Arkib Tag: cerun

Jalan raya diancam tanah runtuh, sampai bila nyawa jadi taruhan?

KEJADIAN tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai – Blue Valley yang meragut dua nyawa semalam tidak dinafikan menjadi satu catatan hitam buat seluruh rakyat Malaysia.

Persoalan demi persoalan menjelma membabitkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini yang boleh diumpamakan seperti ‘bom jangka’.

Perkara ini terbukti apabila Menteri Kanan Kerja Raya mendedahkan terdapat lebih 1,474 cerun berisiko tinggi di Jalan Persekutuan seluruh negara.

Selain kejadian semalam, satu insiden tanah runtuh juga berlaku di jalan utama menuju Pos Beswok dekat Kuala Kangsar, Perak, minggu lalu.

Keadaan jalan raya yang rosak akibat tanah runtuh di Kuala Kangsar, Perak. – Foto ihsan Facebook/JKR Kuala Kangsar

Persoalannya, sampai bila pengguna jalan raya perlu berdepan ‘ancaman’ seperti ini?

Cakna aduan masyarakat

Pada pandangan penulis, pihak berwajib seharusnya lebih cakna dan bersikap pro aktif menangani masalah tanah atau cerun berisiko tinggi.

Bukan niat menyalahkan sesiapa namun, sering kali kedengaran pihak berwajib gagal menyelesaikan aduan orang ramai.

Contohnya, dalam insiden tanah runtuh di Kuala Kangsar minggu lalu, penduduk mendakwa pernah membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai keadaan jalan di kawasan terbabit.

Natijahnya, berlaku insiden tanah runtuh sehingga merosakkan struktur jalan raya sekaligus memberi kesulitan kepada pengguna jalan raya.

Nyawa manusia jadi taruhan apabila berdepan insiden tanah runtuh. – Foto ihsan Facebook/JKR Kuala Kangsar

Penulis mungkin bukan pakar memberi solusi menerusi kajian kejuruteraan tetapi, apa yang boleh dinasihatkan jangan memandang remeh aduan orang ramai.

Apa yang diharapkan pihak berwajib bertindak lebih pantas agar lebih banyak nyawa dapat diselamatkan.

Walau apa pun, kita nantikan laporan akhir insiden tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai – Blue Valley.

Tragedi tanah runtuh di Simpang Pulai

Semalam, dua maut selepas kenderaan dinaiki tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

Mangsa merupakan pemandu lori dikenali sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31.

Seorang lagi mangsa maut merupakan pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36.

Operasi menyelamat mengambil masa lebih tujuh jam dan mayat mangsa ditemui dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi proses bedah siasat.

Fadillah: 1,474 cerun berisiko tinggi di Jalan Persekutuan seluruh negara

MUSIM Monsun Timur Laut melanda negara dibimbangi menjejaskan struktur jalan di beberapa buah negeri terlibat.

Menteri Kanan Kerja Raya berkata, lebih 1,474 cerun dikenal pasti berisko tinggi di Jalan Persekutuan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Datuk Seri Fadillah Yusof menjelaskan, Jalan Persekutuan dimaksudkan adalah FT1, FT3, FT4, FT5, FT8, FT86, dan FT185.

“Ia dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, pihak berwajib juga sedang memantau cerun di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan LPT Fasa 2.

Pada masa sama, pihak berwajib telah memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri.

Ia akan memberi amaran awal apabila ‘rainfall index’ pada tolok hujan yang dipasang melebihi tahap amaran.

Terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh negara dengan 36 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia.

Negeri Pantai Timur berdepan musim monsun bermula Oktober hingga Mac tahun depan.