuhkan fokus Chery terhadap teknologi hibrid yang boleh dipercayai.

Lee Wen Hsiang, Naib Presiden Chery Malaysia menjelaskan penawaran model PHEV mencerminkan pendekatan menyeluruh terhadap aspek keselamatan serta keyakinan pemilikan.

“Daripada menjalankan ujian keselamatan yang ketat dan ekstrem, menyediakan sokongan jaminan bateri jangka panjang, hinggalah pencapaian skor 5-Bintang ASEAN NCAP, setiap elemen ini dibina atas komitmen jangka panjang kami untuk melindungi pelanggan.

“Pencapaian ini adalah tentang menyampaikan model PHEV yang lengkap menggabungkan prestasi keselamatan terbukti, teknologi yang boleh diharap, serta jaminan sepanjang perjalanan pemilikan mereka,” ujarnya lagi.

Jenama Lepas debut 1H 2026, sasar 30 pusat jualan dan servis menjelang akhir tahun

Sebuah lagi jenama automotif baharu bakal debut di pasaran Malaysia pada separuh pertama tahun ini, iaitu Lepas.

Serentak dengan itu, Lepas Malaysia turut mengumumkan strategi untuk membuka 20 pusat jualan dan servis di negeri-negeri utama Semenanjung dan Malaysia Timur.

Lepas turut menyasarkan sehingga 30 pusat jualan dibuka menjelang akhir 2026.

Jenama premium itu akan membariskan model-model SUV (L4, L6 dan L8) yang dibangunkan berdasarkan platform global kenderaan tenaga baharu (NEV) Chery Group.

Platform ini direka untuk menyokong pelbagai saiz kenderaan serta pelbagai konfigurasi rangkaian kuasa termasuklah enjin pembakaran dalaman, hibrid dan elektrik sepenuh masa.

Lepas juga merancang untuk mendirikan Pusat Pengalaman Gaya Hidup di Lembah Klang yang membolehkan pelanggan merasai sendiri konsep mobiliti elegan yang cuba diketengahkan berteraskan kepada tiga tunjang utama iaitu:

  • Leopard Aesthetics sebagai DNA reka bentuk
  • Exquisite Space sebagai kekuatan produk
  • Elegant Driving sebagai pengalaman pemanduan.

Menurut Men Lin Bo selaku Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, “Lepas direka untuk generasi yang yakin, kreatif dan sentiasa berhubung. Ia untuk individu yang mencari keseimbangan antara kerjaya, keluarga dan minat, serta mahukan kenderaan yang mencerminkan gaya hidup dan estetika peribadi mereka.”

Jenama Lepas ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2025 dan kini sedang membina kehadiran di pasaran Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara.

 

Chery Malaysia mulakan eksport Jaecoo J7 ke pasaran Brunei

Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd telah memulakan eksport ke pasaran ASEAN yang kedua, iaitu Brunei.

Penghantaran pertama ke Brunei terdiri daripada 124 unit, yang merangkumi 120 Jaecoo J7 PHEV dan 4 Jaecoo J7 ICE (versi 2WD).

Semua unit bagi pasaran eksport dikeluarkan di kilang Shah Alam dan berkongsi spesifikasi sama dengan model-model yang ditawarkan di Malaysia.

Semasa merasmikan majlis penghantaran angkatan pertama kenderan untuk dieksport, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo menerangkan, “Pasaran eksport ialah tunggak penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kami di rantau ASEAN.

“Kami sangat teruja untuk meneruskan momentum pertumbuhan untuk meluaskan capaian jenama kami ke lebih banyak pasaran.”

Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Cheng Nam Weng, berkata, “Berikutan permulaan eksport ke Vietnam pada Februari 2025, kedudukan dan potensi pasaran Brunei menjadikannya langkah seterusnya yang wajar dan penting.

“Penghantaran pertama kenderaan JAECOO J7 membolehkan kami menilai tahap penerimaan pasaran dan meletakkan batu asas yang kukuh di Brunei,” jelasnya lagi.

Jenama premium Lepas sah masuk Malaysia tahun depan

Satu lagi sub-jenama Chery, iaitu Lepas akan diperkenalkan secara rasmi di pasaran Malaysia pada separuh pertama 2026.

Perkara tersebut diumumkan oleh pihak Chery Corporate Malaysia ketika acara Chery International User Summit 2025 yang berlangsung baru-baru ini di ibu pejabat Chery yang terletak di Wuhu, China.

Pengenalan jenama baharu ini merupakan sebahagian daripada strategi berbilang jenama yang direka untuk memenuhi spektrum penuh pengguna di Malaysia.

Untuk makluman, Lepas merupakan gabungan bagi perkataan “Leap” dan “Passion”.

Sub-jenama premium baharu itu diumumkan secara rasmi semasa acara pameran Auto Shanghai 2025 berlangsung April lepas sebagai sebuah jenama global yang membawakan rekaan tersendiri.

Selain Lepas, terdapat beberapa sub-jenama Chery yang sudah pun bertapak di Malaysia seperti Omoda | Jaecoo dan iCaur, serta jenama Jetour yang dikendalikan oleh entiti yang berbeza.

Omoda | Jaecoo Malaysia buka gudang simpanan alat ganti di Shah Alam

Omoda | Jaecoo Malaysia mengumumkan pembukaan gudang simpanan alat ganti baharu bagi menyokong pertumbuhan jumlah pelanggan dan jaringan pengedarnya di Malaysia.

Gudang simpanan yang terletak di Hicom Industrial Estate Shah Alam itu dimiliki dan dikendalikan oleh Chery Corporate Malaysia.

Fasiliti berkeluasan sehingga 88,000 kaki persegi itu kini memuatkan sehingga 10,000 komponen dan alat ganti untuk semua model Omoda | Jaecoo di Malaysia.

Difahamkan, stok alat ganti bagi model jenama iCAUR juga turut disimpan di gudang tersebut sebagai persediaan awal menjelang pelancaran model sulung iCAUR 03 yang dijangka berlangsung pada suku ketiga 2025 (Q3 2025).

Emily Lek selaku naib presiden Omoda | Jaecoo Malaysia berkata, “Sedang kami menakrikan semula kemewahan yang mudah dicapai, pengalaman pelanggan kekal sebagai fokus utama misi Omoda | Jaecoo Malaysia.

“Adalah penting bagi jaringan pengedar kami dapat menyokong keperluan selepas jualan secara dinamik bagi pengkalan pelanggan kami yang semakin meningkat.

“Gudang baharu ini akan membantu pertumbuhan jenama Omoda | Jaecoo di pasaran Malaysia, selain menyokong perniagaan eksport yang semakin berkembang di rantau ASEAN,” jelasnya lagi.

Omoda | Jaecoo Malaysia kini mempunyai 45 buah pengedar di seluruh negara yang merangkumi aspek jualan dan sokongan selepas jualan.

Sementara itu, iCAUR mengumumkan 11 rakan pengedar baharu dengan perancangan untuk mengembangkan lagi jaringan pengedar di seluruh Malaysia.