Arkib Tag: BMW X5

BMW X5 dan BMW iX5 Long Wheelbase 2027, jarak roda lebih panjang, bampar depan baharu untuk pelanggan China

BMW memperkenalkan BMW X5 Long Wheelbase baharu bersama model elektrik pertama BMW iX5 Long Wheelbase, yang dibangunkan secara eksklusif untuk pasaran China.

Kedua-dua model menggabungkan evolusi reka bentuk BMW X5 dengan teknologi terkini daripada platform Neue Klasse, selain disesuaikan mengikut kehendak pelanggan di sana.

Perbezaan utama model ini ialah jarak roda lebih panjang 130mm berbanding BMW X5 global, menjadikan ukuran keseluruhan mencecah 3,165mm.

Jarak roda yang dipanjangkan itu bukan sahaja meningkatkan kestabilan serta keselesaan pemanduan.

Pada masa sama, ia menyediakan ruang kaki lebih luas terutama untuk penumpang barisan belakang, selain menyerlahkan lagi imej SUV mewah dengan penampilan yang lebih anggun.

Reka Bentuk Eksklusif untuk Pasaran China

BMW X5 dan BMW iX5 Long Wheelbase menerima beberapa elemen reka bentuk yang tidak ditawarkan pada model global.

Antaranya ialah grafik lampu hadapan baharu dengan ikon cahaya berbentuk diagonal.

Pemilik juga boleh memilih grafik alternatif berbentuk Double X mengikut cita rasa masing-masing.

Turut melengkapkan bahagian hadapan ialah jalur pencahayaan tambahan yang menghubungkan ikon lampu dengan BMW Kidney Iconic Glow.

Ciri itu menghasilkan kesan visual yang lebih mendalam, selain menyokong animasi sambutan (Welcome) dan perpisahan (Goodbye).

Bagi BMW X5, bampar hadapan turut direka semula khas untuk memenuhi cita rasa pelanggan China.

Kabin Lebih Mewah dengan Teknologi Neue Klasse

Bahagian dalaman menampilkan konsep reka bentuk serba baharu yang lebih kemas dengan permukaan minimalis, kemasan premium serta susun atur yang lebih moden.

BMW turut memperkenalkan tema warna monokrom baharu yang memberikan suasana kabin lebih tenang dan eksklusif.

Kerusi hadapan dan belakang juga direka khas untuk meningkatkan keselesaan perjalanan, manakala penggunaan bahan premium seperti batu slate dan kaca menyerlahkan lagi imej mewah.

Salah satu tarikan utama ialah jalur hiasan tiga dimensi bercahaya dengan lampu ambien terbina dalam yang diinspirasikan daripada teknologi Neue Klasse.

BMW Panoramic iDrive Generasi Baharu

BMW X5 dan BMW iX5 turut menjadi antara model terawal yang menerima sistem BMW Panoramic iDrive baharu berasaskan BMW Operating System X.

Sistem tersebut merangkumi:

  • BMW Panoramic Vision
  • Paparan tengah terapung (Free Cut Central Display)
  • BMW Passenger Screen yang ditawarkan buat kali pertama pada BMW X5

BMW turut menyesuaikan fungsi digital khas mengikut keperluan pengguna di China bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih intuitif.

Untuk penumpang belakang, generasi baharu BMW Theatre Screen menawarkan hiburan penstriman 8K, permainan serta fungsi panggilan video.

Suspensi Udara Standard dan Sistem Bantuan Pemandu Berasaskan AI

Semua varian BMW X5 dan BMW iX5 Long Wheelbase dilengkapi Suspensi Udara Adaptif Dua Gandar (Adaptive Two Axle Air Suspension) sebagai ciri standard.

Sistem itu membantu menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan bagi menghasilkan pemanduan lebih selesa tanpa mengira jenis trenkuasa.

BMW turut memperkenalkan sistem bantuan pemandu pintar generasi baharu yang dibangunkan khusus untuk China menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan, Momenta.

