Arkib Tag: cekap tenaga

PM: Utamakan industri penghasilan kenderaan cekap tenaga demi alam sekitar

KERAJAAN akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

Ia antara salah satu langkah mitigasi dan adaptasi untuk mengurangkan pelepasan karbon di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, usaha ini bukan sahaja melibatkan kerajaan Persekutuan malah, meliputi kerjasama pihak kerajaan Negeri.

“Selain itu, inisiatif perolehan hijau kerajaan akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Melalui pelaksanaan inisiatif ini, perolehan hijau kerajaan disasarkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap semua pihak bersama-sama berusaha memastikan alam sekitar terus terjaga. – Foto ihsan Malay Mail

Sementara itu, Ismail Sabri turut menyambut baik inisiatif sektor swasta yang memberi komitmen bagi mencapai pengeluaran karbon sifar menjelang 2050.

Katanya, ia membuktikan keseriusan sektor swasta dalam menjaga alam sekitar.

Dalam pada itu, akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga.

Model ekonomi kitaran juga akan dilaksana di bawah Rancangan Malaysia 12 (RMK-12) bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan sumber asli.