Castrol Malaysia bersama MediCOM Malaysia baru-baru ini menamatkan misi kebajikan dan kesihatan di Long Busang, Sarawak.
Misi Castrol Discover Borneo selama empat hari tiga malam ini bertujuan untuk menyampaikan bantuan perubatan dan kebajikan kepada komuniti terpencil.
Ia menghimpunkan sukarelawan MediCOM, petugas perubatan, kru 4×4 berpengalaman, Universiti Teknologi Sarawak, Urus Setia Saudara Kita dan beberapa rakan kerjasama lain.
Sebagai penaja utama, Castrol menyokong persediaan dan penyelenggaraan kenderaan 4×4 peserta, termasuk penggunaan Castrol CRB Turbomax dengan teknologi DuraShield™ bagi memastikan enjin kekal terlindung sepanjang perjalanan.
17 jam rentas laluan lasak
Konvoi bertolak dari Sibu menuju Kapit sebelum meneruskan perjalanan ke Long Busang.
Perjalanan yang dijangka 13 jam bertukar menjadi 17 jam selepas laluan off-road yang panjang serta cuaca buruk memperlahankan pergerakan.
Hampir separuh laluan adalah off-road, menuntut koordinasi rapat antara kenderaan dan pemanduan berjam-jam sebelum kenderaan terakhir tiba sekitar 3.00 pagi.
Setibanya di Long Busang, pasukan MediCOM menjalankan tugas pemeriksaan kesihatan dan bantuan kebajikan serta mengagihkan bekalan selama dua hari.
Buka sisi berbeza Borneo
Menurut Grace Padan dan Jasmin Saran yang pernah menyertai ekspedisi terdahulu, perjalanan kali ini membuka sisi Borneo yang jauh berbeza.
“Apa yang paling memberi kesan bukanlah bertapa sukarnya laluan itu, tetapi apa yang menunggu di hujungnya.
“Bertemu komuniti Long Busang mengingatkan kita bahawa perjalanan seperti ini adalah caramereka kekal terhubung dengan sokongan yang ramai antara kita anggap biasa,” ujar Grace.
Joshua Tan, Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina berkata, “Discover Borneo bermula dengan melihat bagaimana mobiliti 4×4 menjadi sebahagian kehidupan harian di Malaysia Timur.
“Long Busang menunjukkan bagaimana mobiliti menjadi isu akses bagi komuniti yang dipisahkan oleh jarak dan bentuk muka bumi.
“Kami bangga CRB TURBOMAX dapat menyokong konvoi melalui keadaan ekstrem,” jelasnya lagi.
Abdul Razak Mohamad, Setiausaha Agung MediCOM Malaysia menambah, “Untuk komuniti seperti Long Busang, usaha kesihatan bermula dengan kemampuan untuk sampai kepada mereka.
“Membawa petugas, sukarelawan, peralatan dan bekalan merentas laluan sukar memerlukan persediaan rapi.
“Sokongan Castrol serta rakan kerjasama lain membolehkan kami menjalankan tugas yang kami datang untuk lakukan,” ujarnya lagi.
Perjalanan selama 17 jam ini didokumentasikan oleh pasukan produksi di mana episod khas ini akan menyertai lima episod Discover Borneo sedia ada.