Gabungan kepakaran BMW dalam aspek keselamatan dengan kecerdasan buatan (AI) tempatan menghasilkan sistem bantuan pemanduan Address to Address.

Sistem itu mampu membantu pemanduan berpandukan navigasi dari destinasi permulaan hingga ke lokasi akhir.

Sistem tersebut dikendalikan oleh komputer pusat pemanduan automatik yang beroperasi bersama sistem kawalan dinamik Heart of Joy.

BMW iX5 Long Wheelbase Mampu Mencecah Lebih 1,000km

Buat pertama kali di China, BMW akan menawarkan BMW X5 enjin pembakaran dalaman bersama BMW iX5 Long Wheelbase elektrik.

BMW iX5 menggunakan teknologi BMW eDrive Generasi Keenam, dipadankan dengan seni bina bateri voltan tinggi baharu bagi memberikan jarak gerak melebihi 1,000km (kitaran CLTC).

Pelancaran rasmi kedua-dua model ini ke pasaran China dijadualkan pada tahun 2027.

BMW X5 xDrive40i M Sport 2025 versi CKD kini di Malaysia – harga dari RM469,800

Selain model SUV elektrik iX, BMW Malaysia turut melancarkan varian baharu bagi model SUV X5, iaitu X5 xDrive40i M Sport versi facelift.

Ia merupakan pelengkap kepada penawaran model plug-in hybrid X5 xDrive50e M Sport sedia ada.

Berikut merupakan fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Rupa luaran

Dari segi penampilan, tidak banyak beza yang boleh dikesan pada varian xDrive40i jika dibandingkan dengan varian X5 xDrive50e.

Antara ciri yang dibawakan termasuklah rim aloi M 21 inci, sistem brek M Sport, pakej kit badan M Sport, lampu LED adaptif dan jeriji BMW Iconic Glow.

Terdapat beberapa pilihan warna termasuklah Mineral White, Black Sapphire, Brooklyn Grey dan Skyscraper Grey.

 

2. Ruang dalaman

Ruang kabin BMW X5 ini dihiasi dengan upholsteri Sensafin dan kemasan jahitan hitam.

Terdapat skrin kluster sebesar 12.3 inci dan skrin tengah sebesar 14.9 inci yang ditempatkan dalam panel melengkung tunggal, skrin paparan head-up, roda stereng kulit M, headliner anthracite, dan tombol kawalan pada konsol tengah.

Ciri lain termasuklah sistem bunyi keliling Harman Kardon, kawalan iklim empat-zon automatik, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar serta bumbung kaca panorama.

Ruang kargo adalah sebesar 650 liter, dan boleh mencecah sehingga 1,870 liter.

 

3. Kuasa

Varian xDrive40 i M Sport dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo dengan bantuan sistem hibrid ringan 48V yang mampu menghasilkan 381 hp dan 540 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan.

Dengan sistem pacuan semua roda xDrive, X5 ini boleh memecut sepantas 5.4 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi udara double wishbone/five-link, serta Dynamic Damper Control untuk keseimbangan prestasi atas jalan serta di laluan off-road.

Ketinggian SUV ini boleh direndahkan sebanyak 20 mm dalam mod Sport, atau ditambah sebanyak 40 mm di laluan off-road.

Untuk memudahkan urusan memunggah barangan, suspensi boleh direndahkan sebanyak 40 mm dengan hanya satu sentuhan butang.

 

4. Keselamatan

Ciri keselamatan yang wujud pada X5 ini termasuklah Driving Assistant Professional yang merangkumi pelbagai fungsi termasuklah bantuan kawalan lorong dan stereng, bantuan berhenti kecemasan, bantuan penukaran lorong, amaran lintasan trafik serta amaran salah arah.

Kelengkapan Parking Assistant Professional merangkumi fungsi seperti bantuan mengundur, Active Park Distance Control, Manoeuvring Assistant, serta sistem paparan keliling 3D.

 

5. Harga

BMW X5 xDrive40i M Sport dijual pada harga bermula dari RM469,800 atas jalan tanpa insurans.