Arkib Tag: Cameron Highlands

Abang ‘sado’ tunjal kepala wanita dihukum penjara 7 hari

AKIBAT menunjal kepala dan mengugut untuk mencederakan seorang pemandu beberapa hari yang lalu, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Tapah hari ini.

Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan dan mengugut seorang pemandu wanita. Video insiden itu tular di media sosial.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati menakutkan secara jenayah terhadap Amiera Atiqah Shahrizan, 24, di Lata Iskandar Kilometer 22 Jalan Tapah-Cameron Highland pada 5 Jun lalu, 5.33 petang dengan kata ugutan ‘pecah muka kau sat lagi’.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohammad Zaim Faiz didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di lokasi dan masa yang sama atas kesalahan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh hari bagi kedua-dua pertuduhan itu. Mahkamah bagaimanapun menetap hukuman itu dijalankan serentak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya J Geetha, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon hukuman paling ringan memandangkan dia perlu menanggung isteri yang hamil lapan bulan dan anak berusia empat tahun dengan pendapatan bulanan RM4,000.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh disabitkan kedua-dua kesalahan.

Tanah runtuh: Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dibuka semula

JALAN Simpang Pulai-Cameron Highlands yang ditutup sebelum ini akan dibuka kepada kenderaan awam tidak lama lagi.

Exco Kerajaan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia dijangka dibuka pada Jumaat ini bergantung kepada kerja-kerja pembersihan jalan berkenaan.

Jelasnya, pihak kontraktor kini sedang giat menyelesaikan kerja pembersihan dan saluran longkang yang terjejas akibat runtuhan tanah pada 2 Disember lalu.

“Pihak konsesi sedang membersihkan jalan dan pembinaan longkang aliran air di tepi jalan bagi mengelakkan pergerakan tanah berlaku,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Zolkafly mengingatkan orang ramai berhati-hati ketika menggunakan laluan berkenaan yang keadaannya berbukit dan bercerun.

Pada awal Disember lalu, dua maut selepas kenderaan dinaiki iaitu Toyota Alphard dan sebuah lori tertimbus dalam runtuhan tanah.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak juga telah diarah menjalankan kerja pembaikan mendapan tanah di Laluan Persekutuan FT239 Jalan Ampang-Jelapang.

Difahamkan, ia telah berlanjutan hampir dua bulan dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Ia berikutan keperluan mendesak oleh pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa,” katanya lagi.

Jalan Tapah- Cameron Highlands ditutup susulan insiden tanah runtuh

LALUAN FT 059 Jalan Tapah – Cameron Highlands ditutup sementara ekoran insiden tanah runtuh, semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands berkata, laluan tersebut ditutup kepada semua jenis kenderaan sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Setakat ini, pihak JKR sedang giat menjalankan kerja membaiki dan menyelenggara bagi mengelak insiden lebih buruk.

“Kerja-kerja kecemasan sedang giat dilaksanakan dan penutupan sementara laluan berkenaan adalah perlu demi keselamatan serta keselesaan pengguna.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan,” kata kenyataan dikeluarkan JKR.

Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands.

Ia menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang dan terpaksa ditutup sementara waktu.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripoda orang awam pada 4.25 petang.

“Tiang elektrik juga tumbang dan laluan kedua-dua arah terhalang.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda orang awam,” katanya.