Arkib Tag: BMW M3 Touring

BMW M3 Touring Competition M xDrive 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM898,800

BMW Group Malaysia secara rasmi melancarkan BMW M3 Touring Competition M xDrive 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ini merupakan kali pertama BMW M Malaysia menawarkan model ikonik BMW M3 dalam bentuk badan wagon di pasaran tempatan.

Harga jualan bermula dari RM898,800.

Enjin & transmisi

Wagon pantas ini didatangkan enjin enam silinder sebaris 2,993 cc yang mampu menjana kuasa 530 hp @ 6,250 rpm dan daya kilas 650 Nm @ 2,750-5,730 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi M Steptronic Sport 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda M xDrive.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Kadar penggunaan bahan api pula serendah 10.3 liter per 100 km.

Aspek pemanduan dibantu dengan sistem suspensi adaptif M, pembeza M Sport, serta sistem brek M Compound.

Kelengkapan

Di bahagian luar, M3 Touring ini mendapat kelengkapan seperti:

  • rim 19 inci depan/20 inci belakang
  • M Lights Shadowline
  • M High-gloss Shadowline
  • bumbung hitam berkilat

Sementara ruang kabin pula mendapat kelengkapan M seperti:

  • tempat duduk bucket M Carbon
  • kemasan gentian karbon M Interior
  • upholsteri kulit Merino
  • tali pinggang keledar M
  • roda stereng Alcantara M

Antara kelengkapan standard lain termasuklah:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 14.9 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • sistem audio Harman Kardon 16-pembesar suara 464W
  • sistem kawalan iklim 3-zon automatik
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar

Sebagai sebuah wagon, ruang kargo M3 Touring adalah sebesar 500 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,510 liter.

Keselamatan

Aspek keselamatan BMW M3 Touring dibantu dengan fungsi Parking Assistant serta Driving Assistant merangkumi fungsi berikut:

  • Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong
  • Bantuan Penukaran Lorong
  • Bantuan Pengekalan Lorong
  • Amaran Lintasan Trafik Depan
  • Bantuan Berhenti Kecemasan
  • Informasi Had Kelajuan

Pilihan warna

Pembeli boleh mendapatkan pilihan warna luaran Skyscraper Grey dengan kemasan warna dalaman Merino Yas Marina Blue atau Merino Silverstone.

Sementara warna Isle of Man Green pula dipadankan dengan kemasan dalaman Merino Kyalami Orange.

BMW M3 Touring 24H: Dari April Fools’ ke realiti

Siapa sangka gurauanApril Fools’ BMW M3 Touring di media sosial kini bakal membakar litar lumba sebenar.

BMW M Motorsport mengesahkan BMW M3 Touring 24H akan beraksi di Nürburgring, membuktikan mereka tidak main-main apabila peminat bersuara.

Apa yang bermula sebagai imej suntingan komputer untuk mengusik netizen pada 2025, kini sudah siap dan sedia untuk mengaum di Green Hell.

Berasaskan slogan “You dreamed it, we built it”, BMW M Motorsport mendedahkan sambutan luar biasa hantaran media sosial pada 1 April 2025 menjadi pemangkin projek.

Gurauan tersebut berjaya mencapai lebih satu juta pengguna dengan 1.6 juta tontonan.

Angka yang sangat besar ini telah mendorong BMW M mengubahnya menjadi projek kejuruteraan serius.

Pembangunan BMW M3 Touring 24H

Sejurus selepas pelancaran BMW M3 Touring road car pada tahun 2022, BMW M Motorsport sebenarnya sudah pun mula mempertimbangkan idea untuk membina sebuah versi perlumbaan.

Namun, susulan kejayaan tular gurauan tersebut, rancangan merealisasikan versi perlumbaan BMW M3 Touring ini menjadi konkrit pada musim panas 2025.

Pasukan jurutera di BMW M Motorsport hanya mengambil masa lapan bulan sahaja untuk membina jentera ini.

Walaupun menggunakan badan asas wagon M3 Touring, nadi dan kerangka teknikal dikongsi dengan jentera lumba BMW M4 GT3 EVO.

Dari segi dimensi, BMW M3 Touring 24H adalah 200 mm lebih panjang bagi mengekalkan profil ikonik sebuah Touring.

Selain itu, jika diambil kira ketinggian sehingga ke bahagian sayap belakang, jentera ini adalah 32 mm lebih tinggi berbanding model coupe.

Walau bagaimanapun, data teknikal lain bagi kedua-dua jentera ini adalah sama untuk memastikan persaingan yang kompetitif di litar lumba.

Perlumbaan di Nürburgring

Jentera ini akan dikendalikan pasukan Schubert Motorsport dan bakal tampil pada hujung minggu depan dalam pusingan kedua Nürburgring Langstrecken Serie (NLS).

Untuk perlumbaan 24 jam pada 16 dan 17 Mei, jentera ini akan diletakkan dalam kelas SPX.

Ini bermakna ia tidak akan bersaing secara langsung dengan tiga buah unit BMW M4 GT3 EVO yang akan berentap untuk kejuaraan keseluruhan dalam kategori SP9.

Empat pemandu rasmi BMW M telah dipilih iaitu Jens Klingmann, Ugo de Wilde, Connor De Phillippi dan Neil Verhagen.

Sebagai tanda penghargaan, reka bentuk luaran jentera untuk perlumbaan persediaan akan memaparkan komen terpilih peminat pada hantaran gurauan asal tersebut.

Kerjasama Teknikal Bersama Yokohama

Sama seperti jentera utama Schubert Motorsport, BMW M3 Touring 24H akan menggunakan tayar daripada Yokohama.

Kerjasama ini dianggap sebagai pencapaian bersejarah bagi Yokohama dalam penglibatan mereka di litar Nürburgring.

Spesifikasi Teknikal BMW M3 Touring 24H

  • Model Asas: BMW M3 Touring
  • Asas Teknikal: Berkongsi platform bersama BMW M4 GT3 EVO
  • Panjang: Tambahan 200 mm berbanding BMW M4 GT3 EVO
  • Tinggi: Tambahan 32 mm berbanding BMW M4 GT3 EVO (termasuk sayap belakang)